Sunday, August 03, 2008

Al Marhum Tuan Guru Sheikh Daud Malau.

Photobucket

-->
Al Marhum Tuan Guru Sheikh Haji Daud bin Hasan Malau . Sebelum saya masuk belajar diPondok Padang Lalang ada beberapa peristiwa pengalaman saya tentang Tuan Sheikh tersebut yang masih saya ingat. Satunya, satu ketika di masjid Sungai Kob , Karangan, Kulim, beliau mengajar membaca kitab selepas maghrib, kitab Hidayatu Shibyan yang beliau baca dan syarahkan. Ketika itu saya yang kebetulan menumpang motosikal seorang kawan, singgah sembahyang maghrib disitu. Selesai sembahyang saya terus memasang telinga mendengar kuliah beliau. Niat yang pada mulanya hanya singgah saja telah bertukar untuk terus tetap mengikuti kuliah itu sampai selesai, disebabkan tertarik dengan perbahasan beliau yang begitu halus dan luas , padahal kitab yang dijadikan teks pembacaan hanyalah sebuah kitab nipis tak sampai 50 mukasurat.

-->Tuan Guru ini menghuraikan masalah sujud dalam sembahyang, syarat2nya dan ikhtilaf ulamak dikalangan Shafieyah. Beliau menukilkan pendapat2 dari kitab al Mahalli syarah matan Minhaj al Tolibin. Sujud mesti ditekankan sedikit kepala sekadar , diumpamakan berbekas ditempat sujud jika diletakkan sesuatu yang lembut seperti kain atau kapas atau kekabu. Ketika itu pada saya, ini satu ilmu yang baru saya dengar. Sangat takjub saya. Sebab selama ini saya tak memberi perhatian pada membincangkan perkara tersebut.


-->
Tuan Guru ini, yang digelarkan orang sebagai Sheikh Daud Malau atau sebagai Pak Sheikh Daud sangat mahir dibidang fiqh. Disatu ketika beliau mengajar dimadrasah pondok beliau diMalau, Kulim, Kedah membaca kitab Bughyathullab karangan Sheikh Daud Fathani , beliau telah disanggah dan dibangkang dalam majlis tersebut oleh seorang ustaz dari daerah lain yang juga merupakan ahli pengajian kelas yang diadakan setiap minggu disitu. Setelah puas ustaz tersebut meluahkan semua hujah dan fahamannya kepada Tuan Guru kita ini khasnya dan jemaah yang hadir amnya, Tuan Guru kita ini telah menjawab semua sanggahan dan hujjah tersebut dengan lancar tanpa tersekat , sehingga ustaz tersebut mengakui kebenaran dipihak Tuan Guru kita ini. Selepas peristiwa itu, Tuan Guru kita ini pernah meluahkan kata-kata " Depa nak main ana ,...... ana khatam Mahalli 4 kali".

Masyallah , 4 kali khatam kitab Mahalli itu bemaksud beliau menadah /belajar kitab tersebut dengan Guru-guru secara talaqqi, harfan biharfin. Sekali khatam 4 juzuk kitab itu pun sudah memadai, apalagi kalau 4 kali kahatam?. Memang Tuan Guru kita ini sangat mahir ilmu fikah. Diakui kawan dan lawan.
Diceritakan sebelum peristiwa ini berlaku, Tuan Guru kita ini telah ditohmah dengan tohmahan yang tak sepatutnya. Maka selepas peritiwa ini semua tohman itu telah beransur-ansur berkurangan.

-->
Satu ketika, lepas sembahyang maghrib dimasjid Kelang Lama, Kulim saya hadir dimajlis pengajian Tuan Guru ini. Beliau membaca kitab Hidayatus Shibyan juga. Beliau membahaskan persoalan sembahyang jamak dan qashar bagi musafir. Disudut syaratnya dan kelebihannya. Maasyallah tuan, saya terkejut lagi. Itulah kali pertama dalam hidup saya dalam keadaan dahagakan ilmu , bertemu seorang Tuan Guru yang ilmunya bagaikan lautan tak bertepi (ini pada anggapan saya). Sebabnya, beliau setiap kali sesuatu topik yang dibincangkan , akan menyebut pendapat ulamak yang berbeda- beda dengan disertai dalil-dalil masing-masing dan setiap patah dalil penentang akan dinyatakan hujjah mematahkannya. Ini satu bentuk munazarah ilmiah yang sangat bernilai pada sisi ahli ilmu. Yang peliknya , method ini oleh Tuan Guru kita ini telah menghayatinya dalam setiap majlis pengajian beliau. Bukan hanya dimadrasah pondok beliau, tetapi disetiap majlis , disurau masjid atau mana-mana madrasah pondok yang mengundang contohnya diPondok Padang Lalang , Bukit Mertajam iaitu setiap 3 bulan , selama tiga hari diadakan majlis ijtimak ulamak.
Kembali kepada kisah di masjid Kelang Lama tersebut, saya masih ingat lagi , bagaimana Tuan Guru ini telah dihujani oleh soalan-soalan mereka yang hadir ketikaitu, soalan-soalan yang bertalu-talu , setiap kali selesai Tuan Guru kita menjawab saja, terus akan diajukan lagi dengan soalan -soalan berikutnya oleh orang yang sama atau orang lain . Sehingga kitab yang dibaca baru 2 atau 3 baris sahaja . Itulahnya mungkin sepanjang penelitian saya , Tuan Guru kita ini, diakhir-akhir majlis akan meneruskan bacaan tanpa huraian lagi. Sebab semuanya telah terhurai diawal-awal pengajian. Saya masih ingat lagi , ketika itu, Tuan Guru kita ini telah menjawab setiap soalan yang pada perkiraan saya bukan soalan asas lagi, tapi tahap perbahasan ulamak. Tuan Guru kita ini telah menjawab dengan menyebut Nash-nash kitab . Bukan lagi secara mafhum "ada dalam kitab ini ", "ada dalam kitab itu". Beliau menyebut sebagai contohnya , ketika itu soalan sembahyang musafir, disebutnya ayat yang dalam dalam kitab Mizan al Kubro ( fiqah 4 mazhab) dengan sebutan lancar dilidah , dalam ingatan beliau tanpa melihat teks. Seolah-olahnya beliau telah hafal semua kitab Mizan tersebut. Ini satu yang sangat mengkagumkan.

-->

-->
Ingatan beliau sangat kuat. Saya setiap kali datang mengunjungi beliau di pondok beliau Malau, akan selalu menyediakan soalan-soalan yang banyak disimpan dalam ingatan saya, sebelum bertolak menuju kepondok beliau. Soalan-soalan yang saya anggap cukup payah difahamkan tidak kira apa bidang ilmunya, walaupun kadang-kadang ada teselit dalam hati saya nak menguji Tuan Guru ni sejauh mana beliau dapat menjawab, tapi kesemua nya dijawab beliau dengan spontan, bahkan ditambahkan lagi dengan huraian-huraian yang saya tak pernah dengar sebelumnya . Pernah saya satu ketika saya datang membawa buku selawat Dalaailul Kairat yang ditepinya ada catitan Wirid Daurul A’la bagi Sheikh Akbar Ibnu Arabi. Baris-baris bacaan yang saya musykil , sangat banyak dalam wirid itu. Memang diakui payah nak baca , sebab ketikaitu saya belum mempunyai kitab syarah wirid tersebut. Untuk menterjemah lagilah susahnya . Disudut I’rabnya memang saya keliru ketika itu.Tetapi Tuan Guru ini telah menjawabnya dengan senang, sehingga terbawa perbahasan ilmu balaghah, beliau sebutkan satu persatu beza antara kalam fashahah dengan kalam ghair fashahah..Disebutnya apa itu tanafur, ta'qid, dan sebagainya iaitu perkara-perkara yang menyebabkan kalam jadi tidak fasih. Bukan itu saja, dibacanya pula dengan hafalan beliau syair-syair yang pernah saya belajar tapi tak pula dihafal.
Satu ketika saya mendengar Ust. Jalil, Permatang Batu, Bukit Mertajam seorang pelajar Pondok Padang Lalang , bercerita kepada saya tentang komen Tuan Guru Haji Ja'far al Hafiz (gambar kanan), berkenaan ingatan Tuan Guru kita ini. " Eh, aku heran sungguh, Tok Sheikh Daud,, ingat sungguh"... begitulah keadaannya Tuan Guru kita ini. ingatan beliau dikagumi oleh sesiapa yang mengenali beliau.

Satu lagi keistimewaan Tuan Guru ini, dalam pengajian beliau setiap kali mengajar, sesuatu perkara yang dibahaskan beliau akan membawa contoh-contoh dan misal- misal yang mudah untuk memahami perkara yang dibincangkan. Keadaan ini diakui ramai dikalangan penuntut yang satu batch dengan saya dan orangramai /awam yang datang mengikuti kuliah beliaupun mengaku, "memang Pak Sheikh Daud mengajak sedap, mudah paham" "tapi bila dia bukak kilap, kami pun penin".. he he. khilap tu maksudnya khilaf ulamak, memanglah perbahasan yang dalam. Tapi ramai sangat orang yang mengaku contoh-contoh Pak Sheikh, memang mudah faham. Senang dan lapang dada bila dengar huraian beliau.
Saya ingat lagi : Satu ketika diPondok Padang Lalang, dalam majlis pengajian beliau ditanya maksud ayat " Wal Takum min kum ummah...." seorang pak cik tua bertanya, "macamna maksud ayat tu, adakah kita semua ni kena keluar jalan Allah dengan berdakwah saja, kalau tak , bedosa, sebab Tuhan dah perintah?" .
Tuan Guru kita ini dalam keadaan kebiasaan beliau dengan tunduk memasang telinga dengan teliliti soalan yang diajukan, kemudiannya menjawab dengan tenang, "itu ayat dakwah, ada lagi satu ayat suruh mengaji... (beliau lalu membaca ayat

-->
فلو لا من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا فى الدين ولينذروا قومهم اذا رجعوا اليهم ...
) ,.".. belum pun sempat habis, pakcik tua menyampuk terus.." kalau ada yang kata - dakwah pun ngaji jugak?"- Tuan Guru spontan menjawab " dakwah laiin ... mengaji laiin...., oghrang bebendang laaiiin, oghrang bekebun lain. ... mencangkuu kerja bendang... menebaih.. kerja kebun... lainn lain.. kebuun lain bendang lainn.. dua-dua tu kerja jugak..." ada sorang tu kerja bendaing...celah2 tu duk dibataih bendaing... dok ngisap rokok.. mari oghrang tanya ..{kerja apa?}.dia jawab..( bebendaing....).orghang tu dok tanya lagi, tak puas hati. {Tu..yang duduk dibataih tu ngisap rokok tu..? }.(eiih.. ni duk ja ngisap,, keja bendaing) ". Begitulah keadaan Tuan Guru kita ini setiap kali majlis pengajian beliau.

-->
Sudah suatu kelaziman yang akan menyempurnakan seseorang guru atau pendidik adalah bersikap lunak dan tidak lekas marah. Begitulah yang telah terjadi kepada Tuan Guru kita ini. Nada suara beliau yang tenang dan lembut masih terdengar-dengar ditelinga saya hingga kini. Kalau beliau bercakap dengan anak-anak beliau, tidak langsung nampak seperti seorang komandan tentera mengarahkan anak-anak buahnya. Pernah saya terserempak satu ketika beliau memangil anak beliau, pangillan yang lemah lembut dengan kasih sayang. Saya mendengar beliau memangil nama salah seorang anak beliau ketikaitu , iaitu Ust. Hasan... "Hasan.. Hasan... " dengan nada yang sungguh lembut.


-->
Satu lagi keistimewaan Tuan Guru kita ini, beliau juga mahir ilmu Tasauf, kitab Al-Hikam bahasa melayu yang disyarahkan oleh Tok Pulau Manis beliau baca di majlis Ijtimak Ulamak yang diadakan setiap 3 bulan sekali diPondok Padang Lalang selama 3 hari. Semua ibarat dalam kitab tersebut dihuraikan dengan lancar. Saya alhamdulillah sempat menadah dengan Tuan Guru ini dibahagian akhir kitab tersebut, dibahagian munajat hingga khatam.
Pernah saya tanyakan kepada al Marhum Tuan Guru saya Haji Yahya , adakah beliau kenal Sheikh Daud Malau, beliau mengatakan telah kenal semenjak menuntut diPondok Bunut Payong , Kota Bhru , Kelantan lagi. Maknanya Tuan Sheikh Daud pernah menuntut dengan Sheikh Abdullah Tahir , Ulamak yang sangat berjasa, telah melahirkan ulamak yang sangat ramai.
Al marhum Tuan Guru Haji Yahya juga telah menceritakan kepada saya satu kisah , dipondok Bunut Payong, satu peristiwa kematian seorang kanak-kanak 12 tahun , ditimpa buah kelapa diatas kepalanya. mayat kanak-kanak tersebut masih berdarah sehinggalah saat dimandikan. maka berlaku sedikit kicuh dikalangan pelajar dan guru-guru dipondok Bunut Payong, apa yang perlu dilakukan terhadap mayat itu. sebab berdarah kepala yang masih mengalir takdapat dibersihkan. maka mayat yang bernajis tidak sah disembahyangkan?. Maka ketika itu tak seorang pun yang sanggup untuk datang untuk berjumpa Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir , hanya Pak Ya (Tuan Guru Haji Yahya) datang bertanyakan masalah tersebut kepada Sheikh Abdullah Tahir.
Saya kemudiannya bertanya kepada Tuan Guru Haji Yahya , " Sheikh Daud Malau, ada tak masa tu". Tuan Guru Haji Yahya menjawab "ada".

Semasa saya mula-mula sampai di Pondok Carok Keriang, Saiburi, Thailand iaitu Pondok Baba Rashid Wara’, Baba Rashid Wara’ melihat saya dengan satu pandangan dan bertanya kepada saya adakah kenal Haji Daud Panji?. Baru saya teringat Sheikh Daud memang berasal dari Panji, Kelantan. Kemudian Baba Rashid membuat pengakuan pernah belajar kepada Tuan Sheikh Daud semasa masih menuntut di Mekah.

Satu ketika semasa menziarahi Tuan Guru kita ini, beliau tau saya pernah menuntut di Fathoni,beliau menceritakan baru 3,4 bulan yang lalu, telah diziarahi oleh Tuan Guru Haji Husain Pondok Dala. Saya pula sebelum tu memang telah mendengar pengakuan Baba Sin bahawa beliau juga pernah menadah dengan Sheikh Daud semasa di Mekah.
Maasyallah , Tuan Guru, Tuan Guru besar pun pernah belajar dengan Sheikh Daud Malau?. Saya sungguh tak menyangka hal yang sedemikian. Tapi apakan daya. Maklumat berkenaan pribadi beliau ini tidak diketahui ramai. Oleh sebab itu saya cuba juga menulis sekadar maklumat yang saya alami sendiri dan abadikannya di laman ini , mudahan2an ada manfaatnya bersama.
Seorang murid Tuan Guru kita ini menceritakan kepada saya , (iaitu Ust. Naim Islam, Merbau Pulas, Kedah) - "Tuan Sheikh Daud menuntut diMekah selama 12 tahun", iaitu selepas selesai pengajian beliau di Kelantan. Ramailah penuntut-penuntut melayu yang menadah kitab dengan beliau di Masjid Haram. Ada juga orang-orang Arab yang turut sama belajar dengan Tuan Guru kita ini.


-->
Diantara Kalam al Hikam yang selalu beliau ulang ulangkan dan ambil iktibar ,

ما آ ستودع فى غيب السائر ظهر فى شهادة الظواهر
Barang yang disimpan didalam ghaib rahsia , akan nyata juga pada nyata zohir satu hari nanti.
Barang hak yang disimpan lama dah dalam hati, akhir sudahnya nyata juga. Tu yang jadi sesetengah tu, ada jadi cerito, orang bekaba, eh tok ustaz tu tak sangko sungguh boleh buat lagu tu,, emm .. dah barang lamo dah ada dalam … terbik keluar je..

الهى قد علمت باختلاف الآثار وتنقلات الآطوار أن مرادك أن تتعرف الي فى كل شئ حتى لاأجهلك فى شئ.


-->
Tuhanku , sesungguhnya daku tahu, berlain-lainan segala atsar dan berpindah-randah segala ahwal (keadaan) daripada sihat dan sakit, kaya dan fakir, mulia dan hina , duka dan suka , taat dan maksiat, lupa dan ingat, dapat dan tak dapat, adalah bahwa kehendak dikau daripada (semua itu) adalah dikau memperkenalkan diriMu yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang mahasuci dari tiap-tiap kekurangan, didalam (keadaan) setiap sesuatu, sehingga tiada lagi kejahilan ku (terhijabku) pada sesuatu keadaanitu .


ولأن تصحب جاهلا لايرضى عن نفسه خير من ان تصحب عالما يرضى عن نفسه..

dan kerana demikian, bersahabat engkau akan orang jahil ( iatu yang tak alim tapi lepas fardhu ain, cuma tak tau baca kitab) , yang tidak ridho mengikut nafsunya adalah lebih baik daripada, (jika dibandingkan ) engkau bersahabat dengan orang alim yang ridho mengikut nafsunya.


لاتصحب من لا ينهضك حاله ولا يدلك على الله مقاله

Jangan engkau bersahabat dengan mereka yang tidak mengharungkan ( iaitu mendorongkan ) dikau oleh halnya (iaitu kelakuannya) dan tidak menunjjukan dikau atas (iaitu kepada) Allah oleh perkataannya...



Biodata Ringkas al Marhum Tuan Guru Sheikh Daud Malau.