Tuesday, July 24, 2012

Boleh sambung WITIR lepas bangun tahajjud?

Soalan: Seseorang sembahyang witir selepas terawikh berjemaah, kemudian selepas bangun tahajjud dia suka untuk menyambung witirnya 8 rakaat lagi supaya cukup 11 rakaat  , tujuannya hendak mengikut bilangan rakaat witir yang disunnahkan Nabi s.a.w dibulan Ramadhan dalam hadis yang Sahih. Adakah boleh   beramal begitu sebab saya dengar ada ustaz yang larang sebab ada hadis sahih yang kata : Tidak ada 2 kali witir dalam satu malam. Macamnatu Ustaz?.


Jawab:  Harus, dengan niat menyempurnakan witir, bukan niat 2 kali witir. 

Ulasannya: Kebanyakan kitab fiqah yang bicara masalah ini samaada kitab arab atau jawi (bahasa melayu) , tidak menjelaskan dengan jelas illah larangan melakukan 2 kali witir dalam satu malam.Hanya dengan dicatit Hadis Sahih atau Hasan :  Tidak ada 2 kali witir dalam satu malam.

Hinggalah setelah kita tela'ah dan teliti kitab Kasful Litham melayu, ada di sebutkan didalam juzuk pertama mukasurat 40. 

Nasnya Pertama: Yang melarang dua kali witir dalam satu malam.
(Masalah) Seseorang sembahyang witir terdahulu daripaa tahajjud maka tiada Harus ia ulangkan dia kemudian daripada tahajjud, lagi tiada jadi jika diulangnya.  Lagi Haram ulang itu.Kerana tiada witir dalam satu malam. - kasfullitham  juzuk pertama mukasurat 40. 

(Masalah) Seseorang sembahyang witir serakaat atau tiga rakaat pada awal dan kemudian daripada akhir malam , DITAMAMkan witirnya sebelas rakaat . Maka TIADA DINAMAKAN SEMBAHYANG YANG KEDUA ITU WITIR SEKALI_KALI, 
Maka jika IA NIATKAN WITIR PADA SEMBAHYANG YANG KEDUA dengan sengaja, lagi diketahuinya , tiada sah . Jika TIADA, jadi sunat mutlak pada malam. -  kasfullitham  juzuk pertama mukasurat 40. 


Huraian dan Kesimpulannya:  

 Witir 2 kali satu malam yang dilarang adalah jika semata-mata niat 2 kali sembahyang witir, contohnya : Seseorang sudah sembahyang witir 3 rakaat sebelum tidurya, kemudian dia ulang semula witirnya 3 rakaat pula setelah bangun tahajjudnya. Maka inilah yang dimaksudkan larangan didalam hadis yang sahih tersebut dan maksud ibarat dalam kasful litham .

Dalam ibarat kasfullitham juga memaksudkan jika penambahan rakaat witir dibuat semasa tahajjud adalah juga dilarang. Jika dibuat dengan sengaja, maka batal. Jika tidak sengaja atau tidak tahu larangannya , jadilah witir itu sembahyang sunat mutlak sahaja.  Begitulah yang dapat difahami dari kasfullitham, bugyatuthullab,  Matan Minhaj, al Mahalli , Tuhfah dan Nihayah. Cuma dalam Sabilul Muhtadin mencatit "Sunat tidak diulangi witir"- ini menarik juga untuk diperhatikan. Kenapa hanya sunat tidak ulang?.   

Walaubagaimanapun , dapat difahami dari fatwa-fatwa kitab yang lain ,  jika seseorang itu sudah sembahyang 3 rakaat sebelum tidur, seperti dalam soalan, kemudian waktu tahajjudnya ditambah dan disempurnakan rakaat witirnya lagi, mungkin sehingga  8 rakaat lagi dengan niat mencukupkan 11 rakaat witir sebagaimana amalan Nabi s.a.w dibulan Ramadhan, Nabi s.a.w sembahyang witir dibulan Ramdhan tidak kurang dan tidak melebihi 11 rakaat,   maka harus, boleh dibuat begitu, dan ianya tidak boleh dianggap mengulang  witir 2 kali. Yang terlarang Ulang witir 2 kali dalam satu malam, bukan Tambah/Sempurnakan/cukupkan rakaat witir.  Pendapat ini juga telah dijelaskan oleh Sheikh Ibnu Hajar al Haitami didalam kitab Fatwa al Kubro beliau , juzuk 1, mukasurat 265, cetakan daarkutob al ilmiyah, tahun 1997. 

Nasnya Kedua: Yang mengharuskannya jika niat menyempurnakan rakaat witir. 

1. Nas kitab  Fatawa a Kubro: 



 Ditanyakan r.a: berkenaan seseorang yang sembahyang witir  3 rakaat , maka adakah boleh beliau sembahyangkan yang bakinya lagi, selepas itu dengan niat witir? Jawab: Ya , Harus ia buat begitu menurut yang zahir, kerana makna keadaannya  witir adalah seperti itulah caranya, samaada dipertengahan  witir, atau di permulaan atau di kemudiannya.


2. Nas Kitab Panduan Ilmu Fiqah- karangan Syeikh Omar Al Khatib  (Ulamak Singapura) -susunan Ustaz M. Salleh bin A.Hamid.  Bab Solat 2,  jilid  2, muka surat 14.


"Rakaat yang Ganjil (witir) hanya boleh dikerjakan sekali sahaja , Haram melakukan 2 kali dalam satu malam. 
Hadis : Tidak ada 2 witir dalam satu malam"
            Ini bermakna kalau sudah mengerjakan rakaat ganjil sebelum masuk tidur , misalnya 3 rakaat , maka tidak boleh dikerjakan rakaat ganjil lagi setelah bangun dari tidur ditengah malam. Misalnya 5 rakaat , kerana jumlahnya  akan menjadi genap ( 3 + 5 = 8) , bukan ganjil. Jika ini berlaku maka yang sah sebagai witir ada 7 rakaat sahaja (iaitu 3 rakaat sebelum tidur + 4 rakaat setelah bangun tidur ). Begitu juga jika dikerjakan 5 rakaat setelah bangun dari tidur  dengan cara (Fashl) 2 salam , seperti 3 rakaat , kemudian 2 rakaat , maka 4 rakaat dari 5 itu sahaja , sah,  kerana bila dicampurkan dengan 3 rakaat sebelum tidur , jumlahnya 7 rakaat". 
         Mengikut Ibnu Hajar , tidak semestinya solat witir yang akhir itu mempunyai rakaat yang ganjil . Justeru itu boleh menunaikan tiga rakaat sebelum tidur misalnya, dan dua rakaat setelah bangun dari tidur . ---Kitab Panduan Ilmu Fiqah.



 Cara kedua yang dibolehkan .

 Ada satu lagi cara yang boleh dibuat , iaitu dengan digenapkan witir yang sebelum tidur . Caranya ,  contohnya: Seorang sembahyang 3 rakaat witir sebelum tidur, kemudian apabila bangun tahajjud  disembahyangkan witir 1 rakaat sahaja dulu dengan maksud mengenapkan witir (ganjil ) 3 rakaat + 1 rakaat jadi 4 rakaat.  Dengan 4 rakaat itu sudah jadi genap bilangan rakaat sembahyang witirnya. Kemudian , bolehlah dia menambah sebanyak mana rakaat yang diingininya sampai 11 rakaat jumlah paling banyak witir.

Cara ini telah diNaskan oleh matan Minhaj at Tholibin dan disyarahkan dalam kitab fikah yang besar seperti al Mahalli, Tuhfah , Mughni dan Nihayah.  Dikatakan cara ini telah diamalkan oleh setengah Para Sahabat Nabi antaranya Saidina Ibnu Umar r.anhu dan selain beliau. Cara ini dinamakan  ( Naqd witr) batalkan witir.  Cuma cara ini adalah fatwa yang dhoif (lemah) , sebab didalam Ihya , Imam Ghazali menyatakan telah Sabit Hadis yang sahih melarang membatalkan witir.  
Kalau sekadar mahu beramal dengan fatwa tersebut, maka diharuskan. Boleh beramal. Wallahu a'lam.

Berkenaan cara kedua ini boleh dirujuk kitab al Mahalli juzuk pertama , muka surat 213.



Fatwa dan nukilan-nukilan  ini nampaknya dapat memudahkan mereka yang haluba beramal dibulan ramdhan, tetapi nampak sedikit canggung apabila selelesai sahaja sembahyang Terawikh berjemaah 20 rakaat, langsung pulang kerumah, tidak berjemaah witir dengan bersama imam dan jemaah atau terus keluar saf duduk diluar masjid/surau menanti jemaah selesai witir 3 rakaat , kemudian masuk semula join berwirid dan doa berjemaah. Nampaknya lah kurang manisnya. Walaupun tujuannya baik, sebab nanti dirumah atau waktu bangun tahajjud boleh berwitir dengan lamanya dan banyak rakaatnya mungkin ditambah sehingga  8 rakaat lagi untuk mencukupkan  11 rakaat witir. Sebab rakaat  witir paling banyak adalah 11 rakaat. Maknanya 3 rakaat ditambah 8, jadi jumlanya 11 rakaat. 

Kalau menurut nukilan fatwa ini, tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang mahu menambah bilangan rakaat witirnya nanti  dikemudiannya  . Berwitirlah  sahaja bersama jemaah, nanti kemudiannya dirumah dimasa tahajjud ditambah lagi . Wallahu a'lam.


Diharapkan penjelasan ini dapat melapangkan dada mereka yang  cukup gembira memenuhkan ruangan waktu dibulan mulia ini. Doakan saya semasa tahajjud... semuga dilapangkan masa, dada, fikiran perasaan,rezeki, kesihatan,panjang umur dalam taat, ibadat, munajat, muraqabah, musyahadah dan  ma'rifah kepada DIA Yang Maha Pencipta. Amin. Allahu musta'an


2 comments:

Unknown said...

salam tuan saya ambil nukilan2 tuan dan saya sebbarkn pd kwan2 saya mohon izin tuan....

pondokTampin said...

silakan