Bahagian 2 .
KEPENTINGAN KITAB AL MAHALLI SEBAGAI TEKS RUJUKAN RINGKAS.
Kebiasaannya kitab fekah Syarah Minhajul Tholibin karangan Imam Jalaluddin al Mahalli digelar oleh para ulama dengan nama kitab al-Mahalli disamping itu ada nama lain bagi kitab syarah ini yang telah diberikan oleh pengarang Kasyfuz Dzunun juz 2 muka surat 1873 iaitu Sheikh Haajii Khalifah dengan judul KANZUZ ROGHIBIN.
3 buah kitab , itu 1.Tuhfatul Muhtaj 2.Nihayatul Muhtaj, 3.Mughni Muhtaj adalah kitab yang terkemudian selepas daripada Syarah al-Mahalli. Oleh yang demikian, pada hakikatnya 3 buah kitab ini merupakan huraian yang lebih lanjut pada MAKNANYA nisbah kepada Syarah al-Mahalli.
Syarah al-Mahalli dikarang lebih dahulu daripada 3 buah kitab tersebut, bermakna kitab Syarah al- Mahalli merupakan kitab terawal daripada 3 buah kitab tersebut.
Di dalam Nihayatul Muhtaj juz 1 muka surat 9 karangan Sheikh Ramli Rahimahullah disebut puji-pujian dan sebab-sebab yang menjadikan kitab Syarah al-Mahalli sebagai rujukan dan menyingkap makna-makna tersirat di dalam Matan Minhajul Tholibin dan menerangi ibarat yang terselubung, membukakan pintu-pintu makna bagi matan Minhajul Tholibin dengan Syarah al-Mahalli sebagai anak kuncinya, memudahkan bagi penuntut / pelajar menjalani liku-liku ibarat Minhajul Tholibin, dipenuhi dengan himpunan nama-nama para ulama dan gelaran-gelarannya......tidak adalah melainkan sebab takdir qada dan qadar yang tidak menolong pengarang untuk memberi penjelasan setiap ulasan-ulasan ringkas beliau maka kewafatan yang menjadi takdir Ilahi telah menjadi penyebab terhalangnya untuk penjelasan yang lebih luas.
Imam Mahalli telah meninggalkan perkara-perkara yang susah difahami iaitu tidak dicatit dalam syarahan ini, yang kebiasaanya di dalam kitab-kitab besar dikemukakan oleh kebiasaan pengarang seperti (الغاز) iaitu teka-teki dalam ilmu fekah. Ini menjadikan komentar beliau merupakan satu penjelasan yang ringkas dan padat.
Nisbah syarah al Mahalli dengan ke3 buah kitab:
1. Tuhfatul Muhtaj- Imam Ibnu Hajar. (Wafat 974 Hijrah).
Kitab Tuhfah karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami kebanyakkan kandungannya adalah merupakan hasyiah ( nota) bagi gurunya iaitu Sheikh Ibnu Abdul Haq yang merupakan huraian bagi Syarah al-Mahalli.
2. Nihayatul Muhtaj -Imam Ramli (Wafat 1004 Hijrah)
Kitab Nihayatul Muhtaj karangan Sheikh Ramli adalah penerusan bagi keilmuan beliau dan guru besar beliau iaitu ayahnya Sheikh Syihab al-Ramli.
3. Mughni Muhtaj- Imam Khatib Syarbini (Wafat 977 Hijrah).
Kitab Mughni Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini yang merupakan karangan yang lebih awal daripada kitab Tuhfah dan Nihayah telah menghimpunkan semua komentar syarah-syarah bagi matan Minhajul Tholibin dan faedah-faedah daripada karangan Sheikh Zakaria al-Ansori dan melanjutkan pendapat guru beliau iaitu Syihab al- Ramli dan juga nukilannya diambil daripada syarah Minhajul Tholibin karangan Imam Ibnu Syuhbah.
Jika diperhatikan tobaqah ataupun peringkat bagi 3 buah kitab tersebut adalah terkemudian daripada Syarah al-Mahalli disebabkan kesemua pengarang 3 buah kitab tersebut berguru dengan Sheikhul Islam Zakaria al -Ansori ( Lahir 826 h - Wafat 926 Hijrah) sementara Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori berguru kepada para murid Imam Mahalli (Wafat 834 Hijrah)
*Menarik*
* Di dalam Syarah al- Mahalli tidak mempunyai istilah-istilah tersendiri melainkan yang termaklum daripada istilah-istilah yang telah wujud sebelumnya yang berkait dengan matan Minhajul Tholibin sahaja.
*Di dalam Tuhfah, Nihayah dan Mughni dijumpai istilah-istilah yang tersendiri.
......................