Tuesday, July 03, 2012

Menghidupkan malam Nisfu Sya,ban dengan amal ibadah.

Menghidupkan malam nisfu sya'ban dengan menambahkan amalan . doa, pengajian dan sebagainya , sepatutnya tidak perlu lagi dikecoh-kecohkan dengan cakap-cakap yang  remeh-temeh. Sebab semua dalil berkenaannya kalau sekadar untuk menumpukan penambahan amal ibadat dimalam nisfu sya'ban sudah selesai dibahaskan para ulamak.  Iaitu sunat . Tanpa ada sangka buruk pada ulamak yang muktabar sudah memada untuk beramal dengan fatwa mereka.

Bacaan Yasin 3 kali dengan diselangi doa-doa memohon dipanjangkan umur dalam iman dan amal, murah rezeki dan terkaya dari meminta kepada makhluk. semuanya tercakup dalam dalil-dalil sahih yang umum.  Sementelah pula sabit bertawassul dengan amalan , telah sekata ulama menerimanya tanpa kontra.

Sembahyang Hajat dua rakaat dimalam nisfu sya'ban , selepas maghrib dengan dikhususkan niatnya
sebagai sembahyang nisfu sya'ban , adalah sabit dengan dalil-dalil sahih yang umum dan kaedah-kaedah usul maupun furu dalam perbahasan fiqhiyah mazhab kita Shafie. Dan terdapat kitab ulamak yang telah membincangkannya secara khas.

Qiyamul Lail  selepas tidur selepas sembahyang fardhu isya , juga tidak terhingga banyaknya dalil-dalil yang menggalakkan beramalnya.

Menghubungkan sillaturahim sangat-sangat dituntut, sehingga tidak akan termakbul doa dimalam nisfu sya,ban jika hubungan persaudaraan yang cedra tidak dibaiki. 

Memohon Keampunan dan Sembahyang Tasbih .

Sunday, July 01, 2012

Kuliah Fardu Ain Mingguan oleh Tuan Guru Haji Abd Raof.

Assalamualaikum... Adalah dimaklumkan, al Ustaz Tuan Guru Haji Abd. Raof bin Nurin, insyallah akan mengadakan kuliah fardhu ain setiap lepas sembahyang isya, hari ahad malam isnin setiap minggu - Ilmu Tawhid dan Fekah (Bab sujud sahwi).

Tempat: Rumah Haji Safwan bin Zainal Azmin.

Teks Kitab:
1. Kitab Ringkasan Aqqidah Ahlussunnah wal Jama'ah -Asyairah,Maaturidiyyah.2. Majmu' Laaali... Bab Sujud Sahwi- Karangan Tuan Husien Kedah alBanjari.

Maklumat Lanjut: Sila hubungi Anwar Ukm.

Thursday, June 14, 2012

KELAS KASFUL LITHAM DAN DURRUSTHAMIN BULAN JULAI 2012

Assalamualailkum warahmatullahi wabarakatuh.  Dimaklumkan Kelas Taffaqquh Guru-guru Takmir/ kelas kasful litham untuk bulan Jun akan diadakan pada 15 -7-2012 hari Ahad. Bermula pukul 9.30 pagi hingga 12 tghari. Bertempat di Dewan Kuliah , Pejabat Agama Daerah Tampin , Negeri Sembilan. Kepada mereka yang berkenaan dan berminat sila ambil perhatian. wassalam.

Friday, June 08, 2012

Kuliah Pengajian USJ pada 10 JUN 2012- DIBATALKAN

Assalamualaikum... Adalah dimaklumkan, kelas pengajian USJ oleh Al Fadhil Tuan Guru Haji Abd Raof pada 10 Jun 2012 - DIBATALKAN.. Harap Maklum

Wednesday, June 06, 2012

Maulud Nabi di Madrasah Al Aliyah , Ampangan, Seremban


Assalamualaikum warahmatullah.
Madrasah Al Aliyah, Ampangan Seremban, Negeri Sembilan
akan mengadakan majlis sambutan Maulud Nabi s.a.w
Tarikh : 10 Jun 2012 - Ahad malam Isnin (Bersamaan 20 Rejab 1433H).

Tempat:
Madrasah Al Aliyah , Ampangan , Seremban (belakang stesen minyak Petronas , Jln Seremban – Jelebu)

GPS : 2.728127,101.957835 Google Map : Madrasah Al Aliyah (Anak Panah Hijau)


Ustream : ustream

Aturcara : 

a) Pukul 3-5 Petang (Bacaan Qasidah Burdah dan Nasyid untuk Muslimah Sahaja)
b) 5.15 ptg –Sembahyang Asar berjemaah.
c) 5.30 ptg – Pertunjukan Silat/Pengajian Sifat-sifat Nabi SAW oleh al Fadhil al-Ustaz Tuan Guru  Haji  Abd. Raof  b. Nurin.
d) 7.30 mlm – Solat Maghrib berjemaah 
e) 8 mlm - Bacaan Al Quran/ Kata-kata aluan Mudir Madrasah Aliyah.
f) 8.10 mlm – Bacaan Maulud Daibaie, Madih dan Nasyid  dan Persembahan anak-anak  Madrasah Aliyah dan Pelajar PondokTampin.      
g) 9.15 mlm – Lintas langsung (Melalui Skype) Tazkirah Hadratus Sheikh Aleey At-Tohiri, Barking, London
h) 10 mlm – Solat Isya berjemaah
i) 10.15 mlm – Jamuan Makan Malam




Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.


 

 

Sunday, June 03, 2012

Kepentingan Kitab-kitab jawi/melayu jadi rujukan fatwa


 DISEDIAKAN OLEH YANG BERBAHAGIA AL USTAZ AL-SHEIKH  HAJI ABD. RAOf  BIN NURIN MUDIR PONDOK TAMPIN

Sebagai seorang yang melalui proses pelajaran Agama sistem pondok, tentu akan benar-benar terasa betapa penting dan perlunya kitab-kitab versi tulisan jawi/melayu diketengahkan dalam masyarakat.
Pada pendapat saya , mungkin beberapa sebab  yang akan saya kemukakan nanti mungkin dapat menterjemahkan maksud "Kepentingan Kitab-kitab jawil/melayu sebagai rujukan" menjadi lebih jelas walaupun ia hanya pendapat peribadi saya.

1. Proses awal seseorang penuntut ilmu dipondok untuk menguasai pelajaran agama yang membawa kepada pencapaian ilmu tahap tertinggi, adalah sangat perlu menguasai ilmu Nahu dan Sharaf. Uslub atau gaya penulisan kitab-kitab melayu lama masih tetap terikut-ikut  gaya cara susunan Nahu Sharaf yang asal walaupun setelah diterjemahkan ke bahasa melayu. Bukan setakat ilmu nahu dan sharaf sahaja , malah uslub-uslub ilmu alat (bahasa arab tinggi) juga telah diterapkan oleh para ulamak melayu terdahulu dalam setiap penulisan mereka.

Oleh yang demikian, belajar kitab-kitab melayu klasik akan dapat membantu  para penuntut ilmu nahu dan ilmu-ilmu alat untuk lebih cepat memahirkan metod nahu dan ilmu-ilmu alat . Sejauhmana kemahiran memahami teks-teks  arab akan bergantung pula kepada sejauhmana pula kemahiran mempraktikkan uslub-uslub bahasa seseorang pelajar atau pengajar.

2.  Telah maklum bahwa penulisan kitab-kitab melayu klasik hanya dapat dikesan telah bermula  semenjak 300 tahun dahulu lagi atau mungkin lebih awal darinya.   Dalam jarak jangkamasa yang begitu lama para cendiakawan melayu telah menguasai perbincangan-perbincangan ilmiah samada disudut ilmu tawhidnya , fikahnya dan shufinya, sudah tentu setiap  fatwa yang telah diputuskan didalam teks kitab-kitab melayu begitu matang dan menepati citarasa bangsa melayu ditanah melayu khasnya dan dinusantara amnya dan telah diresapi dan dipraktikkan  dengan berjaya.

Oleh yang demikian, sudah tentu akan ada terdapatnya perkara-perkara halus yang akan dijumpai dalam kitab-kitab melayu klasik  yang tidak ada perbincangannya secara spesifik dalam kitab-kitab arab, terutamanya berkenaan fatwa-fatwa fikah semasa. Wallahu a'lam.  Contohmya masalah keharaman memakan binatang yang dinamakan tenggiling , tupai dan biawak pasir.

3. Kitab-kitab agama berbahasa arab adalah rujukan utama dalam  fatwa, tetapi jangan lupa kepada naskhah-naskhah kitab agama yang telah disusun para ulamak Islam dalam setiap bahasa ibunda masing-masing yang tidak pernah diterjemahkan kedalam bahasa arab, padahal disudut maklumat dan nilai-nilai ilmiahnya  sangat bermutu tinggi. Lihat sahaja kitab-kitab warisan dari  cendiakawan dibenua India maupun Parsi dan Afrika yang masih dalam bahasa bangsa masing-masing. Dengar khabarnya sehingga ada kitab-kitab arab yang diterjemahkan ke bahasa Perancis dan English, terdapat perbahasannya yang halus-halus yang masih dijadikan bahan rujukan penuntut-penuntut doktorah di pusat pengajian tinggi.

Begitulah halnya dengan naskhah-naskhah kitab-kitab jawi/melayu yang masih kekal dihati-hati anak bangsa melayu, masih perlu dimartabatkan sebagai rujukan fatwa-fatwa yang tidak boleh dikesampingkan sebab  kadang-kadang ada masalah-masalah hukum atau lebih halus dan teliti dibincangkan didalamnya yang tidak pernah dijumpai masalah tersebut dalam kitab-kitab berbahasa arab.  Contohnya masalah terjemahan lafaz  "usholli" sebelum bertakbiratul ihram diterjemahkan "Sahaja aku sembahyang"   dan terjemahan kalimat "Qidam" yang diterjemahkan "Sediakala"  dalam bahasa melayu. Maka perbahasan dua perkataan tersebut tidak terdapat dalam kitab-kitab arab walaupun disudut rujukannya memanglah ada.

4. Dalam kontek berfatwa, seseorang mufti atau ulamak yang ditanya hukum-hukum , mestilah memfatwakan dengan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh mazhab sebagai muktamad. Sebagai contoh didalam bidang fikah, Kitab Tuhfah dan Nihayah adalah rujukan utama dalam memilih hukum-hukum yang muktamad disamping kitab-kitab lain juga dijadikan rujukan.

Maka , kitab-kitab melayu klasik dalam bidang fikah, sebenarnya adalah himpunan fatwa-fatwa yang telah dimuktamadkan oleh para ulamak fikah Mazhab Shafie misalnya kitab Mathlaul Badrin  wa majma'ul bahrin. Walaupun didalamnya  kebiasaannya , pengarang kitab-kitab melayu tidak mencatitkan dalil-dalil terperinci, tetapi dapat dipastikan dengan senang hati bahawa isi kandungan hukum-hukum yang tercatit adalah benar-benar isi kandungan fatwa mazhab Shafie  yang dapat dijadikan amalan masyarakat Islam seNusantara yang sudah sekian lama berpaksi. Jika begitu keadaanya, maka dapat dikatakan ; Kitab-kitab jawi/melayu adalah ringkasan atau terjemahan kepada fatwa-fatwa yang menjadi peganggan umat Islam Melayu yang sepatutnya diwarisi secara serius dan didaulatkan dihati umat dan dinegara tercinta.

Friday, June 01, 2012

CERAMAH ISRA DAN MIKRAJ


Assalamualaikum Warahmatullah..
Dimaklumkan bahawa Al Fadhil Al Ustaz Haji Abd Raof bin Nurin Al Bahanji, adalah dijemput memberi ceramah/kuliah/baca kitab :
Tajuk   : Isra' dan Mi'raj
Tarikh   : 23 Jun 2012 (Sabtu Malam Ahad) bersamaan 03 Syaabaan 1433
Tempat   : Surau Abd Rahman Auf, No. 2, Jalan P11 B/1,
Presint 11, Putrajaya
Masa   : Selepas Sembahyang Maghrib
GPS  : 2.958727,101.675506
Google Map  :  peta


Semua Muslimin dan Muslimat adalah dijemput hadir!
* Kepada mereka yang tidak tahu lokasi surau, sila hubungi saudara anwar ukm

Friday, May 25, 2012

DAURAH KITAB MUNYATUL MUSHOLLI/TAFAQQUH PERDANA

TAFAQQUH PERDANA
Anjuran Pejabat Agama Daerah Tampin.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Dimaklumkan bahawa ,

Pengajian kitab Munyatul Musholli (daurah- bacaan kitab dari kulit ke kulit).
Tarikh: 26 mei 2012.
Bertempat di Dewan kuliah P.A.I.D Tampin.
Masa: 8 PAGI- 5 PETANG.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan sila hubungi :

PEJABAT AGAMA DAERAH TAMPIN .
TEL: 06-4421304/06-4421309 u/p Unit Pengurusan Masjid dan Surau.

Bacaan dan huraiannya akan disampaikan oleh al Ustaz Haji Abd. Raof bin Nurin dari Pondok Tampin, Tampin, Negeri sembilan. Insyallah.

Kitab Munyatul Musholli telah dikarang oleh Al Allamah Al Sheikh Daud bin Abdullah al Fathoni pada 15 zulhijjah tahun 1242 h.

Wednesday, May 16, 2012

Al Sheikh al Allamah Arshad al Banjari- Sabilul Muhtadin




Ialah kitab yang mempunyai kelebihan yang nyata dan kebaktian yang limpah lagi rata yang tiada dapat diadu-adukan kemuliannya dan ketinggiannya dan tiada boleh dikira-kirakan kebjikan dan kebudiannya. Ialah Kiyai yang mempunyai bijaksana dan kepintaran yang amat sempurna. Ialah yang mempunyai taqwa dan amal soleh yang berkekalan kelebihannya itu seperti barang yang engkau ketahui sangat masyhur. Adakah diingkarkan matahari yang pada ketika rembangnya yang bersangatan zhuhurnya . Memadalah akan dikau bahwa engkau lihat  kan kitabnya ini dan engkau ketahuikan bicaranya . Nescaya engkau dapatkan laut ilmunya yang indah-indah mutiaranya . Dan langit makrifat yang berhiasan dengan segala matahari dan bulan dan bintangnya. Maka cuacalah kelam segala masalah yang payah dengan cahaya dan cermerlangnya. Betapa?. padahal Tuhfah dan Nihayah didalam kandungannya , demikian Mughni dan Irsyad dan lainnya . Maka seyogialah bagi tiap-tiap yang mempunyai ketinggian himmah dan gemar hendak mengetahuikan segala rahsia ilmu fiqah yang lepas dengan dia daripada sesat dan samar , bahawa bersegeralah mendapati akan  ini kitab yang Nafis yang termegahlah dengan dia pada bahasa Melayu, Mazhab Imam Muhammad bin Idris telah mudahlah sekarang ini Bihamdillah mendapati dia kemudian daripadalah ia sangat payah dan mahal harganya atas segala yang menuntuti dia. 

Saturday, May 12, 2012

IBNU JAWZI BUKAN IBNU QAYYIM al-JAWZIYYAH?



 Tidak terduga , saya dapat juga memiliki sebuah kitab bertajuk "masyiikhah ibni jawzi" , yang menghimpunkan dan mengulas halatuju setiap karangan Imam Abil Faraj Abd.Rahman bin Ali  bin Muhammad bin al Jawzi- Ibnu Jawzi, wafat pada tahun  597 hijrah bersamaan 1200 masihi.
Ibnu Jawzi bukan Ibnu Qayyim al Jawziyyah.
Ulasan-ulasan yang sangat amanah , ilmiah dan adil telah diberikan terhadap kitab-kitab karangan Ibnu Jawzi seperti kitab al Maudhuat- Himpunan hadis-hadis Maudhu" menurut penilaian Ibnu Jawzi,  Kitab Talbis Iblis - Kitab yang mengandungi kritikan terhadap setiap aliran mazhab amalan dan pemikiran  dalam Islam terutamanya aliran Tasawuf dan Shufi, Kitab Shifwah al Shofwah dan lain-lain karangan beliau pada hakikatnya yang telah menunjjukan kecenderungan beliau mengikuti dan mencontohi  Tokoh sebelumnya  dalam menilai setiap aliran.  

Seringkali terdengar didalam syarahan atau terbaca dalam buku-buku atau majallah , nama Ibnu Jawzi telah dijadikan sandaran dan hujjah menolak fahaman menyelewang dari kebenaran dengan berdasarkan  dua karangan termasyhur beliau, - al Maudhuat dan Talbis Iblis.   Sehingga terasa benar-benar didalam benak saya untuk mencari maklumat lebih jelas siapakah pribadi Ibnu Jawzi tersebut, sebab selain dua buah karangan beliau itu, beliau juga mempunyai karangan-karangan yang menyokong dan mempertahankan setiap aliran mazhab yang di Naqad (komen) beliau dalam Kitab Talbis Iblis . Contohnya beliau telah mengarang Kitab Maulud Nabi bertajuk Mawahibus Shomad- menunjjukan beliau seorang Shufi,  juga beliau karangankan kitab Shifah al Shofwah - biodata ahli Tasawuf dan Shufi,  juga beliau karangankan Al Raddu a'la Qhodi  Yo`la- masalah akidah Mujassimah, dan dalam kitab ini menunjjukan beliau berfahaman Asyairah dalam bidang akidah. 

Tarikh wafat beliau juga jelas menunjjukan peribadi ini bukan Ibnu Qayyim  yang tidak kurang masyhurnya juga dalam penulisan.


Persoalannya:
Mengapa Imam Ibnu Jawzi dalam karangan-karangan beliau nampaknya saling berlawanan halatujunya?


Mungkinkah Talbis Iblis yang sangat berkesan mengkritik para ulamak terkemuka adalah bukan penulisan Imam Ibnu jawzi?.


Apa pandangan para ulamak hadis terhadap kitab al Maudhuat beliau atau karangan beliau berkenaan hadis dan perawiyat hadis?.


Kenapa karangan beliau berkaitan wa'azdh dan tasawuf tidak segagah masyhurnya Talbis Iblis dan al Maudhu'at ? . Sehingga tidak dijumpai terjemahannya dikedai-kedai  buku?.


Qoute:

- Kitab Talbis Iblis beliau - menghentam setiap aliran yang seleweng dari kebenaran bukan bererti semua aliran dalam islam itu menyeleweng. maka talbis iblis juga masih mempunyai kesamaran yang perlu ditapis dan disemak kesahihan ibaratnya dan maksudnya. 
- kitab al Maudhua't beliau yang tasahul (bermudah-mudah) menghukum maudhu hadis-hadisnya , telah dijawab oleh para ulamak bahawa ibnu jawzi bermudah-mudah memawdhu'kan hadis-hadis , maka atas sebab sikapnya itu semua hadis2 yg telah dimawdu'kan olehnya telah disemak semula oleh tokoh2 hadis selepasnya. didapati banyak hadisnya yang tidak maudhu'.  
bersambung insyallah... doa2kan saya...




Wednesday, May 09, 2012

Kelas Pengajian Bulanan Kitab Kasful Litham untuk bulan Mei .

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dimaklumkan:
Kelas Pengajian Kitab Kasful Litham Kitab Kasful Litham untuk bulan Mei/ bulan 5 - 2012 akan adakan pada 20-5- 2012 . Hari ahad hujung mingguhadapan , di dewan kuliah pejabat agama daerah Tampin.Waktu bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengahhari. Kepada mereka yang berkenaan dan yang berminat sila ambil perhatian.

Monday, April 30, 2012

Majlis Mahabbah dan Selawat Junjungan Nabi SAW di Pondok Tampin, Tampin, Negeri Sembilan



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Adalah dimaklumkan Pondok Tampin akan mengadakan Majlis Maulud Nabi S.A.W bagi tahun 1433H, pada 5 hb Mei 2012 ( bersamaan 13 Jamadil Akhir 1433 ) iaitu pada Hari sabtu dari pukul 3 Petang hingga 11 Malam. Acara kemuncaknya adalah selepas maghrib.. 

Tentatif Aturcara :Pukul 3 - 4.30 Petang : Senaman Tua
Selepas Solat Asar : Minum Petang dan Persembahan Kanak-Kanak dari Madrasah Aliyah
Selepas Solat Maghrib (Acara Kemuncak) : Daibaie, Dhiyaul Laamie, Selawat dan Nasihat
Pukul 10.30 : Jamuan dan Bersurai

Nama - Nama para Ustaz yang akan memberi Nasihat dan Tazkirah :   
1) Al Fadhil Ustaz Ilyasa bin Berhan - Pegawai Agama Islam Daerah Tampin
2) Al Fadhil Ustaz Syukur - Guru Sekolah Menengah Istana Raja, KOta, Rembau, Negeri Sembilan
3) Al Fadhil Ustaz Anwar Helmi - Guru Pondok Labuhan Dagang, Banting, Selangor
4) Al Fadhil Ustaz Shamsuri bin Hassan - Guru Pondok Padang Lalang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
5) Al Fadhil Ustaz Khairuddin - Guru Pondok Tuan Guru Hj Ibrahim Bongek, Rembau, Negeri Sembilan
6) Al Fadhil Ustaz Ahmad Naim - Guru Pondok Pasir Tumboh, Kelantan

Semua Muslimin dan Muslimat yang berkelapangan dijemput hadir meraikan Majlis Mahabbah Bi Rasullilah S.A.W

Saturday, April 28, 2012

Program Mahabbah Bi Rasulillah.



 Malam Ihya Mahabbah Rasulullah, Masjid Negeri, Jalan Dato' Hamzah, Seremban, Negeri Sembilan


 Majlis Pemasyhuran Penubuhan Universiti As-Sofa, di kampus Universiti As-Sofa di Dataran Sentral, Seremban, Negeri Sembilan


Saturday, April 14, 2012

Tuhfah al Muhtaj dan Nihayah al Muhtaj sandaran fatwa



Para Ulamak Mazhab Shafie telah menjadikan Kitab Tuhfah al Muhtaj dan Nihayah al Muhtaj sebagai dua kitab rujukan dan sandaran utama dalam berfatwa disebabkan didalam kedua-dua kitab tersebut pengarangnya telah menjadikan Qaul-qaul yang muktamad yang disebut dalam Kitab-kitab karangan Imam an-Nawawi dan ar Rifa’I sebagai pegangan ( iaitu I’timad) fatwa. Asas ini telah menyebabkan Tuhfah dan Nihayah sebagai kitab yang paling utama berbanding kitab-kitab lain.

Dalam kitab Fawaid Makkiyah , karangan al alamah Sayyid Alawi bin Sayyid Ahmad al Saqaf, dicatit sebab keutamaan Tuhfah dan Nihayah: al Allamah al Kurdi berkata:

. تتبعوا كلامهما فوجدوا ما فيهما عمدة المذهب الشافعى رضى الله عنه

( Para Ulamak telah memeriksa kandungan kedua-dua kitab tersebut , mereka mendapai isi kandungan kedua kitab tersebut merupakan UMDAH berfatwa mengikut mazhab Shafie r.anhu.)

Umdah maksudnya teras atau intisari (fatwa Mazhab).

حتى صار من له احاطة بقولهما يقررها من غير ترجيح

Sehinggakan mereka yang menguasai kedua2 pendapat dalam kedua2 kitab itu akan memantapkannya tanpa Tarjih lagi.




Wednesday, April 11, 2012

SHEIKH IBNU HAJAR al Haitami - Sandaran Fatwa.



Nama lengkap beliau adalah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al Haitami, Lahir di Mesir tahun 909 H. dan wafat di Mekkah tahun 974H (I’anatut Tolibin).

Pada waktu kecil beliau diasuh oleh dua orang Sheikh, yaitu Sheikh.Shihabuddin Abul Hamail dan Sheikh Shamsuddin as Syinawi.

Pada usia 14 tahun beliau dipindahkan belajar masuk Jami' Al Azhar.

Pada Universiti Al Azhar beliau belajar kepada Sheikhul Islam Zakariya al Anshari dan lain-lain.
Kitab.kitab karangan beliau banyak sekali, diantaranya:

1. Kitab Tuhfatul Muhtaj al Syarhil Minhaj (10 jilid besar), sebuah kitab fiqih dalam Madzhab Syafi'i yang sampai saat ini dipakai dalam sekolah-sekolah Tinggi Islam di seluruh dunia, khususnya di Indonesia.

Kitab ini setaraf dengan kitab Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj (8 jilid besar) karangan Imam Ramli (wafat 1004 H).

Kedua dua kitab ini adalah tiang tengah dari Madzhab Syafi'i, tempat kembali bagi Ulama-ulama Syafi'iyah dalam masalah-masalah agama di Indonesia pada waktu ini.


2. Kitab fiqih Fathul Jawad.
3. Kitab fiqih al Imdad
4. Kitab fiqih al Fatawa al Kubro.
5. Kitab fiqih al Iea'ab syarah U'bab.
6. Kitab Fatawa al Haditsiyah.
7. Kitab Az Zawajir, Figtirafil Kabaair.
8. kitab As Syawa'iqul Muhriqah Firradi al az Zindiqah.
9. Kitab Fathul Mubin syarah Matan Hadis Arba'in Imam Nawawi.

10. Kitab Ushul Fiqah.

11.Dan berbagai-bagai lagi.


Perlu diperingatkan kepada pembaca bahwa dalam lingkungan Ulama-ulama Syafi'iyah, terkenal dua orang Ibnu Hajar, yaitu :
1. Ibnu Hajar al 'Asqalani (wafat 852 H.) pengarang kitab Fathul Bari a'l Syarhil Bukhari dan kitab hadits Bulugul Maram dll.
2. Ibnu Hajar al Haitami (wafat 974H.), pengarang kitab Tuhfah yang kita bicarakan sekarang ini.
Tetapi yang sangat terkemuka di bidang fikih di antara dua orang Ulama Ibnu Hajar ini, adalah Ibnu Hajar al Haitami karena Ibnu Hajar al 'Asqalani lebih banyak kesibukannya dalam ilmu hadits daripada ilmu fiqih.


Sumber:

1.Sejarah dan Keagungan Madzab Syafi'i, karangan KH. Sirajuddin Abbas.

2. al Shawaiq al Muhriqah.. mukaddimah riwayat hidup Sheikh Ibnu Hajar al Haitami.

3.Mukaddimah Kitab Fatawa al Kubro.

Wednesday, March 28, 2012

Gharib Khasful Litham 13

Soal: Seseorang musafir, ada 2 jalan untuk pulang kerumahnya . Pertama, ikut jalan dekat yang tidak sampai had 90 km atau ikut jalan jauh yang lebih 100 km. Adakah boleh dia mengikut jalan jauh untuk mendapatkan sembahyang jamak/qasar semata-mata tanpa ada tujuan lain?.


Jawab: Tidak boleh dia sembahyang jamak/qasar . Dia mesti sembahyang tamam. Wallahu A'lam.

Soal: Kalau dia memilih jalan jauh , selain bertujuan untuk membolehkan sembahyang jamak/qashar, dia juga akan singgah menziarahi saudaranya yang sakit, membeli-belah barangan keperluan harian dan melihat panorama keindahan alam dikawasan pergunungan sambil berhenti ditepi pantai berkelah, adakah boleh beliau jamak/qasar sembahyang?.

Jawab: Boleh, harus beliau jamak/qashar.

Nasnya: Kitab kasful Litham , mukasurat 47, juzuk 1.




( Masalah) Seorang musafir, ada baginya 2 jalan . Satu padanya singkat lagi mudah dan satu daripadanya jauh . Maka ia berjalan dengan jalan yang jauh , tiada suatu gharadh (tujuan), nescaya haram atasnya kerana mempenatkan dirinya dan binatangnya dan tiada dimudahkan qashar dan lain atasnya.


Soal: Selain nas Kasful Litham ini, adakah nas-nas kitab lain yang lebih jelas membolehkan jamak/qasar jika memilih jalan jauh dengan sebab ada tujuan-tujuan lain seperti dalam soalan?.

Jawab : Ada. Kitab al Mahalli , Komentar Matan al Minhaj Imam Nawawi r.anhu. Mukasurat 260 juzuk 1.






Saturday, March 24, 2012

Lapangan Tawaf akan ada platform?



Akhbar bertarikh: friday 2 march 2012. 9 rabiulakhir 1433.

Makkah al Mukarramah.





Nikmat ibadat memang sepatutnya disyukuri melebihi nikmat-nikmat yang lain. Gandaan pahala dan nilai ibadat yang dilakukan diTanah Suci yang beribu-ribu kali itu nampaknya dihayatii sepenuh-penuhnya oleh para tetamu Baitullahil haram.



Kiyahi Ahmad Jamhuri Jaharis Nuruddin al Banjari. Baki ulamak tua diMakkah.




Pembangunan pesat.

Friday, March 16, 2012

Tuan Guru Haji Abd. Raof bin Nurin menunaikan umrah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Dimaklumkan bahawa al Ustaz Tuan Guru Haji Abd. Raof bin Nurin, insyaAllah akan berangkat ke Madinah Al-Munawwarah dan Mekah Al-Mukarammah untuk menunaikan Ibadah Umrah.

Hari Berlepas : Sabtu bersamaan 03 March 2012 (Bersamaan 10 Rabiulakhir)
Penerbangan : Saudi Airlines
Tempat Pelepasan : KLIA Airport
Masa berlepas : 3 Petang
Masa Check-In : 1 Petang
Tarikh Berangkat Pulang: 17 March 2012.
Masa ketibaan : 1 Petang

Bersama-sama kita mendoakan semoga Tuan Guru diberi kekuatan mengerjakan amalan di sana, semoga perjalanan Tuan Guru di berkati Allah dan dapat menunaikan ibadat Umrah yang Mabrur , bertambah kesihatan, selamat pergi dan pulang dengan selamat.

Aamin yaa rabbal alamin

Thursday, March 08, 2012

Tuan Guru Al-Sheikh Professor Doktor Haji Muhibuddin al-Waliyy al-Khalidi, Ulama Aceh telah kembali kerahmatullah



Innalillahi wainna ilaihi roojiunn...

Tuan Guru Al-Sheikh Professor Doktor Haji Muhibuddin al-Waliyy al-Khalidi, Ulama Aceh (dalam usia lingkungan 80 tahun) telah kembali menemui Illahi semalam (07 Mac 2012) pukul 10.50 malam waktu Malaysia.
Beliau merupakan anak lelaki kepada ulama terkenal iaitu Sheikh Muda Waliy al-Khalidi (Ulama besar Minangkabau). Beliau menuntut ilmu dengan al Marhum Ayahanda beliau (Sheikh Muda Waliy al-Khalidi) yang sangat mahir dalam pelbagai cabang ilmu,khasnya ilmu alat.

Beliau mendapat pendidikan awal di Pesantren Darussalam Labuhan Haji Aceh Selatan. Kemudian, pada tahun 1964 beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar,Mesir lalu meraih Doktorah (PhD) dalam bidang Usul Fiqah. Dari pengakuan, beliau mempelajari kitab al Hikam (karangan Ibnu Ataillah as-Sakandari) dari al Marhum Ayahanda beliau.

Beliau merupakan pemimpin kepada Zawiyah Darussalam Labuhan Haji Aceh Selatan.

Beliau juga masyhur dengan Karya Ilmiah beliau iaitu buku Mutiara Hikmah Tauhid, komentar Matan Al Hikam - Cetakan Pustaka Nasional yang telah tersebar seluruh Nusantara.


Beliau merupakan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jama'ah, bermazhab Shaafie yang mantap displin ilmunya lagi Ahli Tarekat Shufi.

Jasa-jasa beliau menaburkan ilmu dan mendidik anak-anak bangsa sangat bermakna. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan permata mutiara yang tiada tukar gantinya . Semuga murid-murid beliau menyambung perjuangan beliau dan jariyah ilmu-ilmu beliau. Semuga Allah maafkan dan ampunkan dan rahmati beliau. Semuga di Masukkan beliau kedalam syurga yang tertinggi bersama Para Nabi , Syuhada dan awliya dan soolihin.

Semasa hayat beliau masih sihat, al Ustaz sangat senang hati dan bahagia dengan al Marhum disebabkan sikap keterbukaan al Marhum terhadap Ilmu Tarekat Shufi, sedangkan beliau pada kedudukan Ulamaknya, adalah rujukan masyarakat khasnya di Aceh, juga amnya di Nusantara.

Ketika dan saat ini, al Ustaz Tuan Guru Haji Abd. Raof bin Nurin berdoa dihadapan Ka'bah, mudah-mudahan ALLAH SWT menganugerahkan lagi kepada anak bangsa nusantara ini, ulamak terbaik yg semacam al marhum. Sebab dimasa kini, mereka yang sifatnya begitu sedikit sangat bilangannya.

Amin Ya Robbal Ka'bah, Wa Ya Robbal Izzah. Al - Fatihah

Saturday, March 03, 2012

Orang Yang Sesal DiDunia?


Dari Kitab Alamat Kiamat muka surat 87-88 juzuk 1:

Yang keempat daripadanya: Dikata orang bagi Ibrahim bin Utbah-

أى الناس أطوال ندما قال أما فى عاجل الدنيا فصانع المعروف الى من لا يشكر ه وأما عند الموت فعالم مفرط

Bermaknanya: Siapakah manusia yang terlebih panjang menyesal didalam negeri akhirat kelak?.

