Sunday, June 03, 2012

Kepentingan Kitab-kitab jawi/melayu jadi rujukan fatwa


 DISEDIAKAN OLEH YANG BERBAHAGIA AL USTAZ AL-SHEIKH  HAJI ABD. RAOf  BIN NURIN MUDIR PONDOK TAMPIN

Sebagai seorang yang melalui proses pelajaran Agama sistem pondok, tentu akan benar-benar terasa betapa penting dan perlunya kitab-kitab versi tulisan jawi/melayu diketengahkan dalam masyarakat.
Pada pendapat saya , mungkin beberapa sebab  yang akan saya kemukakan nanti mungkin dapat menterjemahkan maksud "Kepentingan Kitab-kitab jawil/melayu sebagai rujukan" menjadi lebih jelas walaupun ia hanya pendapat peribadi saya.

1. Proses awal seseorang penuntut ilmu dipondok untuk menguasai pelajaran agama yang membawa kepada pencapaian ilmu tahap tertinggi, adalah sangat perlu menguasai ilmu Nahu dan Sharaf. Uslub atau gaya penulisan kitab-kitab melayu lama masih tetap terikut-ikut  gaya cara susunan Nahu Sharaf yang asal walaupun setelah diterjemahkan ke bahasa melayu. Bukan setakat ilmu nahu dan sharaf sahaja , malah uslub-uslub ilmu alat (bahasa arab tinggi) juga telah diterapkan oleh para ulamak melayu terdahulu dalam setiap penulisan mereka.

Oleh yang demikian, belajar kitab-kitab melayu klasik akan dapat membantu  para penuntut ilmu nahu dan ilmu-ilmu alat untuk lebih cepat memahirkan metod nahu dan ilmu-ilmu alat . Sejauhmana kemahiran memahami teks-teks  arab akan bergantung pula kepada sejauhmana pula kemahiran mempraktikkan uslub-uslub bahasa seseorang pelajar atau pengajar.

2.  Telah maklum bahwa penulisan kitab-kitab melayu klasik hanya dapat dikesan telah bermula  semenjak 300 tahun dahulu lagi atau mungkin lebih awal darinya.   Dalam jarak jangkamasa yang begitu lama para cendiakawan melayu telah menguasai perbincangan-perbincangan ilmiah samada disudut ilmu tawhidnya , fikahnya dan shufinya, sudah tentu setiap  fatwa yang telah diputuskan didalam teks kitab-kitab melayu begitu matang dan menepati citarasa bangsa melayu ditanah melayu khasnya dan dinusantara amnya dan telah diresapi dan dipraktikkan  dengan berjaya.

Oleh yang demikian, sudah tentu akan ada terdapatnya perkara-perkara halus yang akan dijumpai dalam kitab-kitab melayu klasik  yang tidak ada perbincangannya secara spesifik dalam kitab-kitab arab, terutamanya berkenaan fatwa-fatwa fikah semasa. Wallahu a'lam.  Contohmya masalah keharaman memakan binatang yang dinamakan tenggiling , tupai dan biawak pasir.

3. Kitab-kitab agama berbahasa arab adalah rujukan utama dalam  fatwa, tetapi jangan lupa kepada naskhah-naskhah kitab agama yang telah disusun para ulamak Islam dalam setiap bahasa ibunda masing-masing yang tidak pernah diterjemahkan kedalam bahasa arab, padahal disudut maklumat dan nilai-nilai ilmiahnya  sangat bermutu tinggi. Lihat sahaja kitab-kitab warisan dari  cendiakawan dibenua India maupun Parsi dan Afrika yang masih dalam bahasa bangsa masing-masing. Dengar khabarnya sehingga ada kitab-kitab arab yang diterjemahkan ke bahasa Perancis dan English, terdapat perbahasannya yang halus-halus yang masih dijadikan bahan rujukan penuntut-penuntut doktorah di pusat pengajian tinggi.

Begitulah halnya dengan naskhah-naskhah kitab-kitab jawi/melayu yang masih kekal dihati-hati anak bangsa melayu, masih perlu dimartabatkan sebagai rujukan fatwa-fatwa yang tidak boleh dikesampingkan sebab  kadang-kadang ada masalah-masalah hukum atau lebih halus dan teliti dibincangkan didalamnya yang tidak pernah dijumpai masalah tersebut dalam kitab-kitab berbahasa arab.  Contohnya masalah terjemahan lafaz  "usholli" sebelum bertakbiratul ihram diterjemahkan "Sahaja aku sembahyang"   dan terjemahan kalimat "Qidam" yang diterjemahkan "Sediakala"  dalam bahasa melayu. Maka perbahasan dua perkataan tersebut tidak terdapat dalam kitab-kitab arab walaupun disudut rujukannya memanglah ada.

4. Dalam kontek berfatwa, seseorang mufti atau ulamak yang ditanya hukum-hukum , mestilah memfatwakan dengan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh mazhab sebagai muktamad. Sebagai contoh didalam bidang fikah, Kitab Tuhfah dan Nihayah adalah rujukan utama dalam memilih hukum-hukum yang muktamad disamping kitab-kitab lain juga dijadikan rujukan.

Maka , kitab-kitab melayu klasik dalam bidang fikah, sebenarnya adalah himpunan fatwa-fatwa yang telah dimuktamadkan oleh para ulamak fikah Mazhab Shafie misalnya kitab Mathlaul Badrin  wa majma'ul bahrin. Walaupun didalamnya  kebiasaannya , pengarang kitab-kitab melayu tidak mencatitkan dalil-dalil terperinci, tetapi dapat dipastikan dengan senang hati bahawa isi kandungan hukum-hukum yang tercatit adalah benar-benar isi kandungan fatwa mazhab Shafie  yang dapat dijadikan amalan masyarakat Islam seNusantara yang sudah sekian lama berpaksi. Jika begitu keadaanya, maka dapat dikatakan ; Kitab-kitab jawi/melayu adalah ringkasan atau terjemahan kepada fatwa-fatwa yang menjadi peganggan umat Islam Melayu yang sepatutnya diwarisi secara serius dan didaulatkan dihati umat dan dinegara tercinta.

No comments: