Wednesday, December 20, 2006


Siri 1
UMDAH AL-MUTATOHHIRIN.
al ustaz abd. raof al bahanji al aliyy. pondok tampin.
Sesungguhnya sebahagian daripada Ikhwan telah meminta kepada saya suatu permintaan yang tidak mungkin menolaknya . Bahawa saya karangkan untuk mereka satu risalah yang kecil, ringkas dan memberi faham berkenaan ilmu fiqah Mazhab Imam Syafie r.a.
Maka saya tunaikan permintaan mereka sekalipun saya bukan ahli bagi bidang tersebut. Sesungguhnya saya telah berfikir sejak saya mula menuntut lagi, tentang orang awam (golongan awam). Sebahagian mereka yang dibimbangi dengan usaha penghidupan sehingga meninggalkan ilmu ilmu asas (fardu ain).Beramallah mereka tanpa ilmu pengetahuan, maka berjalanlah mereka dimalam hari dengan ketiadaan cahaya yang menerangi ataupun mereka tidak beramal langsung, kerana jahil dengan perkara yang penting daripada maksud kehidupan maka binasalah mereka sebagai kebinasaan yang besar. Melainkan petunjuk daripada Tuhan. Sebahagian daripada mereka suka kepada ilmu pengetahuan tetapi lantaran mereka sibuk dengan urusan urusan yang tidak membolehkan mereka hadir dimajlis majlis ilmu, langsung mereka mengambil ilmu ilmu asas iaitu fardhu ain dari buku buku yang pada gambarannya berciri pembaharuan pada dakwa, maka mereka menjalani jalan yang bergoncang lantaran tidak berpijak diatas jalan jalan yang terang dan nyata.

Lalu mereka berpegang sebagai pegangan yang tidak akan beroleh kejayaan. sebahagian mereka pula disebabkan kerana terlalu ingin kepada keaslian yang sebenar benar asal. Hampir terlebih hampir yang hakiki. Maka lalu berjalan dengan jalan (cara) munasabah aqal semata-mata .

Lalu mengambil keputusan sebenar benar jalan atau cara atau method ialah jalan al-Quran dan sunnah sahaja. Golongan lain tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. penghujung kesudahan daripada sikap sikap tersebut, terbangun dan tercetus perasaan perasaan taasub (fanatik) seolah olah jalan al-Haq yang sebenar tidak ada melainkan hanyalah satu. Padahal Tuhan kita Jalla wa Azza berfirman .........
" Jalan-jalan Kami".

Ini bermakna jalan yang sebenar adalah banyak tidak terkira.

Sepertimana juga telah berkata sebahagian al Arifin billah ........

"Jalan jalan menuju Allah ta'ala adalah banyak dengan sebilang bilang nafas yang turun naik".

Mereka juga menudingkan jari telunjuk kepada pihak lain menyatakan pihak disana disini silap, bid'ah, jahil dan syirik dengan penuh yakin. Aduhai cita citaku kalau boleh tahu apakah fikiran ummat masa kini umat akhir zaman padahal jaminan diberi bahawa tidak bersatu ummat didalam kesesatan dan berlainan pendapat dibolehkan, diberi pahala, asalkan yang berfatwa dan perkara yang difatwakan mengikut syarat syarat yang termaklum.

Penyelidikan dan kajian terhadap fatwa fatwa mazhab dibuat menunjukkan kesemua Mazhab mempunyai hujjah hujjah dan dalil yang terang nyata, keputusan dibuat menunjukkan ahli ahli Mazhab didalam keselamatan dan kebahagiaan .

Oleh yang demikian saya seorang hamba yang sangat dhaif nisbah ilmu, iman dan pengamatan , disebabkan rasa kasihan belas dan perihatin, menyusun risalah ini sebagai petunjuk kepada penuntut petunjuk, maksud dan hujjah bagi pengkaji dan penyelidik .


Disebabkan kecil zatnya dan sedikit bahasannya tetapi insyallah mungkin dalam makna dan maksudnya. Demi Allah tidaklah saya menyucikan diri saya beserta Allah taala yakni tidaklah saya bermaksud melebih-lebihkan diri saya, betapa tidak boleh dikatakan begitu ? padahal ia adalah diambil daripada dalam kitab-kitab yang mana merupakan {Umdah Mazhab}, kitab-kitab teras bagi Mazhab Syafie, teristimewa kitab Tuhfah, Nihayah dan Mughni al- Muhtahjaj.

Tak ada apa apa dipihak saya melainkan hanyalah menukil dan memetik daripada taman taman dan lautan ilmu mereka R.A saja. Mudah-mudahan Allah taala jadikan karangan ini suatu simpanan dan nilai diakhirat pada hari yang tiada lindungan melainkan lindunganNya. Dialah yang memadakan bagi ku dan pegangan ku, tiada daya dan upaya melainkan denganNya. Diakhir, wassalamu alaikum waroh matullahi wabarokatuh.



Rujukan.


1 -Hidayatul Shibyan.
2 -Anak Kunci Syurga
3-Matlaul badrain
4-Bughyah al-Thullab.
5- Sabilul Muhtadin
6-Fathul Qorib.
7-Fathul Muin.
8- al-Baajuri - Hasyah Fathul Qorib
9-Tawsih ala ibni Qosim
10-I 'anatul Tholibin
11-Kifayatul Akhyar
12-al-Iqna'
13-Bujairimi a'la al- Iqna'
14-Minhajul Tholibin
15-Fathul Wahhab
17–Bujairimi Fathul Wahhab
18-Tuhfah al- Muhtaj
19–Mughni al- Muhtaj
20-Nihayah al- Muhtaj
21- al-Majmu' syarah al-Muhazzab
22-al-Hawi lil-fatawa
23-al-Fatawa Hahisiyah
24- Idohul Qawai'd
25-al-Durar al-Bahiyah.
26-al-Ashbah wan-Nazoir.



Mabadi ilmu fiqah.


1. Namanya: Ilmu fiqah.

2: Pengertian nya: llmu berkenaan hukum hukum syariat bangsa amalan yang dipetik daripada beberapa dalil yang tafsili ( Terperinci ) .

3.Tempat ambilannya: Daripada kitab al-Quran al-Karim, Hadis-hadis Nabi s.a.w , Ijmak (kesepakatan ulama mujtahidin pada sesuatu hukum) dan Qias (analogi). kesepakatan Ahli Ijtihad daripada ummat Muhammad s.a.w yang semasa atas suatu perkara keugamaan.


4.Faedahnya : Dapat menunaikan segala perintah Allah ta'ala dan meninggalkan segala larangannya.

5.Tempat perbahasannya: Segala perbuatan mekalaf daripada sekira kira kedatangan segala hukum baginya.

6. Hukum mempelajarinya: Fardu ain ataau fardu kifayah.

7.Masalah masalahnya: Segala Qodiyah* seperti niat adalam wajib, berwuduk adalah syarat sah bagi sembahyang, masuk waktu adalah sebab bagi wajib sembahyang .


8. Penyusunnya segala ulama yang Mujtahid.

9. Nisbahnya dengan ilmu ilmu lain: Berlainannya daripada ilmu ilmu yang lain .

10. Kelebihannya: Meningginya diatas sekalian ilmu .

''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''
nota:

*qodiyah yang dimaksudkan disini adalah susunan perkataan yang meliputi (mengandungi) hukum misalnya ayat niat adalah wajib , maksudnya hukum berniat adalah wajib atas sesuatu amalan berwuduk adalah wajib maksudnya berwuduk adalah hukumnya sebagai syarat bagi kesohihan sesuatu sembahyang begitulah seterusnya.