Sunday, September 12, 2010

Sedutan kandungan Khutbah Aidilfitri 1431h diPondokTampin

Muslimin yang berbahagia.

Maha besar Allah, Tuhan sekalian Alam, yang telah menjadikan hari raya ini hari gembira, bagi orang yang benar niatnya dan diterima ibadah puasanya pada siang hari siang Ramadhan, dan ibadat sembahyangnya pada waktu malamnya. Hari gembira bagi orang yang tenteram jiwanya dan baik tingkah lakunya, perbuatannya dan perkataannya pada sebulan ramadahan yang baru lalu. Hari bermaaf-maafan dan melimpahkan kebaikan bagi orang yang suka memberi maaf kepada saudaranya yang telah terlanjur membuat kesalahan dan berbuat baik terhadap orang yang menganggu. Serta hari mengadakan kebajikan yang umum di kalangan manusia. Inilah hari gembira, dan kelazatan berhari raya hanyalah dapat dikecapi dan dirasai oleh mereka yang benar-benar beragama, bukan mereka yang hanya agama dan Islam pada nama dan keturunan sahaja. Inilah hari keuntungan dan kemenangan sekiranya dilakukan di dalamnya perkara yang boleh membuahkan persatuan muslimin bersatu hati, tidak bercerai berai dan jatuh-menjatuhkan. Inilah hari bahagia jika sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan kebaikan untuk masa hadapan dan kita berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan selalu ingat kekuasaan dan kebesaranNya dan segala nikmat yang dilimpahkanNya kepda kita dengan cara menurut perintahNya dan meningglkan segala laranganNya. Serta pula cepat-cepat bertaubat pada Allah s.w.t jika tergelincir ke dalam dosa atau alpa. Perhatikanlah sabda Nabi saw, …….

Ertinya, “Setengah daripada tanda kebahagian seseorang itu bahawa lanjutlah usianya dan dikurniakan oleh Allah taubat kepadanya dan ikhlas dalam beramal.”

Dan lagi sabda Nabi saw…

Ertinya, “Barangsiapa berbuat baik pada baki umurnya, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang berbuat jahat pada baki umurnya yang masih ada, nescaya diseksa dosanya yang telah lalu dan dosanya dalam baki umurnya.”


Allahu Akbar3……

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Kelazatan berhari raya pada zahirnya juga dirasai oleh sesiapa sahaja yang turut merayakannya. Tetapi pada hakkatnya hanyalah mereka yang benar-benar beragama, yang dapat mengecap dan merasai lazat dan nikmatnya berhari raya. Kita katakan lazat kerana orang yang benar-benar beragama telah mencapai kemenangan di dalam peperangan yang sangat besar, atau al jihadul akbar menentang dan menundukkan kemahuan hawa nafsu. Ia telah sanggup menahan nafsunya daripada makan dan minum, dan bercampur dengan perkara syubahat. Dengan demikian itu menjadi suatu tanda bahawa ia akan lebih sanggup untuk menahan dirinya daripada perkara yang haram dan bukan milik kepunyaanya.

Kelazatan yang lain pula bermakna dia telah sanggup memberikan sebahagian hak miliknya sendiri kepada golongan yang memerlukan dengan melalui sedekah. Disebabkan pengalaman pahitnya lapar dan dahaga di siang hari, maka timbullah kesedaran. Sabda Nabi saw…..

Ertinya, “Orang yang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan dan ia akan bergembira dengan keduanya iaitu apabila ia berbuka puasa, ia akan bergembira dengan berbukanya itu. Dan apabila bertemu dengan tuhannya, ia bergembira dengan puasanya.”

Berkenaan zakat fitrah dan bersedekah telah dinyatakan Nabi saw dalam sabdanya…


Ertinya, “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitarah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai pemberi makan bagi orang miskin.”

Allahu Akbar3…..

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Maka teranglah hari raya ialah hari bahagia bagi orang-orang yang beragama Islam sahaja kerana mereka dapat memberi pertolongan kepada saudara mereka yang tidak mampu sehingga mereka itu pun turut serta bvergembira dan merasa bahagia. Benih semangat persaudaraan yang ditanam dalam zakat fitrah itu akan membuahkan mahabbah iaitu kasih sayang sesama muslimin.

Di antara kebahagian yang terdapat dalam hari raya ini ialah bahagianya kita dengan niat bersungguh-sungguh hendak melakukan sebanyak mungkin kebajikan pada masa akan datang. Alangkah dungu dan jahatnya orang yang telah bersih dirinya daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan dengan bertaubat dan bermaaf-maafan, lalu ia sengaja menerjunkan diri ke dalam dosa dan kesalahan yang baru. Kita katakan dungu kerana ia tidak sayang akan dirinya dan terlalu berani menentang azab Allah yang mengancam bagi setiap orang yang berdosa.

Niat hendak melakukan kebaikan itu sebanyak-banyak mungkin pada masa yang akan datang hendaklah menjadi tujuan hidup kita. Lebih dahulu kita usahakan membaiki diri kita sendiri, dengan membersihkannya dari perbuatan jahat dan nista. Kemudian kita limpahkan kebaikan itu kepada masyarakat yang ada di sekitar kita. Kalau setiap kita kaum mslimin berniat demikian, berniat baiknya itu diwujudkan sehingga menjadi amal yang nyata, nescaya keadaan kita sudah lama menjadi baik. Kerana orang yang teguh memegang agama Allah, pasti ia menjadi orang yang baik. Firman Allah swt….


Ertinya, “Dan barang siapa yang berpegang tegung dengan agama Allah, maka sesunguhnya ditunjukkan dia kepada jalan yang lurus.”

Marilah kita memohon doa kepada Allah…..














No comments: