Tuesday, January 03, 2017

KEPENTINGAN KITAB SYARAH AL MAHALLI SEBAGAI TEKS RUJUKAN RINGKAS.

Bahagian 2 .
KEPENTINGAN KITAB AL MAHALLI SEBAGAI TEKS  RUJUKAN RINGKAS.

Kebiasaannya kitab fekah Syarah Minhajul Tholibin karangan Imam Jalaluddin al Mahalli digelar oleh para ulama dengan nama kitab al-Mahalli disamping itu ada nama lain bagi kitab syarah ini yang telah diberikan oleh pengarang Kasyfuz Dzunun juz 2 muka surat 1873 iaitu Sheikh Haajii  Khalifah dengan judul KANZUZ ROGHIBIN.


3 buah kitab , itu  1.Tuhfatul Muhtaj  2.Nihayatul Muhtaj, 3.Mughni Muhtaj adalah kitab yang terkemudian selepas daripada Syarah al-Mahalli. Oleh yang demikian, pada hakikatnya 3 buah kitab ini merupakan huraian yang lebih lanjut pada MAKNANYA  nisbah  kepada Syarah al-Mahalli.


Syarah al-Mahalli dikarang lebih dahulu daripada 3 buah kitab tersebut,  bermakna kitab Syarah al- Mahalli merupakan kitab terawal daripada 3 buah kitab tersebut.

Di dalam Nihayatul Muhtaj juz 1 muka surat 9 karangan Sheikh Ramli Rahimahullah disebut puji-pujian dan sebab-sebab yang menjadikan kitab Syarah al-Mahalli sebagai rujukan dan menyingkap makna-makna tersirat di dalam Matan Minhajul Tholibin dan menerangi ibarat yang terselubung, membukakan pintu-pintu makna bagi matan Minhajul Tholibin dengan Syarah al-Mahalli sebagai anak kuncinya, memudahkan bagi penuntut / pelajar menjalani liku-liku ibarat Minhajul Tholibin, dipenuhi dengan himpunan nama-nama para ulama dan gelaran-gelarannya......tidak adalah melainkan sebab takdir qada dan qadar yang tidak menolong pengarang untuk memberi penjelasan setiap ulasan-ulasan ringkas beliau maka kewafatan yang menjadi takdir Ilahi telah menjadi penyebab terhalangnya  untuk penjelasan yang lebih luas.


Imam Mahalli telah meninggalkan perkara-perkara yang susah difahami iaitu tidak dicatit dalam syarahan ini,  yang kebiasaanya di dalam kitab-kitab besar dikemukakan oleh   kebiasaan pengarang seperti (الغاز) iaitu teka-teki dalam ilmu fekah. Ini menjadikan  komentar beliau merupakan satu penjelasan yang ringkas dan padat.

Nisbah syarah al Mahalli dengan ke3 buah kitab:

1. Tuhfatul Muhtaj- Imam Ibnu Hajar. (Wafat 974 Hijrah).

Kitab Tuhfah karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami kebanyakkan kandungannya adalah merupakan hasyiah ( nota)  bagi gurunya iaitu Sheikh Ibnu Abdul Haq yang merupakan huraian bagi Syarah al-Mahalli.


2. Nihayatul Muhtaj -Imam Ramli  (Wafat 1004 Hijrah)

Kitab Nihayatul Muhtaj karangan Sheikh Ramli adalah penerusan bagi keilmuan beliau dan guru besar beliau iaitu ayahnya Sheikh Syihab al-Ramli.


3. Mughni Muhtaj- Imam Khatib Syarbini (Wafat 977 Hijrah).

Kitab Mughni Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini yang merupakan karangan yang lebih awal daripada kitab Tuhfah dan Nihayah telah menghimpunkan semua komentar syarah-syarah bagi matan Minhajul Tholibin dan faedah-faedah daripada karangan Sheikh Zakaria al-Ansori dan melanjutkan pendapat guru beliau iaitu Syihab al- Ramli dan juga nukilannya  diambil daripada syarah Minhajul Tholibin karangan Imam Ibnu Syuhbah.



Jika diperhatikan tobaqah ataupun peringkat bagi 3 buah kitab tersebut adalah terkemudian daripada Syarah al-Mahalli disebabkan kesemua pengarang 3 buah kitab tersebut berguru dengan Sheikhul Islam Zakaria al -Ansori ( Lahir 826 h - Wafat 926 Hijrah)  sementara Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori berguru kepada para murid Imam Mahalli (Wafat 834 Hijrah)


*Menarik*

* Di dalam Syarah al- Mahalli tidak mempunyai istilah-istilah tersendiri melainkan yang termaklum daripada istilah-istilah yang telah wujud sebelumnya yang berkait dengan matan Minhajul Tholibin sahaja.

*Di dalam Tuhfah, Nihayah dan Mughni dijumpai istilah-istilah yang tersendiri.

......................

No comments: