Saturday, March 11, 2006

QOBLIYQH JUMA'AT
TIDAK SUNAT?.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Ustaz Raof, ana berharap al-Fadhil ustaz dapat menulis berkenaan dengan SOLAT QABLIYYAH Jumaat. Apa yang ana perhatikan sekarang .... selain daripada serangan puak Wahabi yang mengatakan itu adalah bid'ah .. terdapat juga ustaz-ustaz yang lebih mengelirukan lagi yakni .... suruh digantinya sbg sunat antara dua azan atau sunat muthlaq. Celaru! celaru! Yang menjadi mangsanya adalah masyarakat yang jahil akan agama dan terlebih lagi bagi yang tiada mahu belajar. Ataupun pun belajar dari mereka yang tidak benar susur galur ilmunya.Kalau dapat ustaz tulis satu artikel yang tuntas tentang perkara tersebut terlebih baik. Mereka jahil tentang b'mana para ulama' mu'tabar mengambil dalil. Wslm.
Abdullahtahir

Jawapan.

Waalaikumussalam.

Mengenai sembahyang sunat qobliyah atau sembahyang sunat sebelum jumaat, adalah ditegaskan bahawa ia adalah sunat dikerjakan . Menurut fatwa Mazhab Syafie adalah sunat hukumnya sembahyang qobliyah juma,at. Bukannya harus atau perlu diniatkan sunat mutlak atau sebagainya untuk mengelakkan kalau nanti berniat qobliyah juma,at nanti jadi bid’ah , berdosa sebab tidak ada hadis nya. Bermacam-macam fatwa mazhab yang tidak dikenali yang timbul sejak akhir-akhir ini yang memeningkan kepala pendengar . Yang tidak sedap didengar lagi ,sampai ada yang bersikap tak acuh, apabila disebut saja kalimat Mazhab , terus menjawab ooh, itu mazhab kata seolah-olahnya mazhab hanya tempat rujukan orang tidak berapa cerdik, sementara yang cerdik-cerdik pula jangan disebut-sebut mazhab, nanti dianggap golongan tidak berpendidikan, tidak tahu dalil dan hujjah , tidak mahu menggunakan akal fikiran , hanya mengikut saja fikiran orang tanpa usul periksa.

Berikut adalah jawapan yang lengkap:

Menurut kitab fikah dalam Mazhab Imam Syafie , Al Allamah Al Baajuri menyebut :

والجمعة كالظهر فيما يسن لها فيسن قبلها أربع وبعدها أربع. ....حاشية الباجورى على فتح القريب

“Dan sembahyang Jum’at adalah (diqiyaskan) seperti sembahyang Zuhur pada perkara yang di sunatkan padanya, maka disunatkan sebelumnya empat rakaat dan selepasnya empat rakaat”.

Jika difahamkan ibarat kitab fekah Baajuuri ini, sembahyang Juma’at adalah diqiyaskan kepada sembahyang Zohor. Sembahyang Zohor disunatkan qobliyah maka sembahyang juma’at juga disunatkan atas dasar qiyas kepada Zohor yang mempunyai hadis. Maka qobliyah juma’at disunatkan berdalilkan qiyas sebab tidak mempunyai hadis .Disebabkan zahir kebanyakan ibarat kitab-kitab fekah mazhab menyebut sebagaimana ibarat Al-Baajuri diatas mungkin menyebabkan ada sebahagian orang yang merasakan berdalilkan qiyas tidak kuat terus diklimkan qobliyah tidak sunat. Mungkin juga setelah dicari dalil-dalil yang lebih kuat, mungkin didalam al quran atau dalam hadis, dicari-cari tidak berjumpa. Lalu dianggaplah qobliyah tidak sunat sebab tidak ada dalam hadis?.

Padahal para ulamak Mazhab telah menukilkan dalam kitab-kitab fikah Mazhab dalil-dalil qobliyah daripada hadis-hadis, tidaklah semata-mata qiyas sahaja. Cuba lihat beberapa nukilan hadis dibawah ini.

بين كل أذانين صلاة ...3 مرة.... لمن شأ. ...... متفق علبه

"Diantara setiap dua azan terdapat satu sembahyang. Tiga kali diulang Nabi s.a.w. kemudian nabi menyambung.. bagi sesiapa yang mahu"... riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

ما من صلاة مفروضة الا وبين يديها ركعتان. ...ابن ماجه

"Tiada dari satu sembahyang yang difardhukan melainkan sebelumnya terdapat dua rakaat sembahyang".... Riwayat Ibnu Majah.

Dua hadis tersebut adalah Sahih dan memahamkan terdapat satu sembahyang diantara azan dan iqomah termasuklah sembahyang juma’at . Sembahyang tersebut dinamakan Sunat Qobliyah atau sembahyang sunat sebelum atau selepas setiap sembahyang fardhu.

Jika dikatakan hadis tersebut tidak menyebut Qobliyah Juma’at ?. Jawabnya , sudah memadai dengan hadis tersebut sebagai dalil Qobliyah Juma’at kalau mahu. Tapi kalau mahu yang lebih jelas lihatlah pula hadis :

جأ سليك ن الغطفانى و رسول الله صلى الله عليه وسلم يخطب فقال له النبى صلى الله عليه وسلم أصليت ركعتين قبل أن تجئ ؟. قال لا , فصل ركعتين و تجوز فيه

Sulaik al-Ghotafani sampai ke Masjid padahal Nabi s.a.w sedang berkhutbah (juma’at) . Maka bersabda Nabi s.a.w kepada Sulaik : Adakah sudah engkau sembahyang dua rak’at sebelum engkau datang hai Sulaik ?. Menjawab Sulaik: Tidak lagi. Sabda Nabi : sembahyang lah dua rak’at dan ringkaskan.. .. hadis riwayat Ibnu Majah.

Mulla Ali al-Qoori mengulas:
وقوله قبل أن تجئ يدل على أن هاتين الركعتين سنة للجمعة قبلها وليستا تحية للمسجد

Sabdanya Nabi s.a.w ( Sebelum Engkau datang) menunjukkan atas bahwa dua rakaat sembahyang tersebut adalah sembahyang “sunat Qobliyah jumaat” , bukannya “Tahiyyat masjid” .


Mengenai sanad hadis ini:

Sheikh Abdul Qoder Al-Mandeli menyebut dalam kitab “Pertunjuk bagi umat pada menerangkan dalil-dalil bagi sembahyang sunat Qobliyah bagi Juma’at” , Imam Ibnu Mulaqqin mengulas mengenai isnad hadis ini :


Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah didalam kitab Sunan beliau daripada Daud bin Rashid daripada Hafas bin Ghiyas daripada Al-A’masy daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah dan Abi Syufian (Talhah bin Nafi’) daripada Saidina Jabir r.a . Semua perawi –perawi hadis ini adalah para perawi yang disebut nama mereka dalam isnad Imam Al-Bukhari . Maksudnya perawi hadis ini adalah perawi hadis Al-Bukhari kecuali Talhah bin Nafi’ , beliau adalah hanya perawi hadis Muslim.

1.Mengenai Daud bin Rashid , Ulamak hadis beliau sebagai Adil lagi Hafiz. Imam Ad Daaruquthni berkata mengenai beliau sebagai Thiqoh lagi Naabil ( Yang Amanah lagi Pintar).
2.Mengenai Hafas bin ghiyas , beliau merupakan seorang Kadi negeri Kufah . Imam An- Nasaie mengatakan beliau sebagai Thiqoh (Amanah). Ibnu Mu’in dan ulamak-ulamak lain menerimanya.
3.Mengenai Al-A’masy, maka tidak perlu dipersoal lagi berkenaan beliau sebab telah maklum pada sisi ulamak hadis nama ini sama juga dengan Abi Soleh telah maklum .
4.Mengenai Abi Syufian (Talhah bin Nafi’) Imam Muslim telah mengiktiraf dan menjadikannya sebagai “Hujjah” dalam Sahih Muslim.Imam Ahmad berkata “ tiada mudarat dengan beliau”.

Kesimpulannya periwayat-periwayat hadis ini adalah Thiqoh .

Kalau tak mau pakai juga ulasan Mulla Ali al-Qori tersebut , tanpa memanjangkan perbahasan demi utuk memuaskan hati lagi lihat pula satu hadis yang jelas menyatakan Qobliyah jum’at pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w:


صحيح ابن حبان بترتيب ابن بلبان

ذكر البيان بأن المصطفى صلى الله عليه وسلم كان يصلى الركعات التى وصفناها فى بيت لا المسجد

أخبرنا أبو خليفة , قال : أخبرنا مسدد بن مُسَرْهَد , قال حدثنا اسماعيل قال أيوب , عن نافع قال

كان ابن عمر يطيل الصلاة قبل الجمعة ويصلى بعدها ركعتين فى بيته , ويحدِّثُ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يفعل ذالك.


Adalah Ibnu Umar r.a memanjangkan sembahyang Qobliyah Juma,at. Beliau sembahyang selepasnya 2 raka’at.

Beliau bercerita bahawa adalah Rasulullah s.a.w melakukan sedemikian.

Mengenai sanad dan martabat hadis ini:

Sheikh Shuib Arna’ut juga mengulas dalam tahkik beliau pada

kitab Sahih Ibnu Hibban

قال شيخ شعيب الأرنؤوط
اسناده صحيح على شرط البخارى , اسماعيل : هو ابراهيم بن علية . وأخرجه أبو داود (1128) فى الصلاة: باب الصلاة الجمعة , و من طريقه البيهقى 3\240 عن مسدد بن مسرهد , بهذا الاسناد . وصححه ابن خزيمة(1836) وأخرجه عبد الرزاق (5526) , أحمد 2\35 عن معمر , والنسائ 3\113 فى الجمعة : باب اطالة الركعتين بعد الجمعة , من طريق شعبة , كلاهما عن أيوب , به نحوه . و أخرجه أحمد 2\75 و 77 من طريق عبيد الله , عن نافع , به مختصرا . وانظر تخريج الحديث ( 2353) .



Syekh Shuib Arna’ut mengulas:

1.Isnad hadis adalah Sahih atas syarat Al-Bukhari. Ismail adalah Ibrahim bin Alliyah.
2.Abu Daud telah mentakhrijkannya (1128) dalam kitab al-Solah : Bab sembahyang jum’at.
Dari jalannya Imam Baihaqi meriwayatkan dari Musadad bin Masrahad dengan melalui sanad ini juga (3/240)
3.Ibnu Khuzaimah telah mensahihkannya (1836).
4.Abd. Razak telah mengeluarkannya (5526).
5.Imam Ahmad (5526) dari Ma’mar.
6.Imam Nasaie (113/3) dalam “Al-Jum’at” : bab memanjangkan dua raka’at selepas juma'at.
7.Kedua Imam (Ahmad dan Nasaie) meriwayatkan dari Thoriq Ayub.

8.Imam Ahmad juga ada meriwayatkan hadis ini dari thoriq Ubaidillah dari Naafi’ secara ikhtisar (ringkasan). Lihatlah takhrij al-hadis (2353).

Kesimpulannya hadis riwayat Ibnu Hibban tersebut adalah Sahih.

Tuesday, March 07, 2006

DALIL-DALIL SERBAN
daripada hadis-hadis Sahih,Hasan dan Dho'if .


1. Saiyidina Amr bin Umaiyah ad-Damri R.A meriwayatkan “Aku lihat Nabi S.A.W. membuat “masah”(sapuan ke atas sarung kakinya dan serban).

(Al-Bukhari jilid 1 m.s 33)


2.Saiyidina Mughirah Ibn Syu'bah R.A meriwayatkan Nabi S.A.W melakukan wuduk dan melakukan masah di bahagian hadapan kepala dan juga ke atas serban dan sarung kakinya (khuuf).
(Muslim Jilid 1, m.s. 23)

3.Huraith R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. berkhutbah kepada orang ramai. Ketika itu Baginda memakai serban hitam.

(Muslim Jilid 1, m.s. 439. Ibn Abi Syaibah Jilid 8, m.s. 233)



4.Di dalam riwayat yang lain, diriwayatkan : “Aku melihat Nabi S.A.W memakai serban hitam.”

(Syamail Tirmizi m.s 8, Ibn Majah m.s. 256)

5. Saiyidina Jabir R.A meriwayatkan bahawa pada masa Futuh Makkah (Pembukaan Mekah), Nabi S.A.W memasuki Mekah memakai serban hitam.

(Muslim Jilid 1, m.s. 439, Tirmizi Jilid 1, m.s. 304, Ibn Majah m.s. 256)

6. Juga diriwayatkan daripada Saiyidina Ibn Umar R.A bahawa pada masa Futuh Makkah, Nabi S.A.W memasuki nya dengan memakai serban hitam.

(Ibn Majah m.s. 256, Ibn Abi Syaibah Jilid 8, m.s 237)

7. Saiyidina Ibn Abbas R.A meriwayatkan bahawa semasa sakit, sebelum kewafatannya, Nabi S.A.W bersabda kepada para sahabat R.A sedang Baginda memakai serban hitam.

8. Saiyidina Abu Said Al-Khudri R.A meriwayatkan : “Menjadi amalan Nabi S.A.W. bahawa bilamana sahaja Baginda memakai pakaian baru, pertamanya Baginda akan memberi nama kepadanya yakni serban, gamis (kurta) atau jubah (cadar atau kain tutupan badan). Kemudian Baginda akan berdoa: “Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu di atas pakaian ini yang telah Engkau kurniakan kepadaku. Aku memohon kepadaMu kebaikkan dan kebaikkan yang mana ia dibuatkan. Aku berlindung kepadaMu daripada yang haram daripadanya dan kejahatan yang diciptakan daripadanya.

(Tirmizi Jilid 1, m.s 306, Mustadrak Jilid 4, m.s. 192)

9. Saiyidina Anas R.A meriwayatkan, “Aku melihat Rasullah S.A.W berwuduk. Baginda memakai serban “Qitri”. Apabila melakukan masah ke kepala, tanpa merungkai serban, Baginda memasukkan tangannya di bawah serban lalu membuat masah (sapuan) dibahagian depan kepala.

(Abu Daud m.s 19) .


“Qitri” ialah jenis kain kasar lagi tebal yang mempunyai unsur-unsur kemerah- merahan di dalamnya. Mungkin ini dikaitkan dengan tempat “Qatar”. Daripada riwayat ini membolehkan memakai serban merah juga dapat disahkan.

(Bazlul Majhud Jilid 1, m.s 89)


10. Saiyidina Abdur Rahman Sulami berkata : “Aku melihat Saiyidina Abdul Rahman Auf R.A bertanya kepada Saiyidina Bilal R.A mengenai wuduk Rasullah S.A.W. Saiyidina Bilal R.A menerangkan : “Bilamana Rasulullah S.A.W ingin untuk berwuduk, aku membawa air untuknya. Semasa berwuduk Baginda akan menyapu tangannya ke atas serban dan juga tepi matanya”.

(Abu Daud Jilid 1, m.s. 21)

11. Saiyidina Huraith R.A meriwayatkan bahawa beliau telah melihat Rasulullah S.A.W berdiri di atas mimbar sedang pada ketika itu Baginda memakai serban hitam. Kedua-dua ekor serban berjuntaian di antara bidang (belikat) bahunya (yakni di belakang).

(Muslim Jilid 1, m.s 490, Ibn Abi Syaibah Jilid 8, m.s 239, Ibn Majah m.s. 256, Abu Daud m.s. 653)

12. Saiyidina Ataa Ibn Abi Rabah R.A meriwayatkan bahawa suatu ketika sedang aku bersama Saiyidina Abdullah bin Umar R.A, seorang pemuda datang kepadanya dan bertanya mengenai ekor serban, bagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Saiyidina Ibn Umar R.A memberitahu pemuda tersebut bahawa beliau amat mengetahui jawapannya dan akan menerangkannya dengan senang hati kepadanya.

Kemudian beliau berkata : “Satu ketika, aku berada di dalam Masjid Nabi S.A.W. Bersama –sama dengan Nabi S.A.W adalah bersama sahabat-sahabat Baginda Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Ibn Masud, Huzaifah Abdur Rahman bin Auf, Abu Said Al-Khudri R.A. Semuanya ada 10 orang sahabat. Seorang pemuda Ansar masuk ke masjid, memberi salam kepada Rasulullah S.A.W dan terus duduk. Nabi S.A.W memberi tumpuan kepadanya (dan menasihatinya). Kemudian Nabi S.A.W memberitahu Saiyidina Abdur Rahman Ar R.A bahawa satu jenazah Mujahidin akan dihantar pada waktu pagi dan beliau hendaklah bersedia menyertai mereka. Pada waktu pagi Saiyidina Abdur Rahman Auf memakai serban kain kapas berwarna hitam, mempersediakn dirinya untuk angkatan tersebut. Nabi S.A.W mendekatinya dan menanggalkan serbannya dan melilit serban putih ke kepalanya. Serban ini telah diikat dengan cara dimana ekornya kira-kira empat jari panjangnya dibenarkan berjuntai di belakang. Tatkala melakukannya Nabi S.A.W bersadba : “Ibn Auf, ikat serban seperti ini kerana ia lebih sesuai dan jelas”, inilah cara orang-orang Arab dan merupakan cara pemakaian yang betul. Nabi S.A.W kemudiannya menyuruh Bilal R.A memberikan bendera kepada Saiyidina Abdur Rahman Auf R.A, ini menggambarkan tanggungjawab untuk mengepalai angkatan tersebut.

(Mustadrak Hakim, Jilid 4, m.s 540)


13. Aisyah R.A meriwayatkan bahawa pada masa Peperangan Khandak, beliau menyaksikan seorang yang menyerupai Saiyidina Dahya Kalbi RAnhu. Orang ini duduk di atas binatang dan berbual perlahan dengan Nabi S.A.W. Beliau berserban yang salah satu ekornya terjuntai di belakang. Selanjutnya beliau meriwayatkan bahwa beliau bertanya Rasulullah S.A.W mengenai orang itu, lalu diberitahu bahawa ia ialah Saiyidina Jibrail A.S dan beliau memberitahu Nabi S.A.W supaya meneruskan kea rah Banu Quraizah (kaun Yahudi yang musuh Islam dan penghuni Madinah pada ketika itu). Jelas bahawa Jibrail A.S telah datang untuk memberitahu perintah Allah.

14.
Saiyidina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa suatu ketika seorang menunggang kuda Turki datang menemui Nabi S.A.W. Penunggang itu memaki serban. Ekornya berjuntai di antara bahunya (belikat). Aisyah bertanya kepada Rasulullah S.A.W mengenainya. Nabi S.A.W menyatakan rasa terkejut kerana Aisyah telah melihat si penunggang itu lalu memberitahunya bahawa orang itu ialah Jibrail A.S (Ibid)

15. Saiyidina Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa apabila Nabi S.A.W akan melilit serbannya, Baginda akan membiarkan ekor serban itu berjuntai di antara bahunya. Nafi’ (murid kepada Ibn Umar R.A) meriwayatkan bahawa Ibn Umar R.A juga melakukan demikian.

Pengarang syarah Tirmizi menyatakan, “Hadis ini hasan” (baik). Hadis daripada Amr bin Huraith di dalam Muslim dan juga lain hadis memperkuatkan kedudukan hadis ini.

(Tuhfatul Ahwazi jilid 3, ms. 50)

16.Ubaidullah (salah seorang periwayat hadis ini) berkata bahawa beliau melihat Qasim dan Salim juga melakukan begitu.

(Tirmizi Jilid 1, m.s 304)

17. Saiyidina Aisyah R.A meriwayatkan Nabi S.A.W melilit serban Saiyidina Abdur Rahman bin Auf R.A dan membiarkan ekor serbannya lebih sebanyak empat jari. Baginda bersabda : “Apabila aku Israk dan Mikraj, aku lihat kebanykkan para Malaikat berserban”.

18. Saiyidina Musa Asha'ari R.A meriwayatkan bahawa Jibrail A.S memakai serban datang menemui Rasulullah S.A.W. Ekor serbannya berjuntai di belakang.

19.
Saiyidina Thauban R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W akan melilit serbannya edngan cara di mana satu ekor serbannya bejuntai di belakang dan satu lagi di depan.

20.
Abu Umamah R.A meriwayatkan bahawa bilamana Nabi S.A.W akan mengutus seorang sebagai gabenor bagi sesuatu tempat, Baginda akan melilitkan serban ke atas kepala orang yang dihantar. Serban akan diikat dengan cara di mana ekor serban itu berjuntai di sebelah kanan, hampir ke telinga.

21.
Abu Abdul Salam meriwayatkan bahawa beliau bertanya Ibn Umar R.A tentang cara bagaimana Nabi S.A.W melilit serbannya. Beliau menjawab, “Rasulullah S.A.W akan melilit lipatan serban di kepala, Beliau akan membiarkan ekornya di belakang berjuntai di antara bahunya.

22. Saiyidina Abdul Rahman bin Auf R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W melilit serban untuknya dengan cara ekor serban berada di depan dan belakang. (Abu Daud m.s. 564 (Salah seorang daripada periwayat ini majhul-tidak dikenali)).

23. Saiyidina Ubadah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda : “Jadikanlah amalan melilit serban kerana ia sebagai syiar para Malaikat. Selanjutnya lilitan serban-serban itu dengan cara ekornya berjuntai di belakang.

(Baihaiqi meriwayatkan di dalam Syubul Iman, Misykat m.s. 377)

24. Hadis di atas juga telah diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A (Tabrani telah meriwayatkan hadis ini. Walau bagaimanapun, menurut Darut-Qutni, salah seorang periwayatnya majhul (tidak dikenali).

(Majmauz –Zawaid Jilid 5, m.s 123)

25. Hadis ini (hadis 22) juga telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ibn Abbas R.A. walau bagaimanapun sanadnya lemah .

Maqasid Hasanah m.s 466)

26. Suatu ketika seorang datang menemui Ibn Umar R.A dan menyebutkan namanya, Abu Abdur Rahman, bertanya kepadanya apakah amalan melilit serban itu sunnah. Ibn Umar R.A menjawab “ya” dan untuk memperjelaskannya bahawa Nabi S.A.W menyuruh mereka pergi dan meletakkan kain mereka di atas kepala dan memakai baju besi. Mereka akur dengan Nabi S.A.W dan menghadirkan diri mereka di hadapan Nabi S.A.W. Beliau mengambil kain lalu melilit serban itu di kepala mereka dengan cara ekor serban itu berjuntai di kedua-dua bahagian (belakang dan depan).

(Umdatul Qari Jilid 21, m.s 307, daripada Kitabul Jihad oleh Ibn Abi Aasim)

27. Saiyidina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W melilit serban hitam daripada kain kapas untuk Abdul Rahman bin Auf R.A dan menjuntaikan “sebanyak ini” di sebelah depan.

(Umdatul Qari Jilid 21, m.s. 307 daripada Ibn Abi Syaibah)

28. Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W melilit serban daripada kain kapas di kepala Abu Aur R.A dengan cara ekornya kira-kira panjang empat jari di sebelah belakang. Nabi S.A.W juga bersabda: “Lilitlah serbanmu begini”.

(Umdatul Qari Jilid 21, m.s 307)


29. Abdullah bin Bishr meriwayatkan bahawa apabila Nabi S.A.W mengutus Saiyidina Ali R.A ke medan (perang) Khaybar, Baginda melilit serban hitam untuknya, menjadikan ekor serban berjuntai dari belakang mengarah ke bahu kiri. Abdul Aala bin Adi berkata bahawa pada masa “Gadir Khum”,apabila Nabi memanggil Saiyidina Ali R.A lalu melilit serban untuknya, ekornya berjuntai daripada belakang dan berkata lilitlah serban-serban kamu begini, kerana serban adalah tanda (syiar) Islam dan sebagai faktor yang membezakan daripada musyrik (orang-orang yang mempersekutukan Allah).

(Umdatul Qari Jilid 21, m.s 308 daripada Ma’rifatus Sahabah, Abu Nuaim).

Sunday, March 05, 2006

Risalah bertajuk Jawapan terhadap Kemusykilan Berpuasa Di Bulan Rejab dan Kelebihan Rejab Al Muharram boleh di dapatkan di sini:-

(Klik kanan dan pilih Save Target As)

Kemusykilan Puasa Rejab [1]

Kemusykilan Puasa Rejab [2]


Risalah Serban: Satu Sunnah yang Sunat, dapatkannya di laman ini.


Berikut pula ialah lagu nasyid yang sedang berkumandang* di laman utama ini dan di laman biodata mudir.

(Klik kanan dan pilih Save Target As)

Allah Allah.mp3

Al Muallim.mp3


* Untuk mendengar nasyid ketika melayari laman web ini, tempoh masa sekitar satu ke lima minit diperlukan untuk lagu tersebut sempurna dipindahkan ke komputer tuan-tuan. Lagu yang tersekat-sekat semasa proses pemindahan tersebut adalah proses biasa.