Friday, December 28, 2007

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI.r.a 2.

IMAM SAYUTHI DAN ILMU LUGHAH ARABIAH.

Tidak akan bertambah ilmu
pengetahuan melainkan berwasilahkan melalui BAHASA. Bahasa Arab sangat istimewa disebabkan anugerah Allah terhadap NabiNya yang penyudah dan diturunkun kitab Al- Quran dengannya. Seperti itu juga wajib mengetahui cara sembahyang dan zikir di dalam sembahyang menerusi Bahasa Arab. Oleh sebab yang demikian, Imam Al-Syafie telah menjelaskan perihal wajib mengetahui Bahasa Arab bagi setiap penuntut ilmu dan dan lazim bagi setiap Muslim mempelajarinya demi kesempurnaan agama. Boleh dilihat hal ini di dalam kitab al Risalah karangan Imam Al-Syafie mukasurat 48 hingga 49.

Al-Sayuti yang bermazhab Syafie, sangat mengamat- amati kalimah dan anjuran Imam Syafie, imam ikutannya yang agung itu. Beliau telah meluaskan pengetahuan Arabiahnya sehingga diberi gelaran Al A'lamah Al Lughawi (Imam yang sangat alim pada ilmu bahasa). Ada sarjana yang mengatakan karangan beliau tentang bahasa menjangkau 100 buah. Lihat sahaja kehebatan kitab al asbah wan nazhoir fin nahw (komentar matan alfiyah Ibnu Malik) berkenaan ilmu nahu yang sangat besar dan berjilid-jilid pula. Lihat juga al Muzhir, perbicaraan lughah/bahasa arab yang sangat halus dan luarbiasa.

Al-Sayuti mengkhabarkan puji-pujian guru beliau, Al Imam Taqiyuddin Ahmad bin Muhammad Al-Shumuni terhadap kitab Jamu'l Jawami' itu dengan taajubnya keheranan. Sheikh itu berkata, "Daku telah meneliti satu-satunya kitab Jamu'l Jawami' ini, dan karangan yang merupakan permata yang terkarang."

Al-A'lamah Mahyuddin al Kafiyaji, Al-Sayuti telah menceduk lautan ilmu selama 14 tahun daripada Sheikh ini. Beliau merupakan guru utama bagi Al- Sayuti, Al-Sayuti telah mensifatkan keperibadian Sheikhnya ini dalam kitab Al-Itqhon dengan ungkapan "Mahaguru bagi segala para ustaz, merupakan mata bagi seseorang manusia yang meneliti dan mengkaji, intisari bagi para ulamak semasa, A'llamah (ulamak yang sangat alim) semasa, kebanggaan zaman. Daku tidak pernah masuk menemuinya setiap kali dalam sehari melainkan akan mendapat faedah bertambah ilmu pada perkara yang tidak pernah aku dengar daripada pentahkikan yang sangat hebat dan berharga."

Di dalam kitab al Asbah wan Nazhoir, pada bicara ilmu Nahu, Al-Sayuti menceritakan pelajaran beliau dengan gurunya ini. "Pada suatu hari gurunya berkata, "Engkau i'rablah ayat 'Zaidun Qoo iimun'." Daku berkata. "Ya Sheikh, anda buat kami seperti dikedudukan kanak-kanak, anda hanya bertanya berkenaan hal ini sahaja?" Sheikhku menjawab, "Pada ayat "Zaidun Qoo iimun" terdapat 113 perbahasan" .

Maka As Sayuti merasa hairan dengan jawapan Sheikhnya itu lalu beliau tidak berdiri melainkan terus mencapai kitab-kitab beliau untuk mencatit setiap satu perbahasan tersebut, bermula daripada perbahasan ilmu Nahu sehingga hampir kepada perbahasan Falsafah dan Mantik. Yang demikian disebabkan Al A'lamah Mahyuddin al Kafiyaji sangat mendalami ilmu-ilmu Lughah dah 'Aqliah.