Tuesday, June 27, 2006

Siri 5. Menjawab Salafi Wahabi Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah.

Komentar Penterjemah.


Jelas sekali berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas membuktikan bahawa para ulama’ di kalangan empat Mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah, secara majoritinya,(manakala ijma’ di kalangan ulama Mazhab Shafi’e) telah menerima pembahagian bahawa di sana ada dua bentuk bid‘ah, iaitu yang ‘baik’(hasanah) dan yang ‘buruk’ (sayyi’ah/dalalah). Ini sekaligus menolak pandangan ganjil dan keseorangan (shadhdh) Imam al-Shatibi dalam I’tisomnya, yang menentang pembahagian bid’ah sedemikian, dan juga pandangan mereka yang bersamanya yang mendakwa semua ‘perkara baharu’ itu bid‘ah sesat (bid‘ah dalalah/sayyi‘ah) belaka.

• Adapun mereka yang mengemukakan hujah-hujah para Imam Mazhab dan imam imam besar lain yang kononnya menolak dan menentang amalan yang dikatakan “bid‘ah”, penolakan para Imam itu sebenarnya adalah terhadap bid‘ah dalalah, iaitu bid‘ah yang bertentangan dengan Shari‘at, kerana para imam-imam ini dalam masa yang sama di tempat yang lain jelas sekali mengakui dan menerima wujudnya dua kategori bid‘ah: baik dan buruk.

Dakwaan bahawa kalimah “bid‘ah” yang diungkapkan oleh Saidina Umar r.a hanya bermaksud ‘bid‘ah dari segi bahasa’, dan justeru itu sekalian para ulama telah tersilap faham merupakan suatu tanggapan memperlekehkan keilmuan dan kepakaran bahasa para ulama’ besar seperti Imam Shafi’e, Imam al-Ghazali, Imam al-Izz dan lain-lain, seolah-olah mereka ini jahil tidak tahu membezakan antara ‘bid ‘ah dari segi bahasa’ dan ‘bid‘ah dari segi syarak’. Imam Mazhab, Mujtahid Mutlaq, Hujjatul Islam, Sheikhul Islam dan Sultan al-‘Ulama’ adalah antara gelaran-gelaran yang diberikan terhadap para ulama ini sudah cukup menggambarkan kehebatan keilmuan dan kewibawaan mereka.

• Perlu kita akui bahawa para ulama’ silam teramat mengerti dan arif apa yang dimaksudkan oleh Saidina Umar r.a. dengan ungkapan kalimah “bid‘ah” itu . Mereka juga tahu dan amat mengerti bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melakukan Solat Terawih secara berjemaah untuk dua malam pertama di bulan Ramadhan sepertimana Hadith Aisyah r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Namun mereka tetap menggunakan hujah perlakuan Saidina Umar itu untuk mengatakan bahawa di sana ada bid‘ah hasanah dan bid‘ah dalalah. Adalah sesuatu yang ganjil tiba-tiba ada ‘ulama mutaakhir termasuk ulama’ kurun ke-20 ini mula mempertikaikan dan menolak hujah para ulama besar seperti Imam Shafi’e, Imam Ghazali dan lain-lain yang telah menggunakan kata-kata Saidina Umar itu tadi sebagai dalil mereka.

• Setiap amalan dalam masyarakat kita perlu dinilai dan diteliti dengan cermat berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada ketikanya amalan mereka itu merupakan bid‘ah hasanah, ada juga ketikanya bid‘ah dalalah dan khurafat yang mesti ditentang, dan ada juga ianya merupakan persoalan khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ‘ulama’). Adalah terlalu cetek pemikiran melabelkan semua perlakuan yang tiada nass khusus mengenainya, di dalam satu bakul yang sama sebagai bid ‘ah dalalah atau sayyiah.

*Dan Allah jua Yang Maha Mengetahui*

No comments: