Monday, February 25, 2008

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI r.a 5

IMAM SAYUTHI DAN ILMU HADIS.

Pada tahun 872 h. , sewaktu berusia 23 tahun, Imam Sayuthi mula mengajar Ilmu Hadis dengan kaedah Imlai, satu kaedah yang tertinggi , dengan cara guru membaca hadis dari hafalannya tanpa melihat kitab, dan murid mendengarnya kemudian mencatitkannya.

Dikatakan kaedah ini telah berhenti, tiada ulamak yang mempraktikkanya lagi semenjak wafat Imam Ibnu Hajar al Asqolani. Sayuthi menghidupkannya kembali di masjid Jami' Ahmad bin Thulun.

Ketika berusia 37 tahun iaitu pada tahun 886 Hijrah beliau mula secara serius mengarang.

Imam Suyuti merupakan ulama' hadith yang paling alim pada zamannya, seorang Al-Hafiz yang amat diyakini, mengetahui lafaz-lafaz hadis yang gharib (ganjil) dan mampu mengistinbathkan (mengeluarkan) hukum-hukum darinya. Pada zaman Ibnu Hajar, terdapat beberapa hadith yang tertangguh kerana tidak diketahui siapa perawi dan kedudukan hadith tersebut. Lalu hadith tersebut diajukan kepada Imam Suyuti. Dengan kemahirannya, beliau telah mendatangkan periwayat dan kedudukan hadith tersebut.

Imam Suyuti menyatakan bahawa Al Hafiz Ibnu Hajar telah menghafaz hampir 20 ribu hadith. Manakala aku telah menghafaz sebanyak 200 ribu hadith. Sekiranya ada orang lebih daripada itu, pasti aku akan menghafaz lebih daripadanya.Moga-moga tidak ada di atas permukaan bumi ini orang lebih banyak menghafaz dari ini (1) (pada zamannya).

Syeikh Al Allamah Zakaria bin Syeikh Al Allamah Muhammad Al Mahalli Asy Syafi'e juga pernah menceritakan tentang kisah pertemuan Imam Suyuti dengan Rasulullah s.a.w. Imam Suyuti menceritakan:

Pada suatu hari, aku bermimpi melihat Nabi s.a.w seolah-olah aku sedang berada di hadapan Baginda s.a.w. Maka aku menyebut kepada Baginda akan kitab hadith yang baru aku karang iaitu kitab Jami'ul Jawami'. Aku berkata kepadanya: Adakah kamu mahu aku membacakan kepada kamu sedikit daripadanya? Maka Baginda s.a.w berkata kepadaku: Bawalah kemari hadith itu kepadaku wahai syeikh!. Ini adalah satu berita gembira yang lebih besar dan bererti bagiku daripada dunia dan seisinya.

______________________________________________________

(1) Bahkan ada. Abu Zur'ah al Razi telah menghafaz 200 ribu hadis , dikatakan juga 300 ribu hadis.