Berkata Ibrahim : Adapun orang yang pada dunia yang segera binasa maka ialah orangyang membuat makruf kepada orang yang tidak syukur ia akandia, seumpama segala murid yang tidak syukur ia kepada gurunya yang mengajar ia akandia akan beberapa ilmu pengetahuan didalam beberapa masa . Maka apabila ia mendapat ilmu maka tiada ia ingat dan kenal akan gurunya. Maka inilah setengah daripada alamat kiamat yang pertengahan yang sedang berlaku daripada murid-murid yang kenal ia akan gurunya pada waktu mengaji jua. Maka apabila aia berhenti ia tidak kenal akan gurunya yang mengajar akandia kerana inilah Alim Ulamak dizaman sekarang ini tidak berkat ilmu dengan sebab gurunya berasa hati marah kepadanya . Oleh kerana inilah ia tidak dapat mengajarkan ilmunya kerana segala penuntut tidak suka mengaji kepadanya oleh sebab ketiadaan berkat kerana ada berasa hati kepadanya oleh gurunya .

Seperti berkata guru hamba yang masyhur masyhur " Adapun yang menyesal pada waktu matinya ialah Alim ulamak yang Taqshir pada dirinya sebab tiada beramal dengan ilmu pengetahuannya dan segan mengajar akan Kaumnya dengan ilmu maka menyesalnya pada waktu matinya apabila ia melihat akan kelebihan beramal dengan ilmu pengetahuan dan akan tinggi pangkatnya diakhirat kelak dan nampak lah kehinaanya sebab tidak beramal dengan ilmu pengetahuan yang menyampaikan kepada pangkat ketinggian bagi Alim Ulamak disisi Allah taala.

Maka
menyesal lah ia yang berkepanjangan sesalnya. Sebagaimana orangyang berpangkat tinggi pada raja dunia , apabila ia jatuh pangkatnya dengan sebab tiada betul khidmatnya , maka menyesal dan malulah ia berkepanjangan.

Friday, March 02, 2012

Datuk kepada Safwan bin Zainal Azmin kembali kerahmat Allah.

Assalamualaikum. Dimaklumkan , dukacitanya, datuk kepada saudara Safwan bin Zainal Azmin telah kembali kerahmat Allah pada subuh pagi tadi (2 march 2112, Jumaat) , semasa azan dikumandangkan dan sempat mengucap 2 kalimah syahadah..almarhum mengidap strok dan jantung. Semuga Allah masukkan beliau didalam hambanya yang soleh disyurga Jannatu A'dn.. Amin.

Wednesday, February 29, 2012

Yang membinasakan ilmu ialah LUPA.


Maka saya cedukkan sedikit isi kitab alamat kiamat karangan al Marhum Tuan Guru Sheikh Osman Jalaluddin Pondok Penanti . Pada Saya Sangat menarik buat nasihat dan ingatan kepada mereka yang berilmu dikalangan anak bangsa kita. Sangat menarik.

----------------------------------------------NASNYA penggal pertama muka surat 86-89:


Yang ketiga daripadanya: Riwayat daripada Saidina Ali akan hadis yang Marfu'
:(آفة العلم النسيان ) bermula yang membinasakan ilmu pengetahuan itu iaitu LUPA ,

dengan sebab segan mengajar . Telah berwasiat kepada hamba oleh beberapa Guru yang Masyhur pada ilmu pengetahun bahwa menyuruh ia akan hamba mengambil berat pada mengajarkan ilmu pengetahuan kerana tujuan bagi menghasilkan empat perkara yang amat dituntut akannya.

1. Ilmu pengetahuan yang ada pada kita tiada menjadi LUPA .
2. Bertambah-tambah tinggi ilmu pengetahuan yang ada pada kita.
3. Menjadi maju kaum kita pada jalan ilmu.
4. Jadi masuk dalam jumlah alim ulamak yang dapat kebahagiaan yang tinggi diNegeri Akhirat kelak.

Maka mana-mana Alim Ulamak yang SEGAN mengajar pada waktu masih mudanya , maka apabila tuanya habislah lupa segala pelajarannya, istimewa pula kitab-kitab ARAB yang tinggi , kerana ibaratnya payah dan segala kalimah pun payah maknanya. Sebagaimana yang telah jatuh pada alim ulamak yang tua-tua yang meninggalkan mengajarnya . Kerana hamba sendiri minta mengaji pada alim ulamak yang lama tinggal mengajar , maka ia pun menjawab "Tiada aku kuasa mengajar kerana sudah lama tinggal. barangkali aku lupa makna-makna dan bahasan-bahasan yang payah hendaklah engkau mengaji kepada orang muda-mudanya".

Thursday, February 23, 2012

Gharib Khasful Litham 12

Soal:Seorang makmum yang muwafiq, mula masuk takbir ketika imam mula bangun ke rakaat ketiga imam sembahyang zohor. Apabila imam duduk tahiyyat akhirnya ,setelah selesai bacaannya lalu memberi salam, bolehkah lagi makmum tersebut menghabiskan bacaan doa makmum dengan panjang lebar kemudian baru lah bangun untuk meyempurnakan 2 rakaat lagi sembahyangnya itu?.


Jawab:Boleh , samada ia muwafiq atau masbuq yang selaras tempat tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam, iaitu harus serta makruh buat begitu tetapi makmum itu tidak akan mendapat pahala berjemaah.

Sebaiknya (sunat) apabila selesai sahaja imam memberi salam kedua, makmun tersebut hendaklah bangun terus selesaikan rakaatnya. Jangan lagi ia habiskan bacaan-bacaannya.


Soal: Bagaimana pula kalau makmum samaada muwafiq atau masbuq tidak selaras tempat duduk tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam, adakah boleh mereka meneruskan bacaan doa mereka dengan khusyuknya , sedangkan imam telah lama memberi salam ?.


Jawab: Tidak boleh lagi mereka (makmum tersebut) memanjangkan doa-doa dan bacaan mereka. Wajib mereka cepat bangun dan meneruskan sembahyang mereka. Jika mereka teruskan juga berdoa dan meneruskan bacaan mereka tanpa niat mufarakah maka batal sembahyang mereka (makmum tersebut).


Soal : Apa maksud tidak selaras tempat duduk tahiyyatnya dengan tempat tahiyyat imam?.

Jawab:
Contohnya: Makmum mula takbir, imam sudah dirakaat keempat pada sembahyang zohor . Apabila imam duduk tahiyyat akhirnya kemudian imam memberi salamnya, makmum wajib bangun meneruskan rakaatnya, tidak boleh lagi duduk , sebab tidak selaras kedudukan duduk imam dengan makmum. Sebab imam duduk untuk tahiyyat akhirnya, sedangkan makmum duduk pada rakaat pertamanya. Duduk tahiyyat tidak ada pada rakaat pertama. Duduk tahiyyat hanya untuk rakaat kedua dan diakhir sembahyang. Dalam contoh ini , makmum hanya duduk , disebabkan wajib mengikut perbuatan imam saja. Bukan duduk disebabkan tempat tahiyyat makmum. Oleh yang demikian , dikatakan "tidak selaras tempat duduk imam dan makmum". Itulah contohnya. Sila fahamkan sebaik mungkin. Wallahu a'lam.

Nasnya: Kitab Kasful Litham juzuk 1 mukasurat 31.



Ertinya: (masalah) Orang yang muwafiq harus ia masyghulkan membaca doa dan umpamanya kemudian daripada salam imamnya. Dan adapun jika ada makmum itu masbuq maka jika tempat tasyahhud awalnya seperti dapat dua rakaat serta imamnya maka demikian jua, serta makruh memanjangkandia. Dan jika bukan tempat tasyahhud maka wajib berdiri dengan bersegra kemudian daripada salam imamnya akan sebagai salam yang keduanya. Maka jika duduk dengan seghajanya lagi ia ketahui akan haramnya , batal sembahyangnya.- intaha Fathhul wahhab.




Monday, February 20, 2012

IMAM SHAFIE MENCELA TASAWUF,SUFI?.




Bila membaca buku
yang beredar, dikalangan pembaca yang gemar mengkaji, kadang-kadang akan terjumpa la artikle yang seperti berikut atau yang lebihkurang sama dengannya .....


----------------------------------------------------

KEDUDUKAN IMAM ASY-SHAFI'I RAHIMAHULLAH DIHADAPAN TASAWUF DAN KAUM SHUFI.

Al-Bahaqi telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Yunus bin 'Abdul A'la , ia berkata : "Aku mendebgar Imam asy-Syafi'i mengatakn : "Seandainya seseorang menjadi shufi sejak permulaan siang , niscaya tidak sampai tengah hari melainkan aku mendapatkannya sebagai orang bodoh . "

Dari ar-Rabi' , ia berkata :"Aku mendengar Imam as-Syafi'i berkata : 'Aku tidak melihat seorang Shufi itu berakal sama sekali kecuali Muslim al-Khawwash".

Ia berkata pula : Pangkal tashawwuf itu ada kemalasan.

Ia mengatakan tentang ciri orang Shufi: " Tidak menjadi shufi seorang shufi sebelum pada dirinya terdapat empat karakteristik; banyak makan, pesimis dan berlebihan diluar keperluan.

Beliau berkata tentang sejumlah perbuatan mereka: " Aku tinggalkan di Irak sesuatu yang diciptakan oleh kaum Zindiq ... yang mereka namakan taghbir , sesuatu yang membuatkan orang meyampingkan quraan....
---------------------------------------------------


dan macam -macam lagi lah contoh artiklenya. dikatakan semua riwayat kata-kata imam shafie itu diambil dari kitab manaqib shafie karangan imam baihaqi dan hilyyatul awliya - imam abu nuim.


Jawabannya:


Nukilan yang tercatit didalam buku-buku atau artikle seperti yang tersebut, sebenarnya adalah tidak lengkap. Sebab penulisnya telah meninggalkan syarahan atau komentar dari al-Imam Baihaqi, pengarang yang bertanggungjawab membawa riwayat kata-kata Imam Shafie itu didalam kitab Manaqib as Shafie itu sendiri. Cuba-cuba lah kita melapangkan dan merehatkan sedikit kesempitan pandangan kepada komen Imam Baihaqi yang sebenarnya lebih faham maksud Imam Shafie, Imam Ikutan beliau.


Ertinya seperti dalam Manaqib al Shafie juga muka surat 207 juzuk 2 tersebut.
Daku berkata:

Hanyasanya yang dimaksudkan oleh Imam Shafie dengan kata-katanya itu;

Sesiapa yang masuk kedalam "Sufiyah" ,

-Hanya memadakan dengan dapat nama (sebagai shufi sahaja) tanpa mengikuti maknanya,
-Dan (mencukupi dengan hanya) mendapat rasmi tanpa mendapat hakikatnya (sebenarnya sebagai shufiah.)
-Duduk sahaja (dengan meninggalkan berusaha (mencari nafkah)
-Dan membebankan belanjanya kepada orang-orang Islam,
-Tidak ambil peduli akan hal-hal (kebajikan) orang-orang Islam lain,
-Tidak memelihara hak-hak orang Islam,
-Tidak sibuk dengan belajar dan mengajar ilmu pengetahuan dan Ibadah,


Sepertimana yang telah beliau (Imam Shafie r.a) sifatkan ditempat yang lain...



Ertinya seperti dalam Manaqib al Shafie juga muka surat 207-208 juzuk 2 tersebut:


Hanyasaya beliau (Imam Shafie) maksudkan dengan celaan itu , mereka yang bersifat dengan sifat ini ( perkara yang disebutkan tadi),



Adapun sesiapa diantara Shufiyah yang suci bersih dari perkara tersebut dengan sebab:

-benar tawakkalnya kepada Allah azza wajalla ,
-beramal dengan adab-adab syariat dalam urusan ibadatnya terhadap Allah dan dalam urusannya dengan manusia dalam pergaulannya ,

maka SESUNGGUHNYA TELAH DIRIWAYATKAN BAHAWASANYA BELIAU BERGAUL DENGAN MEREKA (KAUM SHUFI/TASAWUF) DAN BELIAU MENGAMBIL (IJAZAH/ILMU) DARI MEREKA.


maka diharap tidak terkeliru lagi.

Gharib Khasful Litham 11


Soal: Apa yang mesti dibuat oleh makmum yang sembahyang qodho maghrib berimamkan imam yang sembahyang isya empat rakaat, bila rakaat makmum sudah sempurna 3 rakaat, sedangkan imam meneruskan rakaatnya yang keempat?.

Jawab: Makmum yang sembahyang qodho tersebut wajib berniat mufarakah ( berpisah dari berjemaah dengan imam) dan dia teruskan duduk untuk membaca tahiyyat akhirnya dan salam.


Nasnya:


(Masalah) seorang Qodho maghrib dibelakang imam sembahyang empat rakaat maka manakala tamam rakaat maka wajib ia niat mufaraqah dan tiada harus ia nanti akan imam didalam tahiyyat itu dan jika imam itu duduk istirahat pada rakaat yang ketiga itu sekalipun kerana duduk istirahat bukan seumpama duduk tahiyyah awal.

Friday, February 17, 2012

Kuliah Maulid Nabi di Banting, Selangor

Makluman.. Al Ustaz Tuan Guru Haji Abd Raof Nurin, mudir Pondok Tampin, akan memberi kuliah Maulid Nabi di Surau Assolihin, Banting Selangor, selepas sembahyang maghrib hari ini (17 Feb 2012).

Untuk maklumat lanjut sila call/
email saya (sebelum 4.30 petang).. atau hubungi lan pondok..

Tajuk kuliah : Mabadi (dasar) ilmu tasawuf menurut ulamak muktabar..
Tempat : Surau Assolihin Kg Labohan Dagang, Banting Selangor.
Peta : klik sini
GPS : 2.806613,101.6186

Aturcara Majlis : Solat Maghrib, Ucapan ringkas Pengerusi Majlis, Ceramah (45 Minit), Sesi Soal-Jawab (30 Minit), Solat Isya, Jamuan, Bersurai

Nota : Kepada siapa yang tidak tahu jalan, mohon berkumpul di Masjid KLIA sebelum 6.30 petang. Mari kita meraikan dan meramaikan majlis ini! :)

Tuesday, February 14, 2012

Gharib Khasful Litham 10

Soal: Bolehkan diamalkan sembahyang hajat atau sembahyang Tasbih secara berjemaah seperti yang kebiasaannya diamalkan disurau dan masjid-masjid?.

Jawab: Harus diamalkan secara berjemaah dan dapat pahala sembahyang tersebut. Walaupun pada asasnya sembahyang hajat dan sembahyang Tasbih tidak termasuk kategori sembahyang yang disunatkan berjemaah.


Nasnya: Kasful Litham , mukasurat 40 juzuk pertama:


(Masalah) Tiap-tiap sembahyang sunat yang tiada dituntut berjemaah itu, manakala dikerjakan dia berjemaah , tiada makruh dan tiada khilaful awla , seperti muqtadho kalam Tuhfah Ibnu Hajar.

Monday, February 13, 2012

Bapa Mertua kepada Tuan Guru Ust Haji Abd Raof telah kembali ke rahmatullah

Innalillahi wainna ilaihi roojiunn...

Ust Haji Nazlan bin Ahmad Shah telah meninggal dunia pada hari ini 13 Feb 2012 pada pukul 10 pagi tadi di Hospital Seremban atas sebab komplikasi jantung, paru-paru, darah tinggi dan buah pinggang. Jenazah beliau akan di sembahyangkan di Masjid Kg Sentosa Paroi, Seremban selepas Zohor.

Beliau meninggalkan 4 org isteri, 37 orang anak dan 10 org cucu. Semasa hayat, beliau sangat aktif mengajar dan mengasuh anak-anak tempatan dengan ilmu-ilmu fardhu ain dan asas-asas ibadat. Semoga jasa-jasa beliau semuanya dibalas Allah SWT dengan Syurga Firdaus.

Semoga Allah SWT memaafkan dan mengampunkan dan merahmati beliau. Semoga di masukkan beliau kedalam syurga yang tertinggi bersama Para Nabi , Syuhada dan Awliya dan Soolihin. Amin
Al-Fatihah

Saturday, February 11, 2012

Gharib Khasful Litham 9

Soal:Seseorang yang hendak memulakan safar, sedangkan waktu sembahyang telah masuk adakah boleh beliau menjamak dan qasarkan sembahyang dipertengahan perjalannya?.

Jawab: Tidak terdapat nukilan dalam kitab Kasful Litaham mengatakan samaada Boleh atau Tidak. Begitu juga dalam kebanyakan kitab-kitab fikah melayu , tidak terang berkenaan soalan ini.


Hanya dijumpai dalam Nas kitab al Majmuk bagi imam Nawawi yang telah dengan begitu jelas sekali menaskan jawapan masalah ini. Ada dua qaul Dalam majmuk juzuk 4 muka surat 368-369 .

Nasnya:

Ertinya: Apabila musafir seseorang pada pertengahan waktu, walhal waktu telah masuk dan membolehkan dikerjakan sembahyang didalam waktunya, telah menashkan oleh Imam Shafie : Bahwa harus baginya mengasarkan sembahyang. ...



Wednesday, February 08, 2012

Gharib Khasful Litham 8

Soal: Makmum Sunat sujud sajdah pada rak'at kedua subuh jumaat, bila menyelesaikan rakaatnya?.


Jawab: Seseorang makmum , masuk berjemaah pada rakaat kedua imam , diharuskan membaca ayat sejadah pada rakaat kedua makmum tersebut, selepas salam imam, dan disunatkan pula sujud sajdah .


Nasnya: (Masalah) Jika seorang mengikut imam pada rakaat yang kedua pada sembahyang subuh , maka kemudian daripada salam imam, ia bangkit hendak metamamkan serakaat lagi maka HARUS ia baca الم تنزيل dan jika ia qasad hendak sujud sekalipun dan harus ia sujud.
- Kasful Litham muka surat 44 juzuk 1.

Soalan penjelasan : Bagaimana pula jika seseorang makmum yang telah sujud sejadah pada rakaat pertamanya kerana telah berjemaah dengan imam yang membaca ayat sejadah pada rakaat kedua imam, kemudian makmum sujud mengikut imam, adakah boleh makmum tersebut ketika bangun untuk selesaikan rakaat keduanya membaca ayat sejadah kemudian sujud pula ?.

Jawab: Harus buat begitu.


Nasnya:

و لو كرر آية فى الصلاة فان كان فى ركعة فكالمجلس الواحد وان كان فى ركعتين سجد للثانية ايضا كالمجلسين
- اامجموع ص 71 ج الرابع


Jika mengulang-ulang didalam sembahyang , maka jika dalam satu rakaat maka seperti majlis yang satu, dan jika dua rakaat ,sujud pula kali kedua untuk bacaan yang kedua, ia seperti dua majlis yang berlainan. - al majmuk mukasurat 71 juzuk 4.

Monday, February 06, 2012

Kelas Pengajian Bulanan Kitab Kasful Litham Febuari.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dimaklumkan:
Kelas Pengajian Kitab Kasful Litham untuk bulan Febuari/ bulan 2 - 2012 akan adakan pada 12 febuari 2012 . Hari ahad hujung minggu ini , di dewan kuliah pejabat agama daerah Tampin. Waktu bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengahhari. Kepada mereka yang berkenaan dan yang berminat sila ambil perhatian.

Monday, January 30, 2012

Tuan Guru Hj Salleh Bin Sheikh Osman Jalaluddin Penanti ( Pak Ngah Leh ) kembali kerahmatullah

Innalillahi wainna ilaihi roojiunn...kembalinya ulamak tak berganti... Allah Allah..

Tuan Guru Haji Salleh bin Sheikh Osman Jalaluddin merupakan Tuan Guru di Madrasah Manabi Ul Ulum, Penanti, Bukit Mertajam (atau lebih dikenali dengan Pondok Penanti),telah kembali menemui Illahi pada hari ini 29 Jan 2012 di Mekah pukul 12.00 tengahari waktu Saudi.

Beliau merupakan anak lelaki kepada ulama terkenal iaitu al Marhum Sheikh Osman Jalaluddin (Pengasas
Madrasah Manabi Ul Ulum, Penanti, Bukit Mertajam iaitu Pondok Penanti , Pengarang Kitab dan Murid Tok Kenali).

Beliau adalah seangkatan (satu batch) dengan al Marhum Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumboh, al Marhum Tuan Guru Syeikh Daud Malau dan al Marhum Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Pondok Lanai Kedah.

Jasa-jasa beliau menaburkan ilmu dan mendidik anak-anak bangsa sangat bermakna. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan permata mutiara yang tiada tukar gantinya . Semuga murid-murid beliau menyambung perjuangan beliau dan jariyah ilmu-ilmu beliau. Semuga Allah maafkan dan ampunkan dan rahmati beliau. Semuga di Masukkan beliau kedalam syurga yang tertinggi bersama Para Nabi , Syuhada dan awliya dan soolihin. Amin.
Al-Fatihah