Showing posts with label Tuan Guru Haji Yahya bin Mat Saman. Show all posts
Showing posts with label Tuan Guru Haji Yahya bin Mat Saman. Show all posts

Thursday, April 28, 2016

Perang Jepun


Apabila Jepun mula mengebom pantai timur semasa perang dunia kedua , Madrasah Ahmadiah atau Pondok Bunut Payung  di Kota Bharu , Kelantan telah menutup pengajian. Penuntut- penuntut telah mula pulang ketempat masng-masing, Tuan Guru Haji Yahya dan rakan-rakan beliau mula mencari jalan balik ke Kedah. Tapi melalui jalan darat meredah hutan. Beliau menceritakan perjalanan memakan masa sebulan , bermula selepas asar dipondok bunut payung dengan berjalan kaki besama beberapa rakan seangkatan. Menerusi Gua Musang terus ke Banding sampai ke kampung Belum  dan akhirnya keluar di daerah Grik , sampai di Lenggong Perak.


Semasa dalam perjalanan , beliau menceritakan , sebagai ketua rombongan , saya tidak ingat berapa orang jumlah rombongan , beliau arahkan setiap orang bawa bekalan  makanan  sedikit seorang. setiap orang bawa beras dalam beg . garam, asam, ikan kering dan sebagainya juga dibawa masing-masing. Apabila masa rehat dan makan , digilir2kan masak dan bekalan mantah diambil dari setiap orang sedikit seorang.

Jika keputusan air, mereka akan mencari rotan-rotan besar atau enau atau buluh yang menyimpan air untuk dipotong dan diambil airnya buat minuman.

Tidur dicelah-celah banir pokok-pokok besar.

Satu ketika  ada tiga rakan beliau yang tidak ikut rombongan beliau telah tersesat jalan dan seorang dari mereka dimakan harimau.

Seorang rakan beliau juga telah meninggal dunia dalam perjalanan, beliau sahaja yang sanggup mendukung mayat rakan beliau tersebut untuk dibawa keluar dari hutan . selama 3 hari mereka berjalan kearah Perak  barulah bertemu kampong untuk di uruskan jenazah rakan beliau itu.
Sepanjang perjalanan mencari penduduk kampung, beliau hanya mendukung mayat rakan beliau itu dengan diikat kedua tangan mayat dengan kain . Alhamdulillah  semuanya selamat.



Saturday, May 03, 2014

Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/Hitam.



Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman Pondok Kampong Teluk, Kepala Batas , Alor Setar.

Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/ Hitam telah dilahirkan pada tahun 1917 dan telah wafat pada 2006 masihi berusia sekitar 89 tahun. 

Mempunyai tiga orang isteri. Isteri yang pertama meninggal dunia dan kemudian beliau berkahwin dengan yang kedua kemudian bercerai, dan berkahwin pula yang terakhir dan kekal hingga wafat beliau  . 

Mempunyai seorang anak dan beberapa cucu. Beliau memulai pendidikan agama semenjak daripada pangkuan ibunya, belajar ilmu fardhu ain, alquran tajwid, dan membaca kitab Muniyatul Musolli. Kemudian masuk belajar diPondok Lembah Bujang, Merbok, Kedah ,  selama 10 tahun. 

 Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Negeri Kelantan dan menuntut di pondok Madrasah Ahmadiyah di kg Bunut Payung,  Kota  Bharu  Kelantan  selama 29 tahun. 

 Semasa di Bunut Payung, beliau telah menghabiskan waktu belajar dengan system talaqqi iaitu  membaca kitab dari kulit ke kulit sehingga khatam. Beliau menadah di hadapan guru utama pondok iaitu Almarhum Tuan Guru Sheikh Abdullah Thohir yang merupakan murid tua kepada ulama besar Tok Kenali. Selama puluhan tahun beliau menadah siraman ilmu di Pondok Bunut Payung di bawah asuhan guru besar Sheikh Abdullah Thohir tersebut. 

 Beliau telah  mengkhatamkan kitab-kitab turath (kitab kuning) samada dalam teks bahasa melayu atau bahasa arab, dalam pelbagai displin keilmuan islam, seperti nahu, saraf, hadis, mustholah hadis, feqah, tauhid, usul tafsir, tasawuf, ilmu-ilmu alat (iaitu balagah, mantik, maqulat, ‘arudh, miqat, falakiah,) dan lain-lain. 

 Beliau telah menggelarkan Sheikh Abdullah Thoir sebagai Faqih. Antara tanda-tandanya, kemahiran Sheikh Abdullah Thoir mengajar teks kitab fekah - al Mahalli tanpa melihat kitab lagi, hanya  perantaraan Muqri ( pembaca).

Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab umdah (rujukan utama) yang besar-besar dalam pelbagai bidang, di antara kitab-kitab tersebut antaranya :

1)    Fekah:Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab utama Ghoyah wa Taqrib, Fathul Qorib , Fathul 
     Muin, Fathul Wahhab, al-Mahalli (Qalyubi wa Umairah) ,Nihayatul Muhtaj (6 juzuk).
2)   Tauhid:Beliau mengkhatamkan kitab-kitab asas tauhid sehinggalah sebesar-besar seperti 
     adDussuki ,  Abddus Salam, dan lain-lain.
3)      Tasawuf: al-Hikam dan semua syarahannya, kitab-kitab imam alghazali sehingga ihya’, kitab
     Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, addurun Nafis, dan lain-lain
4)     Nahwu  :Mengkhatamkan berbagai kitab asas Nahu sehinggalah sebesar-besar kitab Nahu seperti  
      Ibnu Aqil, Awdhoh, Mughni Labib dan lain –lain.
5)      Hadis:  Mengkhatamkan Sunan  Sittah (kitab hadith yang 6 buah) . Kitab-kitab asas ilmu hadith seperti Matan   
      Arbain,  Riyadhus Sholihin, Bulughul Maram, Abi Jamrah, Misykat Mashobih  dan lain-lain.
6)      Tafsir: Mengkhatamkan kitab asas tafsir seperti Tafsir Jalallain, tafsir-tafsir dalam bahasa 
       melayu  seperti Baydhowi Melayu (Tarjumanul Mustafid), dan mengkhatamkan kitab-kitab 
       tafsir yang besar-besar seperti tafsir An Nasafi, tafsir Al Baidawi, Tafsir al Maraghi, sebahagian besar Tafsir Ibnu Katsir  dan lain-lain.
 
7)      Usul Fekah dan Qawaid Fiqhiyyah: Beliau mengkhatamkan daripada sekecil-kecil hingga
      sebesar-  besarnya seperti kitab Waraqat dan syarahnya oleh al-Mahalli, al-Ashbah  wan Nazo ir, 
      Jam'ul Jawamik, dan  lain-lain.

Disamping menumpukan masa dengan pelajaran di pondok utamanya iaitu Pondok Bunut Payung, selepas kewafatan Sheikh Abdullah Tohir,  hayat pondok bunut payung telah disambung oleh almarhum Tuan Guru Husien Ar Rahimi, beliau berkesempatan bermulazamah dengan ulama’-ulama’ besar yang berada di sekitar Kota bharu Kelantan untuk memungut mutiara ilmu daripada mereka. Orang-orang besar itu seperti Tuan Guru  Haji Bang Kob Legor (murid Tok Kenali),Tuan Guru Mufti Haji Nor, Tuan Guru Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Salahuddin  (murid Tok Kenali) dan lain-lain.

Beberapa catitan kisah pembelajaran beliau yang diceritakan kepada saya yang masih saya ingat.

1)     Beliau menceritakan semasa beliau menuntut di pondok Bunut Payung, beliau telah dilantik sebagai ketua pelajar untuk mengawasi hal ehwal pelajar pondok ketika itu, dan beliau juga merupakan ketua kepada pelajar-pelajar yang datang dari Kedah. Beliau menceritakan almarhumTuan Guru Haji Hasyim mudir Pondok Pasir Tumbuh, ketika itu adalah seorang pelajar dari Kedah yang dibawa oleh beliau untuk melanjutkan pelajaran di Pondok Bunut Payung.

2)    Beliau menceritakan satu ketika, beliau menziarah Almarhum Tuan Guru Pak Man , Pondok Bukit Besar di pondok bukit besar Kedah. Ketika beliau sampai mendapati Tuan Guru Pak Man sedang mengajar kitab usul fekah yang paling besar dan sangat susah ibaratnya iaitu Jam'ul Jawami’ karangan  Imam Subki r.a. Kebetulan yang menadah kitab ialah Tuan Guru Sheikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar. Ketika sampai di majlis beliau duduk menghadap dengan Tuan Guru Pak Man lalu duduk untuk sama-sama menjadi pendengar kepada bacaan kitab, tetapi tiba-tiba Tuan Guru Pak Man bukit besar melambai tangan kepada beliau memanggil  untuk duduk di samping Tuan Guru Pak Man  sambil berkata iaitu menujukan kata ke Tuan Guru Haji Mahmud, “Dia ni kawan ana”. Selepas bercerita kisah tersebut, tuan guru saya ini mengulas dengan berkata ( “Pak Man ilmunya, mahirnya sekata, tidak seperti sesetengah orang yang lain"). Maksud beliau, ilmu Tuan Guru Pak Man  adalah sama tahap kemahiran  di setiap bidang ilmunya. Tuan Guru Pak Man bukit besar mahir ilmu fekah, juga mahir tasawuf, juga mahir ilmu-ilmu yang lain. Tidak seperti mereka yang seperti mahir ilmu fekah tetapi tidak mahir dalam bidang ilmu-ilmu yang lain.

3)      Satu ketika yang lain beliau bercerita, semasa menuntut di Kelantan, beliau telah memerhatikan dan mengingat masalah-masalah fekah yang gharib ( jarang orang tahu) ketika menadah dengan Tuan Guru ,Tuan Guru. Jika berjumpa sahaja  dengan  masalah yang  gharib beliau akan terus mengingatinya dan masih dalam ingatan beliau. Antara masalah-masalah yang beliau sering ulangkan:
1. Sunat membaca ta'awwuz dengan jahar sebelum membaca al-fatihah  di dalam sembahyang  yang dijaharkan bacaannya, sedangkan yang masyhur diketahui umum adalah tidak sunat pada sisi qaul muktamad ashoh. Tuan guru saya ini mengisyaratkan masalah ini sebagai satu masalah yang menarik yang patut diamalkan walaupun menurut qaul yang Muqobil. Masalah ini terdapat dalam kitab Mughni Muhtaj, beliau ingat ketika sedang menadah kitab tersebut.

2.Masalah yang kedua, perempuan haid yang sedang berihram diharuskan memakan ubat untuk menghentikan haidnya bagi melakukan tawaf rukun haji atau  umrah, masalah ini beliau masih ingat ketika menuntut kitab Nihayatul Muhtaj. 

3.Bidan yang menarik kepala bayi yang lambat keluar daripada perut ibunya lalu dicabut putus, maka menurut Qaul Shyubari di dalam Hasyiah Tuhfah, bidan tersebut dikenakan qisas.

4. Jika seseorang sakit , kemudian makan ubat lalu  hilang ingatannya, adakah terangkat taklif?. jawabnya terangkat. Masalah ini ada dalam Nihayah. 

5. Tuan Guru  juga telah menceritakan kepada saya satu kisah , dipondok Bunut Payong, satu peristiwa kematian seorang kanak-kanak 12 tahun , ditimpa buah kelapa diatas kepalanya. mayat kanak-kanak tersebut masih berdarah sehinggalah saat dimandikan. maka berlaku sedikit kicuh dikalangan pelajar dan guru-guru dipondok Bunut Payong, apa yang perlu dilakukan terhadap mayat itu. sebab berdarah kepala yang masih mengalir takdapat dibersihkan. maka mayat yang bernajis tidak sah disembahyangkan?. Maka ketika itu tidak seorang pun yang sanggup untuk datang untuk berjumpa Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir , hanya Pak Ya (Tuan Guru Haji Yahya) datang bertanyakan masalah tersebut kepada Sheikh Abdullah Tahir.

Jawapannya: Semasa sedang memandikan mayat itu, pemandi menjiruskan air terus menerus tanpa putus di tempat luka yang berdarah yang masih mengalir itu, dan ketika itu juga 3 atau  lebih  orang yang ditugaskan menyembahyangkan mayat itu. Setelah selesai sembahyang, baru diberhentikan menjirus air.     Kemudiannya diteruskanlah acara yang seterusnya. Munkin selepas itu akan disembahyangkan lagi dimasjid beramai-ramai.

Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir menjawab soalan itu sambil sedang duduk diatas katil.

Menurut Sheikh Abdullah Tahir, kaifiat ini akan dapat menghimpunkan semua pendapat-pendapat (qaul)  yang bercanggahan. 

6.. bersambung..




Monday, October 29, 2012

Fathul Wahhab menurut guru saya.

Saya pernah bertanya berkenaan kitab Fathul Wahhab kepada Tuan Guru saya, Tok Guru Pak Ya Telok ( Haji Yahya bin Mat Saman).

Apakah masalah2 yang menarik yang ada dalam Fathul Wahhab?...

Beliau berkata: "Fathul Wahhab kitab muktamad mazhab, semua isinya muktamad belaka, kecuali ada beberapa masalah yang dhoif dalamnya. Mahalli , bercampur, ada yang muktamad , ada yang dhoif. ".

Saya terlopong bila mendengar jawapan guru saya tu. Dalam Fathul Wahhab ada pendapat yang lemah?.

Beliau berkata lagi: " Masalah lapis kafan mayat lelaki. dalam fathul wahhab , nukilan dhoif".

"Tapi ada masalah yang oghang silap faham. Masalah jual hutang naik harga. Dalam Fathul Wahhab kata Makruh ja. Bukannya Riba. Orghang ramai kata riba. Misalnya, kalau jual bayak
(bayaran) tunai 20 ringgit, bila hutang kena bayak 25 ringgit, tu Makruh ja , bukannya riba.. Sebab itu masalah jual beli hutang, bukan bab Hutang yang jadi riba, Kalau pun masuk dalam bab jual beli atau bab hutang , tapi tak termasuk dalam bab jual beli Ribawi. Jual beli ribawi... lain. atau masuk bab hutang... tapi hutang begitu bukannya riba... hutang yang jadi riba ..lain (caranya)".

Maka terlopong lah sianak murid ini.........kehairanan.........maka fahmlah saya betapa perlunya berguru....

Saturday, October 27, 2012

Fathul Wahhab dan Guru Saya

Yang saya ingat, satu hari saya bertanya kepada Tuan Guru saya , al Marhum Tuan Guru Haji Yahya bin Mat Saman (Pak Ya telok), berkenaan kitab Fathul Wahhab.

 " Tuan Guru mengaji dengan siapa?". 


Beliau menjawab " Dengan Tok Bunut Payung".

Maksud beliau , beliau belajar Kitab Fikah Fathul Wahhab dengan al marhum Tuan Guru Sheikh Abdulah Tohir , Tuan Guru Madrasah Ahmadiah , Pondok Bunut Payung, Kota Bhru Kelantan. 

Satu Hari beliau bercerita lagi:
 " Masa saya dok mengaji di Bunut Payung, Kelantan, Tok Guru Haji Yazid Pendang, mai pondok Bunut Payung, tidok (singgah berehat ) di pondok saya, dia bukak kitab2 saya yang saya mengaji".
Kemudian beliau sambung:

"Baru2 ni ( sekitar tahun 1985 m) , saya pi ziarah Tok Guru Haji Yazid, dia habak... di Kedah ni .. La ni, yang ALIM... Tok Haji Bakar Palestin, Tok Haji Tajuddin Melele, Tok Haji Yazid, Pak Ya (Haji Yahya bin Mat Saman), ..... ( seorang lagi saya dah lupa pula , insyallah bila saya ingat , nanti saya akan catitkan) ... Ha yang 5 oghang ni Alim".

Haji Lah menyampuk: "Tok Haji Zakaria Kubang Siam?..."

Kata Tok Guru Haji Yazid " Boleh". Tak "Alim".


Kemudian Tuan Guru saya ( Tuan Guru Haji yahya ) menyampuk :

" Yang saya ,, apa pulak?.."..

Kata Tok Haji Yazid: "Aku Tau la Hang...".


Peristiwa ini saya masih ingat , berlaku disurau lama pondok telok, semasa saya msih belajar dengan al marhum Tuan Guru saya itu.

Ketika yang lain, al Marhum Tuan Guru saya itu bercerita ..
: " Saya mengaji habih Fathul Wahhab, Mahalli , Tafsir Nasafi, dengan Tok Bunut Payung".

Tok Bunut Payung memang Taraf Fuqaha, bila mengajak Mahalli tak tengok dah, pakai Muqri ja..".


Tok Haji Yazid mai pondok saya , belek habis kitab Fathul Wahhab saya...dia tengok kitab saya penuh dhobit.. lepas tu dia baca syair..


فلا تكتب بخطك ما يسرك فى القيامة


Saya jawab:


العلم صيد و الكتابة قيد -- قيد صيودك بحبل الواثقة . 

 


lagi pulak, macamana tanda (bukti/alamat) saya dah mengaji kalau tak dhobit?..  ( tak ada catitan)?.


Dia kata: Ikut mu laah"
.

Friday, April 17, 2009

al Marhum Guruku Yang diKasihi.

Seawal umur merangkak naik , diawal 20an, saya nekad bermusafir keKedah untuk menuntut ilmu diPondok. Berbekalkan dorongan dan izin ayah dengan keewangan yang tiada jaminan melainkan ketentuan Lauh Mahfuz sahaja. Dalam poket , hanya $80 sahaja. Saya sampai diAlor Setar dengan bas Mara ketika itu, yang tiada pendingin hawa....

-->

Seorang kawan apabila melihat kecenderungan saya membelek kitab-kitab tua, sehingga pernah saya duduk dimasjid Irfan ,diDerga, jalan Langgar, Alor Setar berjam-jam. Dari pagi sampai ke petang.. membelek kitab I.anah Hasyiah Fathul Mu’in, padahal ketika itu Nahu dan Sharaf belum jelas. Mubtada khabar pun cari tak jumpa-jumpa. Kawan tersebut menawarkan pada saya untuk menghantar saya bertemu seorang "Tok Guru yang sangat alim… baca doa sangat panjang , sampai 40 minit baru selesai. Mengaji (belajar) sampai kitab Tuhfah". ...Masyallah.. saya terkejut.. dan seperti suatu tarikan yang sangat kuat, terus saja bersetuju.
Memang hasrat dalam hati saya bercita-cita nak mengaji pada guru yang boleh mengajar Tuhfah dan Nihayah sudah lama terpendam. Kalau saya sampai diKedah nanti ,,Saya akan mengaji (belajar) dengan guru yang pernah mengaji , menadah kedua-dua kitab tu atau salah satunya.......
Saya masih tertanya-tanya apa maksud "
"baca doa sangat panjang , sampai 40 minit baru selesai"..

Pada pertemuan pertama kali itu , saya dapat mencium keharuman pengalaman dan ilmu Tuan Guru . Penambahan maklumat saya yang pertama sekali bila kebetulan hari tersebut Raya Haji. Beliau memulakan takbir raya dan disambung dihujungnya dengan selawat. Saya pada ketika itu sangat terasa satu maklumat baru yang segar. Terpinga-pinga saya.... tak pernah seumur hidup berjumpa ada orang takbir raya seperti itu.. dalam kitab mana?.. siapa lagi ulamaknya yang beramal dan bincang ada takbir seperti itu?.. Seperti satu siraman air sejuk yang menyegarkan telah menimpa saya...

Bertanyalah saya "Tuan Guru.. DiKedah ni siapa yang boleh mengajar Tuhfah?". Beliau menjawab " Saya mengaji setakat Nihayah ja... 6 juzuk ". " Ngaji dengan al Marhum Tok Guru Haji Solehuddin... Pulau Pisang.. murid Tok Kenali". "Sampai juzuk 6 .. Tok Guru mati". " Tok Guru mengajar sampai mati... dok sakit ..sambil baring ,,mengajak lagi..".

Ini dialog yang masih basah.. saya ingat lagi..


Kemudian saya meneruskan pertanyaan.. " Apa beza Tuhfah Nihayah?"... " beliau menjawab
" Dalam Matlain.. ada sebut khilaf Tuhfah dan Nihayah"... Masalah Kulfah (kulup) kanak-kanak lelaki yang mati...adakah apabila mati dan dibawah kulupnya ada najis .... kena sembahyang dengan tayamum atau tidak disembahyangkan?.. . maka Sheikh Romli dalam Nihayah - tak sembahyang... Ibnu Hajar dalam Tuhfah - sembahyangkan dengan Tayammum, kerana darurat".

"Maka bila khilaf begitu... dalam masalah ini kena ifta... bukan dirayah... kalau takat .. sheikh romli betui.. Ibnu Hajar pun betui... tu bukan ifta.. tu dirayah namanya..

maka al-musbitu muqaddamun ala manfi. .. kena pakai ibnu hajar la..."..

Ini dialog yang masih saya ingat. Maasyallah Tuan... Matlaul Badrin tu saya dah mengaji dikampung .. dan maslah tu saya dah jumpa.. tapi nak pakai mana satu pendapat dua ulamak tu tak pernah saya dengar lagi sebelum tu . Dan bahas yang sepertiitu saya tak pernah dengar lagi sampai ke hari ini daripada Guru-guru selain dari Tuan Guru saya ni lah saja. .