Jabatan Mufti Negeri Kedah.
Istiwa Matahari Peluang Menyemak Arah Kiblat
Fenomena istiwa matahari adalah salah satu tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Ilahi. Fenomena ini juga dikenali sebagai Istiwa A’dzam (Istiwa Agung). Ianya terjadi apabila matahari berada tegak di atas Kaabah, iaitu berada tepat di titik Zenith (Ghayah) semasa Istiwa (Rembang/Tengahari). Peristiwa ini berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 28 Mei, jam 5.16 petang dan 16 Julai, jam 5.28 petang, apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud tempatan.
Pada ketika itu, bayang-bayang objek tegak yang terhasil di seluruh dunia akan membetuli arah kiblat, lantas memberi peluang kepada umat Islam menentu atau menyemak arah kiblat dari tempat masing-masing. Pada tahun ini, fenomena istiwa matahari di atas kaabah akan berlaku pada 28 Mei 2011 bersamaan 24 Jamadi Akhir 1432, (Sabtu) jam 5.16 petang dan 16 Julai 2011 bersamaan 14 Syakban 1432, (Sabtu) jam 5.28 petang. Berdasarkan tarikh dan waktu yang dinyatakan, penentuan atau semakan arah kiblat boleh dilakukkan dengan panduan berikut :
1. Pilih tempat yang hendak disemak arah kiblatnya dan pastikan iannya tidak terlindung dari sinaran cahaya matahari.
2. Pacak satu tiang di kawasan itu dan pastikan ia tegak (90°) dan tegak.
3. Pada waktu yang dinyatakan, tentukan arah bayang yang terhasil daripada tiang tersebut.
4. Arah kiblat anda adalah arah yang bertentangan dengan bayang yang terhasil daripada tiang itu.
Selain dari menggunakan tiang tegak yang dipacak, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat menggunakan kaedah ini.
Peranan dan Tanggungjawab
1. Setiap umat Islam digalakkan untuk melakukan semakan ketepatan arah kiblat di masjid, surau, pejabat dan kediaman masing-masingbagi mengesahkan ketepatan arah kiblat.
2. Jika setelah semakan dilakukan (bagi masjid dan surau sahaja) dan didapati arah kiblat yang sedia digunakan adalah tersasar, sila lakukan pembetulan dan hubungi Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Kedah untuk urusan pengesahan.
No comments:
Post a Comment