Sunday, July 20, 2014

madih sheikh abdal hadi al kharsa dan sheikh firas salu

Sheikh Abdal Hadi al Kharsa bukan sahaja alim semua ilmu syariat, bahkan beliau mampu bernashid dan bermadih dengan suara yang lemak merdu yang menusuk dan menyegarkan jiwa , begitu juga halnya dengan Sheikh Firas.

{PERKATAAN/PERCAKAPAN YANG IHTIMAL (BOLEH DITANGGUNG/DITIMBANG) DARI SATU JALAN (CARA) DARI JALAN-JALAN TAKWIL ADALAH TIDAK SAH DIKUFURKAN




{PERKATAAN/PERCAKAPAN YANG IHTIMAL (BOLEH DITANGGUNG/DITIMBANG) DARI SATU JALAN (CARA) DARI JALAN-JALAN TAKWIL ADALAH TIDAK SAH DIKUFURKAN ORANG YANG BERKATANYA, KERANA NABI S.A.W TELAH BERSABDA DALAM SATU HADIS:

"Tangkislah (TAHANLAH) HUDUD DARI ORANG MUSLIMIN SEKUASA-KUASA KAMU".}

Terjemahan penuh video:
Perkataan/ percakapan yang ihtimal (boleh ditanggung/ditimbang) dari satu jalan (cara) takwil dari jalan2 takwil , adalah tidak sah dikufurkan orang yang berkatanya, kerana Nabi s.a.w telah bersabda dalam satu hadis.. " Tangkislah (Tahanlah) hudud terhadap orang Muslimin sekuasa2 ( kamu".
Apabila kita ditahan menjalankan hudud dengan sebab perkara syubhat (kesamaran). Sepertimana telah berkata ahli Fekah. HUDUD (hukuman-hukuman) DITAHAN DARI DILAKSANAKAN KERANA ( terdapat) PERKARA SYUBHAT (kesamaran)" , macamana pula boleh kita kafirkan orang pada perkara yang boleh ditakwil (syubhat) ?.
Kerana itu lah berkata Imam Besar kita - Abu Hanifah r.a :

" Apabila sampai kepada engkau sesuatu perkataan dari seseorang Islam yang mempunyai ihtimal 99 yang diihtimalkan pada kufur dan 1 sahaja ihtimal iman, maka hendaklah ihtimalkan (iaitu tanggungkan/ beratkan timbang/ tujukankan maksudnya) atas keimanan , jangan engkau diihtimalkan (iaitu tanggungkan/ beratkan timbang/ tujukankan maksudnya) makna kufur, (sedemikian itu ) sebabnya supaya bahawa engkau :

- tersalah pada keimanannya padahal dia disisi Allah sebenarnya dia kafir itu lebih baik,

-- dari engkau tersalah pada (hukumkan dia) kufur padahal dia disisi Allah orang beriman".

Suara orang bertanya -- (adakah )Imam Abu Hanifah (berkata begitu)?.
- Ya, Imam Abu Hanifah (dia berkata begitu) .

Suara orang bertanya -Dalam kitab Mana?.
- Ada di Awal2 kitab Syarah Fiqhul Akbar.. Syarahan bagi Munlla Ali al Qoori.
"kerana bahawa supaya engkau tersalah pada keimanannya"
Yakni bersangka baik engkau (Husnu zan) baik terhadap seseorang INSAN dan engkau kata bahawa dia mukmin.

Adakah Engkau akan di siksa (jika) engkau bersangka baik terhadapnya (begitu)?.

-Suara orang bertanya- Sekalipun dia kafir disisi Allah.
Kerana engkau tersalah takwil atas imannya , (itu maknanya ) engkau masih ihtimalkan dia beriman, adapun jika engkau tersalah pada (menghukum) dia kufur , padahal dia disisi Allah beriman .. engkau tahulah apa akibatnya kan.. dan persoalannya...

kerana seseorang insan itu bila berkata kepada seorang insan yang lain "Kafir" padahal dia disisi Allah tidak kafir, nanti akan kembali kata --kata itu kepadanya semula .....

--------------------------------------------

Hubaya hubaya lah kaumku ,, jangan mudah2 kafirkan orang.

Friday, July 18, 2014

Amalan Menabur Bunga di pusara adalah ajaran Islam, sunat, bukan diambil dari kristian dan yahudi.

Tabur Bunga di Kubur adalah dari amalan Islam, diamalkan muslimin sedunia, dan maktub dalam teks muktabar fikah mazhab . Kalau bukan dari amalan Islam, kenapa wujud dalam fatwa Ilmu Fekah sudah sebegitu lama ?.

2 buah kitab yang jadi rujukan utama para penuntut dan ulama dibidang fekah mazhab Shafie.

pertama : I'anatutthoolobin juzuk 2 mukasurat 119.

kedua: Kasful Litham, juzuk 1 , mukasurat 82.


Soalan 1: Ustaz, mohon pencerahan. Bukankah Nabi s.a.w tutup pakai pelepah tamar? Di sini tiada pohon tamar.Kalau pakai hukum qias, guna pelepah kelapa atau sawit. Atau tak perlu letak apa2 untuk elakkan salah faham. Maaf ustaz.

Jawab: Menurut Sheikh Ibn Hajar dalam kitab Fatawa al Kubro beliau seperti yang dinukil dalam kitab I'anah al thoolibin  dimuka surat yang dipaparkan gambarnya itu  memang termasuk yang diqiyaskan dengan pelepah tamar adalah sebarang dahan, ranting kayu ataupun  pelepah kelapa/sawit untuk dipacak/tanam diatas kubur. 

Kalimat- غرس- bermakna pacak/tanam atau sebarang cara yang lain. Dalam kitab Bahrul Maazi- Komentar Hadis Jamik Sunan Tarmizi ,  karangan Sheikh Marbawi juga ada disebut qiyas ini. Iaitu qiyas pelapah lainnya dengan pelepah tamar . Guru saya berkata:  Pelepah kelapa lebih hampir menyerupai pelepah tamar. Wallahu a'lam.

Soalan 2: Ada pulak orang berkata, dalam kitab itu kata pacak/tanam, tentulah sesuai untuk kayu, kenapa pulak ditabur bunga, tidak munasabah jika qiyas bunga kepada pelepah tamar?. Sudah tentu qiyas itu tidak sah?. 

Jawab: Begini . Apabila kita sudah benar-benar  faham konsep qiyas yang sah diamalkan dalam ilmu Ushul Fiqah, tentu akan mudah bagi kita menerima  keputusan  ulama dalam teks Fathul Muin dan I'anah tersebut. Bagaimana pula?. Fahamilah,  bunga diqiyaskan kepada pelepah tamar,  maksudnya apabila pelepah tamar sunat  dipacak atas kubur maka bunga  juga dihukum sunat ditabur atas kubur .  sebabnya (illahnya) diqiyaskan kepada pelepah tamar atas dasar bersatu makna (illah) antara keduanya. Makna tersebut  ialah faedah Tasbih dari keduanya. Maksudya pelepah tamar bertasbih, bunga juga bertasbih. maka disamakan hukum keduanya sebab mempunyai persamaan , iaitu tasbih.

Kalau begitu kenapa pula ditabur bunga  tidak pacak?. JAWABNYA: Munasabah kuntum-kuntum bunga - tabur.. mana boleh bunga  dipacak pacak ?. kalau boleh dipacak .. haa pacak lah.. tak letih?.

Thursday, July 17, 2014

Thursday, June 26, 2014

Marhaban Ya Sheikh Ramdhan... Ya Marhab.



Sya,ban ,, pintu Ramdhan. Dibulan ini kita berlatih untuk bersedia dengan latihan puasa, menahan lapar dahaga dan latihan ibadat untuk menyambut Ramdhan yang mulia. Bulan Ramdhan - sebagai pendidik (murabbi) yang sangat berkesan. Rahmat Allah yang melimpah ruah diturunkan dibulan Ramdhan telah membendung rohani dan jasmani insan untuk dihalakan kepada ibadat dan ubudiyyah. Sekalipun Mahaguru Ramdhan tidak bertubuh dan berjisim, tetapi pengajaran dan asuhannya sangat berbekas dijiwa insan . Mukmin sejati sangat merindui mu wahai sang guru... Tuan Sheikh Ramdhan - Allah sucikan rahsia Sheikh Ramdhan... Marhaban marhaban ,, ahlan ahlan.. wa sahlan.. ya marhab ..

Friday, June 06, 2014

Pandangan Al Faqir terhadap Shawkani

Pandangan al faqir terhadap ketokohan Shawkani dan karangan beliau yang bermutu.

Shawkani. Ulama dari Sanaa, Yamen. Dikatakan orang awwalin yang menyusun fikah muqarranah (perbandingan pendapat-pendapat mazhab fikah). Tetapi ada lagi mereka yg lebih awal dari beliau. Terdapat ulamak dikurun ke 8 hijrah . Misalnya, Sheikh Abdul Wahab al - Sya'raani yang telah mengarang kitab fikah muqarranah (perbandingan) 4 mazhab berjudul " AL MIZANUL KUBRO" yang sangat hebat.

Terdapat kritik ulamak terhadap Shawkani dibidang fikah dan ushulnya sahaja disebabkan antaranya beliau telah meluas -luaskn ijtihad baru pada masalah yang sudah ada ijtihadnya.
Shawkani, didapati sedikit bermasalah dalam fahaman fikahnya.
Soal: Betulkah ustaz, pendapat Imam Syawkani ini kita boleh pakai dalam masalah fiqh sahaja, tetapi dalam masalah tauhid kita tidak boleh ikut?.

Jawab: Tidak betul.
Sebab dibidang Tawhid beliau pengikut aliran Asyairah.
Kitab Irsyadul Fuhul beliau sebagai contoh. Didalamnya ada pandangan beliau yang tersendiri dibidang ushul yang ditolak ulamak mazhab. Tetapi bab takwil ayat-ayat mutasyabihat dalam quran, beliau mengulas dengan ulasan yang sangat bagus dan sangat bermanfaat untuk menolak hujjah fahaman tajsim yang tidak shorih seperti fahaman Wahabiyyah. Perbahasan beliau sesuai dengan Asyairah dan Maturidiyyah . Sebab itu ulamak kita pun pilih pilih juga apa Shawkani kata. Pada hal kalau tidak dirujuk kitab Shawkani pun tiadak ada masalah. Munkin ulamak mengambil pandangan Shawkani sebagai hujah dakwah untuk kepada golongan Wahabiyyah.
Begitu juga dl bab- bab tafsir dan penilaian hadis-hadis, penulisan Shawkani sangat baik. Cuma bukan sebagai rujukan utama.

Ulamak kita tidak ada yang mengiktibar Shawkani sebagai tokoh utama ulamak mazhab.
Walaupun kitab-kitab karangan beliau terdapat yang bermanfaat. Tetapi beliau bukanlah sebagai tokoh yang biasanya ditonjol-tonjolķan.
Kitab "Irsyadul Fuhul" , itu contoh kitab Ushul fikah muqarranah terbaik. Tapi bukan sebagai rujukan utama dalam bidang ushul fiqh.

Mungkin juga ulamak kita telah membahasakan petunjuk ini dengan maksud " Jika dipakai pendapat-pendapat Shawkani dibidang fikah dan ushulnya, kenapa tidak dipakai dibidang tawhid, tafsir dan hadis?". Wallahu a'lam.

Saturday, May 10, 2014

SECORET PANDANGAN AL FAQIR - ASAS-ASAS KEWUJUDAN "BID'AH HASANAH DAN BID'AH DHALALAH".

SECORET PANDANGAN AL FAQIR - ASAS-ASAS KEWUJUDAN "BID'AH HASANAH DAN BID'AH DHALALAH".

Ada dua perkara yang sangat penting untuk diperhatikan dalam hubungan perbincangan Bid'ah Hasanah , Bid'ah Dalalah, yang patutnya jadi fokus kepada yang pro dan yang kontra  wujudnya bid'ah hasah dalam agama.

Jika diamat-amati , dua perkara ini akan dapat membantu seterusnya memadamkan penolakan wujudnya bid'ah hasanah dalam agama.

Pertama: Konsep "maslahalah dan mufsidah"  yang  menjadi asas menentukan hukum2 pada perkara baru yang tiada wujud dizaman Nabi s.a.w. Adakah Konsep "maslahalah dan mufsidah" boleh diguna apakai atau tidak dalam berhukum?. Ini perlu diberi penjelasan kepada orang ramai oleh para cendekiawan agama , samada aliran tradisional atau  lainnya. Kalau boleh digunapakai, adakah ia merupakan perkara kesepakatan para ulama islam atau tidak, atau tiada langsung ulama yang bicara tentangnya?. Kalau sudah jadi pendapat majoriti, adakah sikap yang terbaik dalam beragama terhadap perkara2 baru yang tidak pernah wujud dizaman Nabi s.a.w?.

Kedua: Perbandingan antara dua tokoh utama yang menjadi idola kepada pengikut aliran "wujud atau tidak wujud bid,ah hasanah dalam agama".

1. al Imam Sulthanul Ulama Izzuddin Abdissalam - Yang mengarang Kitab Qawaidul Kubro- yang menjadi rujukan perbincangan utama kepada kewujudan  "Bid'ah Hasanah".

2. As Syathibi- Pengarang al -I'tishom - kitab rujukan utama dalam penafian kewjudan "Bid'ah Hasan " dalam agama.


Saya klimkan kedua mereka sebagai rujukan utama, disamping ada banyak lagi tokoh-tokoh lain, sebab kedua mereka telah menjelaskan dengan terperinci konsep berkaitan bid'ah hasanah . Masing-masing dengan pandangan dipihak yang saling bertentangan.  Yang seorang Isbat, seorang lagi Nafi. al Imam Sulthanul Ulama Izzuddin Abdissalam mengatakan wujud bid'ah hasanah  sementara Syathibi menolaknya.
Lagi pula, kedua kitab mereka telah di jadikan teks utama dalam setiap perbincangan, samada dalam penulisan, ceramah, nukilan untuk tesis bagi meraih kesarjanaan di universiti-universiti.

Cuba bandingan mutu kandungan kedua-dua teks kitab tersebut, berdasarkan kemampuan dan kemahiran disudut tatabahasa arab, kemampuan dan kemahiran pencernaan kaedah-kaedah syariat terutamanya Konsep "maslahalah dan mufsidah" yang menjadi fokus terbitnya perbincangan bida'ah hasanah dalam ilmu fikah. Kemampuan dan kemahiran dalam istinbath hukum dan hubungannya dengan perkara yang sedang berlaku, rihlah ilmiah kedua tokoh tersebut - siapa yang lebih cemerlang , lebih terkenal, siapa yang lebih banyak karangan-karang ilmiah yang bermutu tinggi disetiap displin ilmu-ilmu islam   dan akhirnya sambutan para ulama islam yang terbilang  yang menjadi rujukan umat ini, siapa yang lebih ramai dan lebih disebut-sebut dan dicatit-catit setiap kali perbincangan ilmiah , penulisan dan ceramah.

Sebagai ingatan,   Syathibi pengarang I'tishom bukan Imam Shatibi pengarang matan qiraah Shatibi- Imam utama dalam bacaan quraan. Syathibi pengarang I'tishom  tidak terkenal sedekat umurnya, melainkan setelah begitu lama ketiadaannya . Tidak seperti Imam Sulthanul Ulama Izzuddin Abdissalam.


Perkara-perkara  ini juga perlu diambil kira dalam pertimbangan kita untuk beramal dengan perkara-perkara yang telah ditentukan oleh para ulamak sebagai  "Bid'ah Hasanah ".

wassalam.

Saturday, May 03, 2014

Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/Hitam.



Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman Pondok Kampong Teluk, Kepala Batas , Alor Setar.

Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/ Hitam telah dilahirkan pada tahun 1917 dan telah wafat pada 2006 masihi berusia sekitar 89 tahun. 

Mempunyai tiga orang isteri. Isteri yang pertama meninggal dunia dan kemudian beliau berkahwin dengan yang kedua kemudian bercerai, dan berkahwin pula yang terakhir dan kekal hingga wafat beliau  . 

Mempunyai seorang anak dan beberapa cucu. Beliau memulai pendidikan agama semenjak daripada pangkuan ibunya, belajar ilmu fardhu ain, alquran tajwid, dan membaca kitab Muniyatul Musolli. Kemudian masuk belajar diPondok Lembah Bujang, Merbok, Kedah ,  selama 10 tahun. 

 Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Negeri Kelantan dan menuntut di pondok Madrasah Ahmadiyah di kg Bunut Payung,  Kota  Bharu  Kelantan  selama 29 tahun. 

 Semasa di Bunut Payung, beliau telah menghabiskan waktu belajar dengan system talaqqi iaitu  membaca kitab dari kulit ke kulit sehingga khatam. Beliau menadah di hadapan guru utama pondok iaitu Almarhum Tuan Guru Sheikh Abdullah Thohir yang merupakan murid tua kepada ulama besar Tok Kenali. Selama puluhan tahun beliau menadah siraman ilmu di Pondok Bunut Payung di bawah asuhan guru besar Sheikh Abdullah Thohir tersebut. 

 Beliau telah  mengkhatamkan kitab-kitab turath (kitab kuning) samada dalam teks bahasa melayu atau bahasa arab, dalam pelbagai displin keilmuan islam, seperti nahu, saraf, hadis, mustholah hadis, feqah, tauhid, usul tafsir, tasawuf, ilmu-ilmu alat (iaitu balagah, mantik, maqulat, ‘arudh, miqat, falakiah,) dan lain-lain. 

 Beliau telah menggelarkan Sheikh Abdullah Thoir sebagai Faqih. Antara tanda-tandanya, kemahiran Sheikh Abdullah Thoir mengajar teks kitab fekah - al Mahalli tanpa melihat kitab lagi, hanya  perantaraan Muqri ( pembaca).

Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab umdah (rujukan utama) yang besar-besar dalam pelbagai bidang, di antara kitab-kitab tersebut antaranya :

1)    Fekah:Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab utama Ghoyah wa Taqrib, Fathul Qorib , Fathul 
     Muin, Fathul Wahhab, al-Mahalli (Qalyubi wa Umairah) ,Nihayatul Muhtaj (6 juzuk).
2)   Tauhid:Beliau mengkhatamkan kitab-kitab asas tauhid sehinggalah sebesar-besar seperti 
     adDussuki ,  Abddus Salam, dan lain-lain.
3)      Tasawuf: al-Hikam dan semua syarahannya, kitab-kitab imam alghazali sehingga ihya’, kitab
     Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, addurun Nafis, dan lain-lain
4)     Nahwu  :Mengkhatamkan berbagai kitab asas Nahu sehinggalah sebesar-besar kitab Nahu seperti  
      Ibnu Aqil, Awdhoh, Mughni Labib dan lain –lain.
5)      Hadis:  Mengkhatamkan Sunan  Sittah (kitab hadith yang 6 buah) . Kitab-kitab asas ilmu hadith seperti Matan   
      Arbain,  Riyadhus Sholihin, Bulughul Maram, Abi Jamrah, Misykat Mashobih  dan lain-lain.
6)      Tafsir: Mengkhatamkan kitab asas tafsir seperti Tafsir Jalallain, tafsir-tafsir dalam bahasa 
       melayu  seperti Baydhowi Melayu (Tarjumanul Mustafid), dan mengkhatamkan kitab-kitab 
       tafsir yang besar-besar seperti tafsir An Nasafi, tafsir Al Baidawi, Tafsir al Maraghi, sebahagian besar Tafsir Ibnu Katsir  dan lain-lain.
 
7)      Usul Fekah dan Qawaid Fiqhiyyah: Beliau mengkhatamkan daripada sekecil-kecil hingga
      sebesar-  besarnya seperti kitab Waraqat dan syarahnya oleh al-Mahalli, al-Ashbah  wan Nazo ir, 
      Jam'ul Jawamik, dan  lain-lain.

Disamping menumpukan masa dengan pelajaran di pondok utamanya iaitu Pondok Bunut Payung, selepas kewafatan Sheikh Abdullah Tohir,  hayat pondok bunut payung telah disambung oleh almarhum Tuan Guru Husien Ar Rahimi, beliau berkesempatan bermulazamah dengan ulama’-ulama’ besar yang berada di sekitar Kota bharu Kelantan untuk memungut mutiara ilmu daripada mereka. Orang-orang besar itu seperti Tuan Guru  Haji Bang Kob Legor (murid Tok Kenali),Tuan Guru Mufti Haji Nor, Tuan Guru Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Salahuddin  (murid Tok Kenali) dan lain-lain.

Beberapa catitan kisah pembelajaran beliau yang diceritakan kepada saya yang masih saya ingat.

1)     Beliau menceritakan semasa beliau menuntut di pondok Bunut Payung, beliau telah dilantik sebagai ketua pelajar untuk mengawasi hal ehwal pelajar pondok ketika itu, dan beliau juga merupakan ketua kepada pelajar-pelajar yang datang dari Kedah. Beliau menceritakan almarhumTuan Guru Haji Hasyim mudir Pondok Pasir Tumbuh, ketika itu adalah seorang pelajar dari Kedah yang dibawa oleh beliau untuk melanjutkan pelajaran di Pondok Bunut Payung.

2)    Beliau menceritakan satu ketika, beliau menziarah Almarhum Tuan Guru Pak Man , Pondok Bukit Besar di pondok bukit besar Kedah. Ketika beliau sampai mendapati Tuan Guru Pak Man sedang mengajar kitab usul fekah yang paling besar dan sangat susah ibaratnya iaitu Jam'ul Jawami’ karangan  Imam Subki r.a. Kebetulan yang menadah kitab ialah Tuan Guru Sheikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar. Ketika sampai di majlis beliau duduk menghadap dengan Tuan Guru Pak Man lalu duduk untuk sama-sama menjadi pendengar kepada bacaan kitab, tetapi tiba-tiba Tuan Guru Pak Man bukit besar melambai tangan kepada beliau memanggil  untuk duduk di samping Tuan Guru Pak Man  sambil berkata iaitu menujukan kata ke Tuan Guru Haji Mahmud, “Dia ni kawan ana”. Selepas bercerita kisah tersebut, tuan guru saya ini mengulas dengan berkata ( “Pak Man ilmunya, mahirnya sekata, tidak seperti sesetengah orang yang lain"). Maksud beliau, ilmu Tuan Guru Pak Man  adalah sama tahap kemahiran  di setiap bidang ilmunya. Tuan Guru Pak Man bukit besar mahir ilmu fekah, juga mahir tasawuf, juga mahir ilmu-ilmu yang lain. Tidak seperti mereka yang seperti mahir ilmu fekah tetapi tidak mahir dalam bidang ilmu-ilmu yang lain.

3)      Satu ketika yang lain beliau bercerita, semasa menuntut di Kelantan, beliau telah memerhatikan dan mengingat masalah-masalah fekah yang gharib ( jarang orang tahu) ketika menadah dengan Tuan Guru ,Tuan Guru. Jika berjumpa sahaja  dengan  masalah yang  gharib beliau akan terus mengingatinya dan masih dalam ingatan beliau. Antara masalah-masalah yang beliau sering ulangkan:
1. Sunat membaca ta'awwuz dengan jahar sebelum membaca al-fatihah  di dalam sembahyang  yang dijaharkan bacaannya, sedangkan yang masyhur diketahui umum adalah tidak sunat pada sisi qaul muktamad ashoh. Tuan guru saya ini mengisyaratkan masalah ini sebagai satu masalah yang menarik yang patut diamalkan walaupun menurut qaul yang Muqobil. Masalah ini terdapat dalam kitab Mughni Muhtaj, beliau ingat ketika sedang menadah kitab tersebut.

2.Masalah yang kedua, perempuan haid yang sedang berihram diharuskan memakan ubat untuk menghentikan haidnya bagi melakukan tawaf rukun haji atau  umrah, masalah ini beliau masih ingat ketika menuntut kitab Nihayatul Muhtaj. 

3.Bidan yang menarik kepala bayi yang lambat keluar daripada perut ibunya lalu dicabut putus, maka menurut Qaul Shyubari di dalam Hasyiah Tuhfah, bidan tersebut dikenakan qisas.

4. Jika seseorang sakit , kemudian makan ubat lalu  hilang ingatannya, adakah terangkat taklif?. jawabnya terangkat. Masalah ini ada dalam Nihayah. 

5. Tuan Guru  juga telah menceritakan kepada saya satu kisah , dipondok Bunut Payong, satu peristiwa kematian seorang kanak-kanak 12 tahun , ditimpa buah kelapa diatas kepalanya. mayat kanak-kanak tersebut masih berdarah sehinggalah saat dimandikan. maka berlaku sedikit kicuh dikalangan pelajar dan guru-guru dipondok Bunut Payong, apa yang perlu dilakukan terhadap mayat itu. sebab berdarah kepala yang masih mengalir takdapat dibersihkan. maka mayat yang bernajis tidak sah disembahyangkan?. Maka ketika itu tidak seorang pun yang sanggup untuk datang untuk berjumpa Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir , hanya Pak Ya (Tuan Guru Haji Yahya) datang bertanyakan masalah tersebut kepada Sheikh Abdullah Tahir.

Jawapannya: Semasa sedang memandikan mayat itu, pemandi menjiruskan air terus menerus tanpa putus di tempat luka yang berdarah yang masih mengalir itu, dan ketika itu juga 3 atau  lebih  orang yang ditugaskan menyembahyangkan mayat itu. Setelah selesai sembahyang, baru diberhentikan menjirus air.     Kemudiannya diteruskanlah acara yang seterusnya. Munkin selepas itu akan disembahyangkan lagi dimasjid beramai-ramai.

Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir menjawab soalan itu sambil sedang duduk diatas katil.

Menurut Sheikh Abdullah Tahir, kaifiat ini akan dapat menghimpunkan semua pendapat-pendapat (qaul)  yang bercanggahan. 

6.. bersambung..




Thursday, March 27, 2014

Terjemahan terbaik setakat ini.


Kitab Idoohul Bab- Sheikh Daud al Fathoni. Bab Nikah.

Kitab yang sangat besar manfa'at, sangat masyhur dikalangan penuntut ilmu , sangat berkat, gaya bahasa yang termudah jika dibandingkan antara karangan Sheikh Daud dan mengadungi kaedah2 ilmu yang penting.  Karangan  yang sangat mantap dibidang munakahat, sebab rujukkanny terus kepada 4 buah kitab  utama  sebagai rujukan mazhab. 1. Tuhfah, 2. Nihayah, 3. Fathul Wahhab. 4. al-Uddah Wassilah . wassalam.

Monday, March 17, 2014

Saturday, March 15, 2014

Kelas Takmir di PAID TAmpin


5 april Program Seminar Fiqh Munakahat siri 1 di PAID Tampin, insyallah. Terbuka.

Teks : Kitab Idoohul Bab- Karangan Sheikh Daud Fathoni.

Wednesday, February 26, 2014

Kitab-kitab karangan Sheikh Qoder Mendeli yang tidak tercetak lagi.

















Untuk maklumat lanjut kitab2 tersebut dan bagaimana untuk mendapatkannya, sila sms 012-2535486 atau 019-5065947 (Arif).
Mengenai Tuan Sheikh Abdul Qoder Al Mendili
--> Siapa Sheikh Abdul Qoder al Mendili?



Friday, February 14, 2014

kuliah tasawuf bulanan, kitab terjemahan minhajul aabidin.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
dimaklumkan, sabtu malam ahad (esok) , pengajian kitab terjemahan minhajul aabidin di masjid felda jelai 1, selepas maghrib , seperti biasa. Semua dijemput hadir. Wassalam.

Friday, January 17, 2014

TAMPIN BERSELAWAT.





DIMAKLUMKAN, MAJLIS SAMBUTAN MAULID NABI S.A.W BESAR-BESARAN YANG JULUNG KALI DIADAKAN DI DAERAH TAMPIN, PERINGKAT DAERAH , AKAN DIADAKAN DI TAMPIN SQUARE- KAWASAN BERATAP HIJAU, PADA 24 JANUARI HARI JUMAAT SELEPAS MAGHRIB.

MAJLIS AKAN DIHADIRI OLEH TUNKU BESAR TAMPIN- YANG TERAMAT MULIA TUNKU SYED RAZMAN BIN TUNKU SYED AL- QADRI , TUNKU BESAR TAMPIN.

PROGRAM AKAN DIISI DENGAN TAZKIRAH RINGKAS OLEH 3 ORANG PENCERAMAH DARI DAERAH TAMPIN, DAN DISELANG SELIKAN DENGAN NASHID DAN MADIH MEMUJI NABI S.A.W OLEH 4 KUMPULAN YANG SEDANG MENINGKAT NAMA DI NEGERI SEMBILAN.

1. KUMPULAN ULFA, DARI MADRASAH AZZAIEN SEREMBAN.
2. YAYASAN SOFA.
3. PONDOK TAMPIN.
4. MADRASAH TAHFIZ DIAMPANGAN.

PENCERAMAH :

PERTAMA: HAJI ABD. RAOF BIN NURIN- DARI PONDOK TAMPIN.

KEDUA: USTAZ MOHD KHAIRI BIN ZAINUDDIN - DARI...

KETIGA : DR SYUHADAK BIN MAHMUD- DARI KUIS.

SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR.