Monday, January 03, 2011

Tergadai dan mundur negara kerana bermazhab?.



MAZHAB DAN PENJAJAHAN.
Oleh : Kiyai Haji Sirajuddin Abbas.
Ada pemuka-pemuka gerakan modenasasi agama menulis dalam bukunya, bahawa terjajahnya umat Islam Asia Afrika dulu adalah tersebab mereka kolot, ortodox, taqlid buta dan menganut mazhab-mazhab.
Mereka “mengambinghitamkan” Mazhab-mazhab dengan menuduh-kan bahawa sebabnya maka orang Islam dijajah oleh Imperalis barat adalah kerana mereka menganut Mazhab Syafi’I, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki atau Mazhab Hanbali.
Ini adalah penilaian sejarah yang amat keliru.
Sebab-sebabnya maka negeri-negeri Islam di Asia Afrika dulu terjajah oleh kaum Kolonial dari barat adalah kerana kesalahan penguasa-penguasa negeri yang berkuasa ketika itu.
Ada penguasa ketika itu yang tamak wang, tamak kerhormatan sehingga negerinya dijual kepada penjajah.
Ada penguasa ketika itu yang bodoh , sehingga negeri dan rakyat diserahkannya begitu saja kepada penjajah.
Ada penguasa yang ketika itu yang penakut, maka ia lari lintang-pukang melihat orang putih datang.
Ada penguasa yang berani yang baik, tetapi ia kalah dalam berperang dengan kaum Kolonial.
Dan ada pula penguasa yang benar berjiwa barat, kebarat-baratan, sehingga ia dengan sukarela memberikan negerinya kepada orang yang sefaham dengan dia.
Begitulah seterusnya.
Hal ini tidak ada hubungan sama sekali dengan Mazhab atau menganut Mazhab dan tidak ada hubungannya dengan taqlid buta atau taqlid nyalang.
Kita melihat kenyataan sejarah, bahawa orang yang tidak memeluk Islam dan tidak menganut Mazhab Syafi’I seperti Negeri Ethopia kalah dalam peperangan Dunia Ke – 2 dijajah oleh Itali.
Kita melihat Ireland Utara sampai sekarang negeri-nya dijajah oleh Inggeris pada hal penduduk disitu beragama Katholik, bukan penganut Mazhab Syafi’I, tetapi mereka terjajah kerana kekalahan politik.
Kita lihat dalam Peperangan Duni Ke 2, Peranchis, Belgia, Poland, Austria, Czechoslovakia dijajah oleh Jerman Hitler, sedang mereka semuanya tak ada langsung yang menganut Mazhab Syafi’I atau Mazhab yang lain dan bahkan Islam pun tidak.
Negeri Muhammad Abduh pun pernah diduduki oleh Napoleon, oleh Inggeris dan oleh Israil yang semuanya bukan tersebab kerana mereka menganut Mazhab, tetapi kerana kalah perang .
Kita lihat Jepun yang pernah diduduki tentera sekutu, bukan kerana menganut Mazhab , tetapi kerana kalah perang.
Sebaliknya kita melihat juga dalam sejarah, bahawa penganut-penganut Mazhab dapat pula menguasai dan dapat pula menjajah.
Kerajaan Turki , dibawah penguasa seorang Khalifah Islam yang menganut Mazhab Hanafi dalam Syari’at dan ibadat, dapat pula menguasai Negara-negara Balkan diEropah, seumpama Rumania, Bulgaria, Yugoslavia, Albania dan lain-lain.
Kita lihat Sultan Salahuddin Ayubi dapat pula menundukkan penguasa-penguasa Kristian dalam Peperangan Salib, pada hal Sultan Salahuddin itu penganut yang gigih dari Mazhab Syafi’i.
Kita membaca juga dalam sejarah, bahawa didaerah Khurasan dulu ada seorang Raja yang sangat gigih menganut Mazhab Syafi’I namanya Sultan Muhamud bin Subaktakin, berkedudukan di Ghazanah.
Beliau ini dapat meluaskan kerajaannya dengan menduduki Afghanistan. Sampai ke Punjab di India, sampai ke Bukhara di Asia Tengah, sampai ke Tabristan, Turkistan, Sijistan dan lain-lain daerah yang sangat luas.
Ada kira-kira 200 tahun kerajaan Ghazanah berkuasa, dengan menjalankan syari’at Islam bermazhab Syafi’I didaerahnya yang luas itu.
Kita membaca dalam sejarah, bahawa Sunan Gunung Jati, Fathillah, pembangun kota Jakarta, yang mengalahkan tentera portugis adalah peorang penguasa yang menganut Mazhab Syafi’I yang kuat.

Maka jelaslah, bahawa isu yang mengatakan bahawa sebabnya maka umat Islam Asia- Afrika itu terjajah oleh Imperialis adalah kerana tujuan khusus, iaitu dalam rangka menghancurkan Mazhab Syafi’I dan Mazhab-mazhab yang lain.

- buku 40 masalah agama.

No comments: