Saturday, May 03, 2014

Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/Hitam.



Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman Pondok Kampong Teluk, Kepala Batas , Alor Setar.

Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/ Hitam telah dilahirkan pada tahun 1917 dan telah wafat pada 2006 masihi berusia sekitar 89 tahun. 

Mempunyai tiga orang isteri. Isteri yang pertama meninggal dunia dan kemudian beliau berkahwin dengan yang kedua kemudian bercerai, dan berkahwin pula yang terakhir dan kekal hingga wafat beliau  . 

Mempunyai seorang anak dan beberapa cucu. Beliau memulai pendidikan agama semenjak daripada pangkuan ibunya, belajar ilmu fardhu ain, alquran tajwid, dan membaca kitab Muniyatul Musolli. Kemudian masuk belajar diPondok Lembah Bujang, Merbok, Kedah ,  selama 10 tahun. 

 Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Negeri Kelantan dan menuntut di pondok Madrasah Ahmadiyah di kg Bunut Payung,  Kota  Bharu  Kelantan  selama 29 tahun. 

 Semasa di Bunut Payung, beliau telah menghabiskan waktu belajar dengan system talaqqi iaitu  membaca kitab dari kulit ke kulit sehingga khatam. Beliau menadah di hadapan guru utama pondok iaitu Almarhum Tuan Guru Sheikh Abdullah Thohir yang merupakan murid tua kepada ulama besar Tok Kenali. Selama puluhan tahun beliau menadah siraman ilmu di Pondok Bunut Payung di bawah asuhan guru besar Sheikh Abdullah Thohir tersebut. 

 Beliau telah  mengkhatamkan kitab-kitab turath (kitab kuning) samada dalam teks bahasa melayu atau bahasa arab, dalam pelbagai displin keilmuan islam, seperti nahu, saraf, hadis, mustholah hadis, feqah, tauhid, usul tafsir, tasawuf, ilmu-ilmu alat (iaitu balagah, mantik, maqulat, ‘arudh, miqat, falakiah,) dan lain-lain. 

 Beliau telah menggelarkan Sheikh Abdullah Thoir sebagai Faqih. Antara tanda-tandanya, kemahiran Sheikh Abdullah Thoir mengajar teks kitab fekah - al Mahalli tanpa melihat kitab lagi, hanya  perantaraan Muqri ( pembaca).

Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab umdah (rujukan utama) yang besar-besar dalam pelbagai bidang, di antara kitab-kitab tersebut antaranya :

1)    Fekah:Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab utama Ghoyah wa Taqrib, Fathul Qorib , Fathul 
     Muin, Fathul Wahhab, al-Mahalli (Qalyubi wa Umairah) ,Nihayatul Muhtaj (6 juzuk).
2)   Tauhid:Beliau mengkhatamkan kitab-kitab asas tauhid sehinggalah sebesar-besar seperti 
     adDussuki ,  Abddus Salam, dan lain-lain.
3)      Tasawuf: al-Hikam dan semua syarahannya, kitab-kitab imam alghazali sehingga ihya’, kitab
     Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, addurun Nafis, dan lain-lain
4)     Nahwu  :Mengkhatamkan berbagai kitab asas Nahu sehinggalah sebesar-besar kitab Nahu seperti  
      Ibnu Aqil, Awdhoh, Mughni Labib dan lain –lain.
5)      Hadis:  Mengkhatamkan Sunan  Sittah (kitab hadith yang 6 buah) . Kitab-kitab asas ilmu hadith seperti Matan   
      Arbain,  Riyadhus Sholihin, Bulughul Maram, Abi Jamrah, Misykat Mashobih  dan lain-lain.
6)      Tafsir: Mengkhatamkan kitab asas tafsir seperti Tafsir Jalallain, tafsir-tafsir dalam bahasa 
       melayu  seperti Baydhowi Melayu (Tarjumanul Mustafid), dan mengkhatamkan kitab-kitab 
       tafsir yang besar-besar seperti tafsir An Nasafi, tafsir Al Baidawi, Tafsir al Maraghi, sebahagian besar Tafsir Ibnu Katsir  dan lain-lain.
 
7)      Usul Fekah dan Qawaid Fiqhiyyah: Beliau mengkhatamkan daripada sekecil-kecil hingga
      sebesar-  besarnya seperti kitab Waraqat dan syarahnya oleh al-Mahalli, al-Ashbah  wan Nazo ir, 
      Jam'ul Jawamik, dan  lain-lain.

Disamping menumpukan masa dengan pelajaran di pondok utamanya iaitu Pondok Bunut Payung, selepas kewafatan Sheikh Abdullah Tohir,  hayat pondok bunut payung telah disambung oleh almarhum Tuan Guru Husien Ar Rahimi, beliau berkesempatan bermulazamah dengan ulama’-ulama’ besar yang berada di sekitar Kota bharu Kelantan untuk memungut mutiara ilmu daripada mereka. Orang-orang besar itu seperti Tuan Guru  Haji Bang Kob Legor (murid Tok Kenali),Tuan Guru Mufti Haji Nor, Tuan Guru Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Salahuddin  (murid Tok Kenali) dan lain-lain.

Beberapa catitan kisah pembelajaran beliau yang diceritakan kepada saya yang masih saya ingat.

1)     Beliau menceritakan semasa beliau menuntut di pondok Bunut Payung, beliau telah dilantik sebagai ketua pelajar untuk mengawasi hal ehwal pelajar pondok ketika itu, dan beliau juga merupakan ketua kepada pelajar-pelajar yang datang dari Kedah. Beliau menceritakan almarhumTuan Guru Haji Hasyim mudir Pondok Pasir Tumbuh, ketika itu adalah seorang pelajar dari Kedah yang dibawa oleh beliau untuk melanjutkan pelajaran di Pondok Bunut Payung.

2)    Beliau menceritakan satu ketika, beliau menziarah Almarhum Tuan Guru Pak Man , Pondok Bukit Besar di pondok bukit besar Kedah. Ketika beliau sampai mendapati Tuan Guru Pak Man sedang mengajar kitab usul fekah yang paling besar dan sangat susah ibaratnya iaitu Jam'ul Jawami’ karangan  Imam Subki r.a. Kebetulan yang menadah kitab ialah Tuan Guru Sheikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar. Ketika sampai di majlis beliau duduk menghadap dengan Tuan Guru Pak Man lalu duduk untuk sama-sama menjadi pendengar kepada bacaan kitab, tetapi tiba-tiba Tuan Guru Pak Man bukit besar melambai tangan kepada beliau memanggil  untuk duduk di samping Tuan Guru Pak Man  sambil berkata iaitu menujukan kata ke Tuan Guru Haji Mahmud, “Dia ni kawan ana”. Selepas bercerita kisah tersebut, tuan guru saya ini mengulas dengan berkata ( “Pak Man ilmunya, mahirnya sekata, tidak seperti sesetengah orang yang lain"). Maksud beliau, ilmu Tuan Guru Pak Man  adalah sama tahap kemahiran  di setiap bidang ilmunya. Tuan Guru Pak Man bukit besar mahir ilmu fekah, juga mahir tasawuf, juga mahir ilmu-ilmu yang lain. Tidak seperti mereka yang seperti mahir ilmu fekah tetapi tidak mahir dalam bidang ilmu-ilmu yang lain.

3)      Satu ketika yang lain beliau bercerita, semasa menuntut di Kelantan, beliau telah memerhatikan dan mengingat masalah-masalah fekah yang gharib ( jarang orang tahu) ketika menadah dengan Tuan Guru ,Tuan Guru. Jika berjumpa sahaja  dengan  masalah yang  gharib beliau akan terus mengingatinya dan masih dalam ingatan beliau. Antara masalah-masalah yang beliau sering ulangkan:
1. Sunat membaca ta'awwuz dengan jahar sebelum membaca al-fatihah  di dalam sembahyang  yang dijaharkan bacaannya, sedangkan yang masyhur diketahui umum adalah tidak sunat pada sisi qaul muktamad ashoh. Tuan guru saya ini mengisyaratkan masalah ini sebagai satu masalah yang menarik yang patut diamalkan walaupun menurut qaul yang Muqobil. Masalah ini terdapat dalam kitab Mughni Muhtaj, beliau ingat ketika sedang menadah kitab tersebut.

2.Masalah yang kedua, perempuan haid yang sedang berihram diharuskan memakan ubat untuk menghentikan haidnya bagi melakukan tawaf rukun haji atau  umrah, masalah ini beliau masih ingat ketika menuntut kitab Nihayatul Muhtaj. 

3.Bidan yang menarik kepala bayi yang lambat keluar daripada perut ibunya lalu dicabut putus, maka menurut Qaul Shyubari di dalam Hasyiah Tuhfah, bidan tersebut dikenakan qisas.

4. Jika seseorang sakit , kemudian makan ubat lalu  hilang ingatannya, adakah terangkat taklif?. jawabnya terangkat. Masalah ini ada dalam Nihayah. 

5. Tuan Guru  juga telah menceritakan kepada saya satu kisah , dipondok Bunut Payong, satu peristiwa kematian seorang kanak-kanak 12 tahun , ditimpa buah kelapa diatas kepalanya. mayat kanak-kanak tersebut masih berdarah sehinggalah saat dimandikan. maka berlaku sedikit kicuh dikalangan pelajar dan guru-guru dipondok Bunut Payong, apa yang perlu dilakukan terhadap mayat itu. sebab berdarah kepala yang masih mengalir takdapat dibersihkan. maka mayat yang bernajis tidak sah disembahyangkan?. Maka ketika itu tidak seorang pun yang sanggup untuk datang untuk berjumpa Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir , hanya Pak Ya (Tuan Guru Haji Yahya) datang bertanyakan masalah tersebut kepada Sheikh Abdullah Tahir.

Jawapannya: Semasa sedang memandikan mayat itu, pemandi menjiruskan air terus menerus tanpa putus di tempat luka yang berdarah yang masih mengalir itu, dan ketika itu juga 3 atau  lebih  orang yang ditugaskan menyembahyangkan mayat itu. Setelah selesai sembahyang, baru diberhentikan menjirus air.     Kemudiannya diteruskanlah acara yang seterusnya. Munkin selepas itu akan disembahyangkan lagi dimasjid beramai-ramai.

Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir menjawab soalan itu sambil sedang duduk diatas katil.

Menurut Sheikh Abdullah Tahir, kaifiat ini akan dapat menghimpunkan semua pendapat-pendapat (qaul)  yang bercanggahan. 

6.. bersambung..