Showing posts with label Guru Ana. Show all posts
Showing posts with label Guru Ana. Show all posts

Saturday, March 15, 2025

Tuan Guru Baba Rashid Wara'


 Marhum Tuan Guru Rashid Wara' Madrasah Darul Hadia , kampong Carok Keriang , Tluban, Menora  Fathoni Darua Salam.

Beliau , mulloh yang saya masih ingat , detik kali pertama bertemu yang sebelum itu telah mendengar dan mencium betapa harumnya nama yang disebut2 oleh penuntut2 ilmu . Beliau bertanya , kenal ka sheikh daud panji 

( sebab asal s daud malau dari panji kelantan). Saya jawab kenal. Saya pernah duduk majlis kuliah mengajar s daud malau. 

Tuan Guru Baba shid wara' rujukan para guru dizamannya. 

Saya sempat mendapat izin beliau menjadi pelajar dipondok beliau walau sebentar, selama 3 hari. Selepas itu saya meyambung belajar pada murid tua beliau Baba Hasan Leweh di dok rok, kok chan, mayo Fathoni. 

Tiga hari itu yang sangat bermakna buat saya, suatu masa yang tiada nilainya dengan harta benda dunia. 

Saya sempat hadir kuliah beliau menadah kitab hikam, tafsir ibn katsir, kitab fekah fathul wahhab dan hadis bulughul maram. Walaupun sebentar , sangat barakah. Masih ingat fawaid yang baba sampaikan walau dua hampir 40 tahun lalu. 

Mohon ampun pada baba dan minta maaf pada waris2 beliau sebab simpan gambar ni di blogspot , sebagai memori jangan sampai orang kemudian tidak terlintas lagi pada tokoh hebat ini. Pada saya memori ulamak guru2 kita adalah adab. Sekadar sekeping gambar, apalah sangat.  Walaupun pada pegangan beliau gambar juga  dilarang walau sekadar gambar bukan lukisan, termasuk larangan dalam hadis2 nabi. Saya pernah dipertemuan akhir sebelum beliau wafat , mohon untuk bergambar tapi beliau tidak izinkan atas alasan peribadi beliau. 

سلوك الاداب الاولى من امتثال الاوامر

Lagi pula, gmbar ini bukan saya punya, hanya ihsan dari ustaz fathoni juga. Dimana dia dapat saya pun tak tau.

غفر الله له و لي و لوالدينا و لجميع المسلمين .. امين ثم امين . الفاتحة.



Wednesday, July 17, 2024

Catitan bersama guru.

1. suatu ketika saya dengar t.g pak ya bercerita , lepas berhenti mengaji dibunut payung, balik kedah , kitab2 yang sudah mengaji berlemari2 tinggal dikelantan. bila musibah banjir besar tahun 71, tak lama selepas itu t.g balik kebunut payung, tengok kitab2 dhobit beliau habis rosak sebab tenggelam air banjir. juga menurut abang lah anak angkat t.g ceritakan kisah yang sama pada saya, 7 almari kitab rosak. komen tg yang saya dengar sendiri; "abih kitab2 aku mengaji tenggelam bah. dhobit2 hilang, mun tak ka...". iaitu maksud t.g kalau lah kitab2 tu semua masih kekal selamat tak rosak, sangat sangat bernilai pada orang kemudian dengan dhobit2 yang diambil dari para guru yang benar2 mutqin ilmunya pada zaman itu. hanya saya bertambah yakin dan percaya pada khabar ini bila membelek saki baki kitàb2 dhobit t.g yang masih sempat tengok. penuh dhobit2, taliq, taqrir yang beliau catit dari guru beliau. semuga Allah ampun dan terima amal bakti tuan guru. al faatehah.

Sunday, June 25, 2023

Tajribiyyah . Harus akli dan harus syarak.

 Dulu masa ana ngaji tok guru pak ya telok ada Allahyarm cerita masa beliau mengaji dipondok bunut payung kelantan bulan puasa tok guru baca sahih bukhari cara daurah . Baca sardan. Fadhilat baca bukhari jadi penawar dari kebakaran dan kecurian.  Maasyallah...

Wednesday, December 28, 2016

PONDOK TAMPIN

LATAR BELAKANG PUSAT PENGAJIAN PONDOK TAMPIN

Pondok Tampin merupakan pusat pengajian pondok tradisional yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Raof Bin Nurin Hafizahullah. Pondok ini dibuka pada bulan Febuari tahun 1996 bertempat di Jalan Padang Ragut, Tampin Negeri Sembilan.
Pondok Tampin merupakan sebuah pusat ilmu dan tumpuan masyarakat sekitar Tampin dan terdapat juga pelajar yang datang dari daerah dan negeri lain untuk menadah ilmu dengan tuan guru di sini. Pengajian di sini adalah berlandaskan bentuk pengajian tradisional iaitu sistem Talaqqi iaitu menadah kitab dari kulit ke kulit sehingga khatam. Antara kitab-kitab yang diajar di sini adalah kitab-kitab besar arab dan jawi tradisi atau dikenali sebagai kitab turath. Pondok ini juga bukan sahaja mengadakan pengajian dengan masyarakat tempatan bahkan juga mempunyai hubungan dengan ulama-ulama luar.
Antara program yang pernah dijalankan di pondok ini ialah dengan mengadakan pengajian daurah kutubbu sittah iaitu kitab hadis yang 6 buah.
Pada tahun 2011 pada bulan Ramadhan, program daurah pengkhataman kitab Soheh Bukhari dan Sunan Abu Daud yang di mana daurah ini dibimbing oleh dua tokoh ulama dari syria iaitu al-Allamah al-Syeikh Hadi al-Kharsa Hafizahullah dan Syeikh Firas Bin Salu Hafizahullah , kedua-dua ulama ini berasal dari bumi Syria yang diberkati.
Pada Tahun 2012, mengadakan daurah kitab Soheh Muslim dan Sunan Tarmizi di mana antara ulama yang hadir dan membimbing program daurah ini ialah al-Allamah al-Syeikh Dr Sameer Nass Hafizahullah dan Syeikh Firas bin Salu Hafizahullah.
Pada tahun 2014 mengadakan Daurah Hadith bersama Al allamah dr Sheikh sameer an Nass iaitu Sunan ibnu Majah, Sunan Nasaie dan Sunan ad Darimi .
Program terbuka ini telah mendapat sambutan para ilmuan  masyarakat seluruh Malaysia.

Pada tahun 2013 Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengadakan majlis pengajian Akidah dengan Kitab Fiqh Akbar karangan Imam Abu Hanifah dan Kitab Aqidah Tohawiyah karangan Imam Tohawi sebagai teks secara daurah bertempat di Paroi, Negeri Sembilan . Program yang dianjurkan oleh pihak berwajib tersebut mendapat sambutan masyarakat  dan pondoktampin telah membantu  menjayakan program ini dengan tugas menjemput ulama dari Sham iaitu Fadhilatu Sheikh  al-Allamah  Abdul Hadi al-Kharsa Hafizahullah  .

Pondoktampin menjalin hubungan yang erat dengan Pejabat Agama Daerah Tampin apabila Tuan Guru  Ustaz Haji Abdul Raof dijemput mengajar di pejabat agama ini.
Antara kitab yang pernah dibacakan di pejabat agama ini adalah Hidayatus Sibyan, Kasyful Littsam, Munyatul Mussoli dan Penawar Bagi Hati.

Pondok Tampin merupakan pusat ilmu yang banyak memberi jasa dan tarbiyyah kepada semua lapisan masyarakat terutamanya sekitar Negeri Sembilan, cuma  buat masa  ini tiada sebarang pengambilan pelajar di pondok tersebut disebabkan  aktiviti luar.

BIODATA MUDIR PONDOK TAMPIN


Pondok Tampin diasaskan oleh al Syeikh Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Raof Bin Haji Nurin  حفظه الله

 Beliau dilahirkan di Kampung Lebu, Bentong, Pahang Darul Makmur bertarikh 22 jun 1964. Antara pendidikan dan pelajaran beliau ialah bermula di Pondok Madrasah al-Rahmaniah, Kampung Telok, Bukit Pinang, Kepala Batas Alor Setar, Kedah. Di pondok ini beliau menuntut selama dua belas tahun dan berguru kepada Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman. Kemudian beliau menyambung ke Pondok Madrasah al-Ijtimaiyyah, Kampung Dundang, Sungai Jagung Padang Pusing Pendang, Kedah selama tiga tahun di bawah asuhan Tuan Guru Haji Halim Bin Haji Majid. Selepas itu beliau menyambung pengajiannya ke  Pondok Madrasah al-Ijtimaiyyah, Padang Lalang Bukit Mertajam Seberang Perai selama setahun di bawah asuhan Tuan Guru Ustaz Hamzah Bin Tuan Guru Haji Ja'far al-Hafiz dan kemudiannya menyambung pengajiannya di Pondok Madrasah al-Shomadiah al-Barokiah, Kampung To Ruk, Kok Chan, Mayor, Patani, Thailand selama dua tahun di bawah asuhan Tuan Guru Baba Hasan Bin Abdul Lathif. Beliau juga mengikuti program ziarah sambil belajar ke negara-negara Islam seperti di Mekah, Madinah, Syria (Damsyik), Mesir, Hadramaut dan Turki.

Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Raof merupakan seorang yang sangat cenderung pada ilmu agama dari kecil lagi. Beliau telah diasuh dengan pelajaran dan didikan agama semenjak dari pangkuan datuknya. Datuk beliau pernah mengikuti pengajian pondok di Pondok Tok Sheikh Nawawi Langgar, Alor Setar, Kedah selama empat tahun. Selepas menamatkan sekolah peringkat menengah, beliau terus terjun ke bidang tersebut dengan mengikuti pengajian pondok, namun sebelum beliau keluar menuntut ilmu, beliau telah diijazahkan oleh Allahyarham Tuan Haji Long, datuk saudara beliau dengan Tarekat Naqsyabandiyah ketika berusia 16 tahun.

 Pondok pertama yang dimasukinya adalah Pondok Pak Ya (Haji Yahya) Telok Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah di bawah asuhan Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman yang di mana tuan guru ini merupakan bekas penuntut di Pondok Bunut Payong, Kota Bhru, Kelantan selama 29 tahun dan telah mengkhatamkan kitab-kitab besar.
 Di sini, Tuan Guru Sheikh Abdul Raof mula mengenali asas-asas ilmu antaranya Matan al-Jurmiyah (nahu), Matan Bina (shorof), Safinatun Naja (feqah), Ummul Barohin (tauhid) kemudian beliau mempelajari Mukhtasar Jiddan (nahu), Fathul Qorib (feqah), Mutamimmah (nahu), Kawakib (nahu), Tafsir Jalalain (tafsir), dan Tafsir Baidowi Melayu (tafsir)

Pada Tahun 1984 beliau telah melanjutkan pelajaran beliau di Pondok al- Ijtimaiyah Kampung Dundang, Padang Pusing Pendang, Kedah. Menuntut dengan Tuan Guru Haji Abdul Halim Bin Haji Majid. Di sini beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab antaranya kitab nahu iaitu Matan al-Jurmiyah , Mukhtasar Jiddan, Yasin al-Fakihi, Asymuni Shobban, kitab (feqah, usul feqah dan qawaid feqah) antaranya Kifayatu Akhyar, al-Iqna', Sirajul Wahhaj, Fathul Wahhab, Syarah Waraqot, Lathoiful Isyarat, al-Luma' Al Asybah wan Nazhoir, kitab (hadis) antaranya Riyadhus Sholihin, Bulughul Maram, Hadis Abi Jamrah, Hasyiah Syanwani, Muwatta Imam Malik, Hadis Abu Daud, kitab (tafsir) antaranya Tafsir Jalalain, Hasyiah al- Showi, Tafsir Nurul Ihsan dan kitab-kitab jawi iaitu Sairussalikin, Kasyful Litham dan Furu' Masail serta kitab -kitab jawi yang lain.

 Tiga tahun kemudian beliau kembali menuntut di Pondok Tuan Guru Haji Yahya Telok dan belajar pula dengan Tuan Guru Haji Husain Kampung Teluk Bagan, Jalan Datok Kumbar Alor Setar), dan mengkhatamkan kitab Lamiyatul af'al (shorof) , sebahagian kitab Syazzul Araf (Shorof), sebahagian Kifayatul Akhyar (fekah), mengkhatamkan kitab Husnul sayaghah (balagah).
Kemudian beliau kembali menyambung pelajarannya dengan Tuan Guru Haji Yahya serta berulang alik menadah kepada guru-guru sekitar Alor Setar. Pada peringkat ini beliau mula menadah kitab al-Mahalli kepada Tuan Guru Haji Yahya. 
Beliau juga bermulazamah dengan Tuan Guru Haji Husin Bin Syeikh Abdul Rahman al-Jaruumi yang merupakan murid kepada Syeikh Abdul Qader Mandeling iaitu ulama melayu yang mengajar di Masjidil Haram. Dibawah Tuan Gutu ini beliau sempat mengkhatamkan kitab Faidhul Khobir (usul tafsir), Matan Alfiyah (nahu), sebahagian syarah Ibnu Aqil (nahu), Mutamimah Kawakib Duriah (nahu), Fathul Mubin bab Nusuk (feqah), Syazzul Uruf (shorof), Fathul Qorib (feqah), Idhohul Mubham (mantik), al-Nafahah al-Hasaniah (faraid), Husunus Shayaghah balaghah dan beberapa buah kitab yang lain. Beliau juga sempat menghadiri majlis tawajjuh Tarekat Naqsyabandiah Mujadidiyah bersama Tuan Guru ini.
Beliau juga sentiasa mulazamah dengan Tuan Guru Haji Cik Ahmad, Kokdiang dan mengkhatamkan kitab Ilmu Faraidh tulisan tuan guru ini iaitu (Inilah Risalah yang dinamakan tangga kanak-kanak yang mula belajar ilmu Faraidh) dan beliau juga bermulazamah dengan Tuan Guru Pak Su Mid di Bukit Tembaga jalan ke Kuala Nerang, Alor Setar, Kedah dan mengkhatamkan kitab Manhallu Shoffi dan mentahkikkan masalah-masalah dan istilah-istilah halus dalam ilmu tasawuf. Kemudian beliau berpindah ke Madrasah al-Ahmadiah al-Ijtimai'yyah Pondok Padang Lalang Bukit Mertajam Seberang Perai, Pulau Pinang dan belajar kitab ilmu alat kepada Tuan Guru Haji Hamzah al-Hafiz iaitu kitab Syarah Waraqot (usul fiqh), Faidhul Khobir Wa Khulasah Al Taqrin (usul tafsir), Syarah Baiquniah (musthalah hadis), Syarah Syuzuz Zahab (nahu) dan sebahagian kitab Ihya Ulumuddin (tasawuf) Imam Ghazali. Beliau juga sempat belajar sebahagian dari kitab Bughyatul Mustarsyidin semasa pondok padang lalang. Beliau juga sempat bermulazamah dan menadah Syarah al-Hikam Tok Pulau Manis dengan Tuan Guru Haji Sheikh Daud Malau dan di sini juga beliau bertemu dengan Syeikh Ali al-Tohiri di Madrasah Pondok Padang Lalang ini dan dibaiahkan dengan Ilmu Tarekat pada Rohaniah dan Jasmaniah  oleh Tuan Sheikh Ali Al Thohiri.

 Kemudian pada tahun 1991 beliau menyambung pengajiannya ke Pondok Madrasah al-Somadiah al-Barokiah, Banggol Pauh, kampung Tok Rok, Kok Chan, Ampher Mayo, Changwad Pattani,  Thailand selama dua tahun setengah dengan Tuan Guru Baba Hasan Bin Abdul Lathif merupakan murid tua kepada Tuan Guru Rashid Wara (ulama rujukan dan ulama tertua di Fathoni darus salam pada masa itu). Di sini beliau mentahkikkan dan mengkhatamkan sebahagian  kitab-kitab:
Feqah seperti Al Mahalli hasyatain qalyubi wa umairah, al Iqna',  I'anah Tholibin dan Fathul Wahhab alal mahaj. 
Nahu seperti Syarah Sheikh Kholid, Syarah Syazzul Zahab, Syarah Usymawi, Yasin al-Fakihi, 
Ilmu wadie - Tasyniff al-Samie , 
Ilmu Isytiqaq- Kitab Bulghotul Musytaq, 
Ilmu Mantiq- Kitab Risalah Ilmu Mantiq, 
Usul feqah- , Lathoiful Isyaraat . 
Shorof-  Syarah Lamiyatul Af'al  
dan beberapa buah kitab jawi.

Beliau juga sempat mengkhatamkan kitab ilmu Nahu, iaitu Syarah Ibnu Aqil ala  Matan Alfiyah selama sebulan di bulan Ramadhan bersama Tuan Guru Pa Da, Bukit Palas Yingo.

Semasa beliau masih menuntut dipondok Madrasah Ijtimiaiyyah Pondok  Sungai Jagung , beliau telah diijazahkan oleh Tuan Guru Haji Arshad , Jalan Haji Mat Saad  , Bagan, Sebrang Prai, Pulau Pinang  dengan  sanad-sanad Kitab- kitab  Ilmu yang terkandung didalam kitab Maslakul Jaaly susunan Al Allamah Musnid Dunia Al Sheikh Yaasin Isa Al Fadani. Didalam kitab tersebut diriwayatkan semua sanad Ilmu yang diterima dari Fadhilatus Sheikh Ali Al Maaliki termasuk sanad Kitab Sunan Sittah dan lain-lain.
Tuan Guru Haji Arshad juga telah mengijazahkan  beramal Selawat  Dalaiul Khayrat serta silsilah sanadnya yang diterima dari Sheikh Yasin hingga sampai kepada Imam Jazuli penyusun Dalailul Khayrat.

Sebelum Tuan Guru Sheikh Abdul Raof memulakan pengajian dengan membuka Pondok ,  beliau telah diijazahkan Kitab Nihayatul Muhtaj oleh Tuan Guru Haji Yahya, Tuan Guru Haji Yahya menulis pada ijazah Nihayah, ijazah melalui Fadhilatu Sheikh Abdullah Tohir, Pondok Bunut Payung, Kelantan.  Tuan Guru Haji Yahya  membacakan  sebahagian  diawal  dan akhir Kitab Nihayah tersebut.

Setelah berbelas tahun beliau mengaji dan menjalani rehlah ilmiah dan rohaniah, beliau telah pulang dan membuka pusat pengajian pondok yang dinamakan Pondok Tampin, Jalan Kampong Padang Ragut, Repah, Tampin Negeri Sembilan, dan mula mengajar dari Tahun 1996. Beliau mendapat tauliah dan diberikan kebenaran mengajar dan berceramah di seluruh 1.Negeri Sembilan, 2.Selangor , 3.Wilayah Persekutuan, 4.Perak dan 5.Kedah dan juga merupakan tenaga pengajar kepada kelas pemantapan ilmu untuk guru-guru takmir seluruh daerah Tampin dan kepada para imam dan pegawai masjid seluruh daerah Tampin, Negeri Sembilan. Beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab antaranya ;
1.Kitab Ringkasan Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah, 
2.Kitab Syarahan Minhajul Abidin, 
3.Kitab Umdatul Muthotohhirin bagi masalah feqah, 
4.Kitab Dunia Yang Akhirat yang menghimpunkan segala doa dan amalan yang bersumber dari kitab-kitab klasik arab yang merupakan amalan ulama-ulama dahulu, 
5.Kitab Bahsul Kholisah Ila Bayan Ruh Wal Hadrah membahaskan mengenai tahlil dan kenduri arwah, serta beberapa buah risalah antaranya 
6.Risalah Nur Muhammad perbahasan mengenai Nur Muhammad, 
7.Risalah Ghorib Kitab Kasyful Litham, membahaskan mengenai persoalan di dalam kitab Kasyful Litham, 
8.Risalah Dalil-Dalil memakai serban, 
9.Risalah Isra' wal Mi'raj dan banyak lagi kitab , buku dan risalah lain.

Beliau juga membuka sesi soal jawab fardhu ain di dalam laman web iaitu pondoktampin.blogspot.com.

Antara pelajar Tuan Guru Sheikh ini  yang berjaya menjadi alim dan menjadi tuan guru antaranya;
1.Ustaz Shamsuri bin Hassan, mengajar di Bukit Mertajam Pulau Pinang,
2.Ustaz Sofhan bin Halim membuka pondok Madrasah Aliyah Seremban,
3.Ustaz Azlan bin Abdul Lathif membuka pondok di kampung Sungai Kembong Bangi, Selangor , beliau   seorang ustaz dan  engineer ,
4.Ustaz Bahizan kampung Juru, Bukit Mertajam Pulau Pinang
5.Ustaz Safwan bin Zainul Azmin, membuka madrasah (pondok) di kampung Sri Damai Kuantan Pahang.
6.Ustaz Suhaifullah bin Sulong , mengajar diSeremban.
7.Ustaz Imran bin Abd Manan. Seremban.
8.Ustaz Hafizuddin bin Mahdi, mengajar di Kuala Lumpur.
9.Ustaz Shamsuzi , masih menuntut di Tarem , Hadramaut, Yamen. 
dan ramai lagi yang telah berjaya dan menjadi alim serta mengajar masyarakat.

Tuan Guru Sheikh ini  juga antara guru penulis yang amat disayangi dan banyak memberi nasihat dan bimbingan kepada penulis untuk menjalani hidup di alam yang fana' ini.

Sebagai tambahan maklumat bahawasa Tuan Guru Sheikh Haji Abdul Raof selain sebagai Guru Besar,  pondok juga merupakan tenaga pengajar bagi guru-guru Takmir di sekitar Daerah Tampin Negeri Sembilan.
Sikap beliau yang gemar pada ilmu menyebabkan setiap masa jika ada peluang menambah ilmu , akan  hadir menadah dimajlis2 ilmu dan berusha mengadakan majlis2 pengajian dengan menjemput ulama2 ketempat beliau untuk sama2 belajar.
Falsafah ILMU , AMAL DAN ZIKIR BERPISAH TIADA , adalah pegangan beliau semenjak dizaman remaja lagi.
Semasa beliau ceritakan kisah perjalanan menuntut ilmu beiau, selalu beliau berkata " وما توفيفي الا بالله العلي العظيم. 

Jawatan yang disandang  beliau diperingkat nasional:
-Timbalan Yang Dipertua 1 Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA).
- Kluster MPI (Majlis Perundingan Islam).

Semoga usaha-usaha beliau diberkati dan mendapat rahmat Allah s.w.t dan dipanjangkan umur dan di limpahkan kesihatan kepada beliau Amin Ya Allah.Semoga Allah meramaikan lagi ulama seperti beliau yang terbuka kerana ramai juga penuntut-penuntut dari universiti,ipta ipts yang akan mendapat manfaat dari beliau hafizahullah .
..........................................................................................................................................................
....qouted....


catitan ini adalah kertaskerja al ustaz Nazerul Razif ..Program Dagree Usuluddin dan Hadis UISAS Kuala Kangsar Perak Daful Ridzuan.

Monday, December 26, 2016

Biodata Ringkas Tuan Guru Haji Abdul Halim Bin Haji Majid

Tuan Guru Haji Abd. Halim atau Pak Ngah Haji Halim.



Semasa kuliah bacaan kitab diadakan, Sekadar yang saya ingat, dari baki kisah yang pernah dikhabarkan oleh Tuan Guru saya ini sendiri ketika sekali sekala beliau menceritakan perjalanan pengajian beliau.

Pertama kali menuntut di pondok al Marhum   (mantan) Murshid Diraja Kedah Tuan Guru Haji Aziz Pendang , Kedah selama 5 tahun. Pondok lama ini berada  di pinggir Bandar Pendang , Kedah.

Semasa bersama Tuan Guru Haji Aziz yang biasa dipanggil orang dengan To Guru Haji  Yazid , atau haji azid  beliau menghafal matan ilmu yang kecil dan besar , antaranya al Jurmiah, lamyatul Af a'al , al Fiyah dan lain2...

Satu ketika Tuan Guru Haji Aziz Pendang mengarahkan para murid yang bercita-cita tinggi dan mempunyai himmah untuk terus maju dalam pelajaran supaya berpindah ke pondok lain, sebab beliau sudah mula sebuk dengan hajat2 tetamu yang datang minta doa dan ubat2an.
Tuan Guru Haji Yazid berkata:

 (( sapa2 yang nak jadi tok2..keluak)).

Ketika mula beliau mencurahkan hasrat untuk menangguhkan tumpuan mengajar pondok , ramai pelajar yang belum faham maksud Tuan Guru itu.
Sehingga satu hari Tuan Guru Haji Aziz menjelaskan maksud beliau tersebut, barulah para pelajar mula undur diri sambil memohon izin dan restu untuk menyambung dipondok lain.

Al Marhum Pak Ngah, turun kePondok Penanti terus ke Pondok Tuan Guru Haji Yusof Pondok Sungai Bakap untuk meninjau pengajian . Tetapi akhirnya Tuan Guru Haji Yazid hanya membenrkan dan menyuruh beliau terus ke Kelantan , Kota Bhru , khasnya Pondok Pasir Tumbuh untuk menyambung pengajian. 13 tahun beliau dipondok pasir tumbuh. Katanya khatam sunan sittah. Fathhul wahhab , Mahalli. Asymuni Mughni labib.

...bersambung.




Thursday, April 28, 2016

Perang Jepun


Apabila Jepun mula mengebom pantai timur semasa perang dunia kedua , Madrasah Ahmadiah atau Pondok Bunut Payung  di Kota Bharu , Kelantan telah menutup pengajian. Penuntut- penuntut telah mula pulang ketempat masng-masing, Tuan Guru Haji Yahya dan rakan-rakan beliau mula mencari jalan balik ke Kedah. Tapi melalui jalan darat meredah hutan. Beliau menceritakan perjalanan memakan masa sebulan , bermula selepas asar dipondok bunut payung dengan berjalan kaki besama beberapa rakan seangkatan. Menerusi Gua Musang terus ke Banding sampai ke kampung Belum  dan akhirnya keluar di daerah Grik , sampai di Lenggong Perak.


Semasa dalam perjalanan , beliau menceritakan , sebagai ketua rombongan , saya tidak ingat berapa orang jumlah rombongan , beliau arahkan setiap orang bawa bekalan  makanan  sedikit seorang. setiap orang bawa beras dalam beg . garam, asam, ikan kering dan sebagainya juga dibawa masing-masing. Apabila masa rehat dan makan , digilir2kan masak dan bekalan mantah diambil dari setiap orang sedikit seorang.

Jika keputusan air, mereka akan mencari rotan-rotan besar atau enau atau buluh yang menyimpan air untuk dipotong dan diambil airnya buat minuman.

Tidur dicelah-celah banir pokok-pokok besar.

Satu ketika  ada tiga rakan beliau yang tidak ikut rombongan beliau telah tersesat jalan dan seorang dari mereka dimakan harimau.

Seorang rakan beliau juga telah meninggal dunia dalam perjalanan, beliau sahaja yang sanggup mendukung mayat rakan beliau tersebut untuk dibawa keluar dari hutan . selama 3 hari mereka berjalan kearah Perak  barulah bertemu kampong untuk di uruskan jenazah rakan beliau itu.
Sepanjang perjalanan mencari penduduk kampung, beliau hanya mendukung mayat rakan beliau itu dengan diikat kedua tangan mayat dengan kain . Alhamdulillah  semuanya selamat.



Friday, September 11, 2015

Biodata Ringkas Sheikh Ali London






BIODATA
RINGKAS

HADRAT SHEIKH ALI AL TOHEREY.






London, 


ENGLAND.





Catitan oleh Haji Abd. Raof bin Nurin al bahanji al aliyy . Pondok Tampin.
 Dec  2009












ADALAH HADRAT Sheikh Ali al Toherey, London, England, r.a. dilahirkan diKampung Bagan Lebai Tahir, Seberang Perai, Pulau Pinang , Malaysia.  Nama yang tercatit didalam kad pengenalan beliau , Rosli bin Sulaiman  tetapi  lebih mesra dengan nama timangan yang diberikan oleh Ibu beliau sebagai “Ali”, dan sebagaimana makna namanya  “Ali”  yang bererti “sesuatu yang tinggi, beliau telah digelarkan orang sebab ketinggian pencapaian rohaniah yang dianugerahi Allah ‘azza wajalla  kepada beliau.  Pribadi bercahaya yang bertitihkan Hadrami  ini, terbit  dari keluarga beragama dan dihormati  masyarakat sekampung sebagai keluarga baik dan mesra masyarakat dan suka menghulurkan pertolongan

Disini dinyatakan biodata ringkas beliau serta perjalanan ilmu dan  suluk /tarbiyah  (pendidikan) beliau.

Guru-guru:

  1. Tuan Guru Haji. Ishak- Guru dikampung beliau. Mentalkinkan zikir sirr.

  1. Sheikh Daud- Guru dikampung beliau juga . kemudiannya telah mengarahkan beliau  untuk pergi  menyambung pelajaran belajar diPondok – Lanai, Kedah ( Pondok alMarhum Tuan Guru Haji Umar Zuhdi).


  1. Tuan Guru Haji Umar  Zuhdi – Pondok Lanai – selama 1 Tahun. Kemudiannya Telah mengarahkan beliau pergi mengambil Ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah  ke Melaka kepada Tuan Guru  Muallim Haji Wahid.

  1. Tuan Guru Haji Ja’far Al-Hafiz – Pondok Padang Lalang - 7 tahun.

  1. Tuan Guru Mua’llim Haji Wahid, Sungai  Udang  (Melaka)- Ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah.

  1. Tuan Guru Syeikh Daud Malau (Pondok Malau 5- 6 tahun)- Tarbiyah dan Ijazah Tarekat al-Khidiriyah, walaupun pribadi Sheikh Daud adalah Naqshabandi.

  1. Sheikh Ahmadullah (Pakistan) - Ijazah Tarekat Naqshabandiah.

  1. Tuan Guru Haji Arshad ( Murid Sheikh Yasin al Fadani – Mekah) - Jalan Haji Mat Saad, Telok Bagan, Seberang Prai, Pulau Pinang.- Ijazah Sanad-sanad Ilmu dan Amal.

  1. Sheikh Qurban Ali, Damsyik, Syria.



Pengiktirafan dan Ijazah

1. Al Marhum Tuan Guru Haji Ja’far al Hafiz- Pondok Padang Lalang- telah mengamanahkan sebagai khalifah memimpin zikir pada setiap malam rabu  diPondok Padang Lalang ( Madrasah Ijtimaiyyah Ahmadiyyah ), Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Peristiwa ini berlaku ketika beliau masih menuntut di Pondok. 

Disaksikan oleh seluruh pelajar yang ada ketika itu.




2. Al Marhum Tuan Guru Syeikh Daud , Malau – Pondok Malau ( Madrasah al Hanafiah)  Pekan Malau Kulim Kedah ,disertai kertas sijil pengiktirafan yang ditandatangi oleh Tuan Guru  Sheikh Daud Malau sendiri , iaitu berupa {Syahadah Iktiraf}. 

Penulis ada menyimpan salinan Sijil Pengiktirafan tersebut. 





3. Al Marhum Tuan Guru Mua’llim Haji Wahid, Sungai Udang  (Melaka)-  Telah mengijazahkan  Tarekat Ahmadiah Idrisiah dan semua amalannya -  Tarikat  ini yang  diasaskan oleh Sidi Ahmad Idris ( iaitu Tarikat Ahmadiah Idirisiah , asasnya kandungannya  adalah  dari 40 tarikat) ,  kepada Sheikh Ali dan berkata “  Engkau lepas 3 tahun beramal, ijazahkan (pada orang)  dan bawa (iaitu pimpinlah) Tarekat”. Peristiwa ini disaksikan oleh mereka yang hadir ketika itu , antaranya seorang pelajar pondok Lanai – Ustaz Azmi (guru agama lepasan pondok lanai) , dari Greek Perak. 

Penulis telah menyimpan surat pengakuan saksi peristiwa tersebut  yang di ambil dari  Ustaz Azmi, beliau hadir bersama Sheikh Ali  ketika pertemuan dengan Tuan Guru Muallim Haji Wahid di Pondok Sungai Udang , Melaka ketika pengijazahan tersebut,





4.Tuan Guru Haji Arshad-  Salah seorang murid al Allamah Sheikh Yasin al- Fadani,telah mengijazahkan  sanad-sanad kitab ilmu Feqah,Tauhid,Tasauf,Tafsir,Hadis serta Ijazah Dalilul Khairat dengan  Sanad dan Silsilahnya yang sampai kepada Imam Al Jazuli r.a. 

Dua buah kitab sanad-sanad ilmu  Sheikh Ali al Maaliki, yang terkandung didalamnya sanad-sanad semua Ilmu dalam Islam telah diijazahkan kepada Hadrat Sheikh Ali:            

 1 المسلك الجلىّ في أسانيد فضيلة الشيخ محمد علي تخريج وجمع المفتقر الى مولاه علم الدين محمد ياسين بن عيسى الفدانى المكى
  2 اسانيد الكتب الحديثية السبعة الصحيحين والسنن الأربعة وموطأ الامام مالك املاء علم الدين محمد ياسين عيسى الفداني المكي

Perisitiwa ini telah disaksikan dan kedua-dua kitab tersebut telah dilihat oleh penulis sendiri. Alhamdulillah.




5.  Sheikh Karamullah an Naqshabandi- Ulamak Pakistan- Mengijazahkan Silsilah Musalsal  bil Mushafahah  ( iaitu sisilah bersalaman )  .
مسلسل بالمصافحة من الشيخ كرم الله النقشبندى

 Peristiwa berlaku diKota Suci Mekah al Mukarramah, penulis juga ada ketika itu.




6.  Sheikh Qurban Ali, Sheikh Tarikat Naqshabandi  yang bermukim di Damsik, Syiria. Beliau telah mengijazahkan dan mengiktiraf Sheikh Ali sebagai Khalifah Tarikat Naqshabandi. Detik peristiwa ini berlaku sudah lama, ketika  Syria masih  aman

7. Habib Omar ben Hafiz- Isyarat pengiktirafan dalam satu  pertemuan  di Jordon.


8. Habib Ali Al-Jufri - Isyarat pengiktirafan disertai pengakuan dalam syarahan beliau di Alamiah Institute, England dan Abu Dhabi. Alamiah Institute adalah intitusi pendidikan dan pelajaran yang diasaskan oleh Hadrat Sheikh Ali sendiri, yang beroperasi di England.

9. Sheikh Muhammad al-Ya’qubi - Ulamak Syria. Alim dibidang ilmu hadis – Isyarat pengiktirafan disertai anugerah  Khirqah berupa Mislah bulu unta. Perisitiwa ini berlaku di kediaman Sheikh Muhammad atas undangan Sheikh Muhammad sendiri dan disaksikan oleh hadirin yang terdiri dari penuntut-penuntut Sheikh Muhammad dan para  muridin dari England. Peristiwa ini berlaku ketika  Syria masih aman.

10. Sheikh Mahmud Affandi, Cucumbar (baca Karsember menurut dialek Turkie), Fateh, Istanbul, Tukie.  Seorang Sheikh Tarekat Naqshabandi Kholidi  didaerah Fateh , Istanbul. Beliau dan seorang Khalifah beliau telah mengiktiraf kebolehan Hadrat Sheikh Ali semasa pertemuan pertama mereka di tempat suluk Cucumbar. Beberapa perkara yang dianggap luar dari kebiasaan  telah berlaku. Adalah seorang dari khalifah Sheikh Mahmud Affandi telah terkejut dan mengakui bahawa pribadi Hadrat Sheikh Ali  telah menghabisi kesemua perjalanan  Naqshabandi dan kesemua Lathoif  hidup dan berfungsi . Sentiasalah sehingga kini  apabila Hadrat Sheikh Ali  dan para muridin setiap kali menziarahi Turki akan bertandang dan hadir majlis Khatam Tawajjuh di tempat suluk tersebut yang kebiasaannya diadakan selepas sembahyang asar.  Walhamdulillahirobbil a’lamiin.

Penulis juga pernah hadir satu ketika,   bersama Sheikh Ali dan rombongn dimajlis khatam tawajjuh di karsembar itu.






Antara Mata Pelajaran syariat yang pernah dipelajari beliau.

  1. Kitab Ihya Ulumiddin- Belajar kepada Tuan Guru Haji Ja’far al Hafiz..
  2. Sairus salikin- Belajar kepada Tuan Guru Haji Ja’far al Hafiz
  3. Bughyatul Thullab-  Belajar kepada Sheikh Daud Malau.
  4. Pelita Penuntut -   Belajar kepada Tuan Guru Haji Ja’far al Hafiz.
  5. Hidayatul Mutafakkirin-Belajar kepada Tuan Guru Haji Ja’far al Hafiz.
  6. Al Hikam (Tok Pulau Manis)- Belajar kepada Sheikh Daud Malau.







Noted.

Beliau merupakan lepasan aliran pondok tradisional yang berjaya menguasai ilmu agama dan fasih berbahasa Inggeris. Beliau telah mengembangkan dakwah Islam di England dan telah banyak mengIslamkan masyarakat di sana. Beliau juga telah menubuhkan sebuah pusat pendidikan  yang dinamakan Alamiyah Institute sebagai tempat pengajian fardhu ‘ain kepada masyarakat Islam di kota London. 


و الله على ما أقول و كيل.
والسلام .


Sunday, March 01, 2015

Biodata ringkas Tuan Guru Sheikh Daud Malau

Catitan ini  disalin  dari kertas milik Isteri Tuan Guru - catitan oleh Bahagian penerangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam , Negeri Kedah - biodata Tuan Guru  pada 19 robi' akhir 1400 hijrah bersamaa 7 march 1980 masihi.  




Nama: Tuan Guru Haji Daud bin Haji Hasan.

Lahir: Dalam tahun 1934 masihi diKampung Panji, Kota Bhru , Kelantan Darul Naim.

Tempat tinggal: Bermaustatin di Pekan Malau , Mukim Bakai, Baling, Kedah Darul Aman.



Pelajaran:

- Mula bersekolah di Madrasah Aziziah Kampung Beris, Jambu, Kota Bhru , Kelantan - berguru kepada Tuan Guru Haji Muhammad bin Idris digelar dengan nama Muhammad Bukhari - lebih kurang 10 tahun.

- Pada tahun 1954  masihi pindah kePondok Bunut Payung , Kota Bhru , Kelantan - berguru kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir  sehingga tahun 1959 masihi dan diberi pula tugas sebagai guru tambahan.

- Akhir tahun 1959 masihi berangkat ketanah suci Mekah  al Mukarramah dan belajar di Darul Ulum ad Diniyyah , Mekah - selama 2  tahun., mendapat Syahadah al Aliyyah ( Sijil tertinggi).

- Kemudian jadi Ahli Fatwa di Mekah, kemudian menjadi Ahli fatwa Alim Ulamak Malaysia di Mekah al Mukarramah serta menyusun sebuah kitab bernama "Panduan Zaman tergantung didalamnya beberapa fatwa mengenai masalah Fekah , Tawhid dan Tasawuf.

- Pada tahun 1962 masihi menerima Tauliah mengajar diMasjid al Haram daripada Pengetua Masjid al Haram . Pernah menjadi guru diDarul Ulum selama 4 tahun. Pernah menjadi Ahli Penerangan kepada Jemaah2 Haji Malaysia bagi pihak Persatuan Penuntut2 Malaysia di Mekah.

-Pada tahun 1967 masihi kembali kePekan Malau.


- Berkahwin di Mekah  pada tahun 1966 masihi , telah mendapat 5 orang cahayamata .



Tugas-tugas asas 

- Pada tahun 1967 sebagai pensyarah sukarela di Masjid2  iaitu setelah  mendapat galakan dari Tuan Haji Tajuddin Qadhi Daerah Baling.

- Mengajar orang2 kampung diMadrasah sendiri diPekan Malau pada tiap2 hari Jumaat hingga kehari ini . Antara 200 ke 300 orang hadir .

-Pada akhir 1967 meminta pecah kariah daripada kariah Bakai kepada kariah Malau .

- Menjadi Imam di Masjid kariah tersebut hingga ke hari ini .

- Membuka Sekolah Agama dengan sukarela pada akhir tahun 1968 dengan tidak memungut yuran selama 3 tahun, kemudian mendapat bantuan pejabat zakat dan Fedral hingga hari ini, bahagian agama hingga tingkatan 6 dan bahagian akademik hingga tingkatan 5.

- Sebagai guru besar sekolah tersebut.

 Tugas sukarela.

- Menjadi Ahli Majlis Agama Islam mulai awal tahun 1971.

- Menjadi ahli jawatankuasa kampung.

-Pemeriksa bakal2 pegawai masjid daerah Baling.

- Pengerusi penerangan PERKIM Daerah Baling.

- Dakwah sukerela seperti membasmi amalan2 menyeleweng.

- Menjadi guru agama mengajar didalam Negeri Kedah , Perak, dan Pulau Pinang serta menjadi guru tetap IJTIMAK PADANG LALANG , Bukit Mertajam.


Mata pencarian.

- Kebun.
-Bendang.





Saturday, May 03, 2014

Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/Hitam.



Biodata Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman Pondok Kampong Teluk, Kepala Batas , Alor Setar.

Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Bin Mat Saman/ Hitam telah dilahirkan pada tahun 1917 dan telah wafat pada 2006 masihi berusia sekitar 89 tahun. 

Mempunyai tiga orang isteri. Isteri yang pertama meninggal dunia dan kemudian beliau berkahwin dengan yang kedua kemudian bercerai, dan berkahwin pula yang terakhir dan kekal hingga wafat beliau  . 

Mempunyai seorang anak dan beberapa cucu. Beliau memulai pendidikan agama semenjak daripada pangkuan ibunya, belajar ilmu fardhu ain, alquran tajwid, dan membaca kitab Muniyatul Musolli. Kemudian masuk belajar diPondok Lembah Bujang, Merbok, Kedah ,  selama 10 tahun. 

 Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Negeri Kelantan dan menuntut di pondok Madrasah Ahmadiyah di kg Bunut Payung,  Kota  Bharu  Kelantan  selama 29 tahun. 

 Semasa di Bunut Payung, beliau telah menghabiskan waktu belajar dengan system talaqqi iaitu  membaca kitab dari kulit ke kulit sehingga khatam. Beliau menadah di hadapan guru utama pondok iaitu Almarhum Tuan Guru Sheikh Abdullah Thohir yang merupakan murid tua kepada ulama besar Tok Kenali. Selama puluhan tahun beliau menadah siraman ilmu di Pondok Bunut Payung di bawah asuhan guru besar Sheikh Abdullah Thohir tersebut. 

 Beliau telah  mengkhatamkan kitab-kitab turath (kitab kuning) samada dalam teks bahasa melayu atau bahasa arab, dalam pelbagai displin keilmuan islam, seperti nahu, saraf, hadis, mustholah hadis, feqah, tauhid, usul tafsir, tasawuf, ilmu-ilmu alat (iaitu balagah, mantik, maqulat, ‘arudh, miqat, falakiah,) dan lain-lain. 

 Beliau telah menggelarkan Sheikh Abdullah Thoir sebagai Faqih. Antara tanda-tandanya, kemahiran Sheikh Abdullah Thoir mengajar teks kitab fekah - al Mahalli tanpa melihat kitab lagi, hanya  perantaraan Muqri ( pembaca).

Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab umdah (rujukan utama) yang besar-besar dalam pelbagai bidang, di antara kitab-kitab tersebut antaranya :

1)    Fekah:Beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab utama Ghoyah wa Taqrib, Fathul Qorib , Fathul 
     Muin, Fathul Wahhab, al-Mahalli (Qalyubi wa Umairah) ,Nihayatul Muhtaj (6 juzuk).
2)   Tauhid:Beliau mengkhatamkan kitab-kitab asas tauhid sehinggalah sebesar-besar seperti 
     adDussuki ,  Abddus Salam, dan lain-lain.
3)      Tasawuf: al-Hikam dan semua syarahannya, kitab-kitab imam alghazali sehingga ihya’, kitab
     Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, addurun Nafis, dan lain-lain
4)     Nahwu  :Mengkhatamkan berbagai kitab asas Nahu sehinggalah sebesar-besar kitab Nahu seperti  
      Ibnu Aqil, Awdhoh, Mughni Labib dan lain –lain.
5)      Hadis:  Mengkhatamkan Sunan  Sittah (kitab hadith yang 6 buah) . Kitab-kitab asas ilmu hadith seperti Matan   
      Arbain,  Riyadhus Sholihin, Bulughul Maram, Abi Jamrah, Misykat Mashobih  dan lain-lain.
6)      Tafsir: Mengkhatamkan kitab asas tafsir seperti Tafsir Jalallain, tafsir-tafsir dalam bahasa 
       melayu  seperti Baydhowi Melayu (Tarjumanul Mustafid), dan mengkhatamkan kitab-kitab 
       tafsir yang besar-besar seperti tafsir An Nasafi, tafsir Al Baidawi, Tafsir al Maraghi, sebahagian besar Tafsir Ibnu Katsir  dan lain-lain.
 
7)      Usul Fekah dan Qawaid Fiqhiyyah: Beliau mengkhatamkan daripada sekecil-kecil hingga
      sebesar-  besarnya seperti kitab Waraqat dan syarahnya oleh al-Mahalli, al-Ashbah  wan Nazo ir, 
      Jam'ul Jawamik, dan  lain-lain.

Disamping menumpukan masa dengan pelajaran di pondok utamanya iaitu Pondok Bunut Payung, selepas kewafatan Sheikh Abdullah Tohir,  hayat pondok bunut payung telah disambung oleh almarhum Tuan Guru Husien Ar Rahimi, beliau berkesempatan bermulazamah dengan ulama’-ulama’ besar yang berada di sekitar Kota bharu Kelantan untuk memungut mutiara ilmu daripada mereka. Orang-orang besar itu seperti Tuan Guru  Haji Bang Kob Legor (murid Tok Kenali),Tuan Guru Mufti Haji Nor, Tuan Guru Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Salahuddin  (murid Tok Kenali) dan lain-lain.

Beberapa catitan kisah pembelajaran beliau yang diceritakan kepada saya yang masih saya ingat.

1)     Beliau menceritakan semasa beliau menuntut di pondok Bunut Payung, beliau telah dilantik sebagai ketua pelajar untuk mengawasi hal ehwal pelajar pondok ketika itu, dan beliau juga merupakan ketua kepada pelajar-pelajar yang datang dari Kedah. Beliau menceritakan almarhumTuan Guru Haji Hasyim mudir Pondok Pasir Tumbuh, ketika itu adalah seorang pelajar dari Kedah yang dibawa oleh beliau untuk melanjutkan pelajaran di Pondok Bunut Payung.

2)    Beliau menceritakan satu ketika, beliau menziarah Almarhum Tuan Guru Pak Man , Pondok Bukit Besar di pondok bukit besar Kedah. Ketika beliau sampai mendapati Tuan Guru Pak Man sedang mengajar kitab usul fekah yang paling besar dan sangat susah ibaratnya iaitu Jam'ul Jawami’ karangan  Imam Subki r.a. Kebetulan yang menadah kitab ialah Tuan Guru Sheikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar. Ketika sampai di majlis beliau duduk menghadap dengan Tuan Guru Pak Man lalu duduk untuk sama-sama menjadi pendengar kepada bacaan kitab, tetapi tiba-tiba Tuan Guru Pak Man bukit besar melambai tangan kepada beliau memanggil  untuk duduk di samping Tuan Guru Pak Man  sambil berkata iaitu menujukan kata ke Tuan Guru Haji Mahmud, “Dia ni kawan ana”. Selepas bercerita kisah tersebut, tuan guru saya ini mengulas dengan berkata ( “Pak Man ilmunya, mahirnya sekata, tidak seperti sesetengah orang yang lain"). Maksud beliau, ilmu Tuan Guru Pak Man  adalah sama tahap kemahiran  di setiap bidang ilmunya. Tuan Guru Pak Man bukit besar mahir ilmu fekah, juga mahir tasawuf, juga mahir ilmu-ilmu yang lain. Tidak seperti mereka yang seperti mahir ilmu fekah tetapi tidak mahir dalam bidang ilmu-ilmu yang lain.

3)      Satu ketika yang lain beliau bercerita, semasa menuntut di Kelantan, beliau telah memerhatikan dan mengingat masalah-masalah fekah yang gharib ( jarang orang tahu) ketika menadah dengan Tuan Guru ,Tuan Guru. Jika berjumpa sahaja  dengan  masalah yang  gharib beliau akan terus mengingatinya dan masih dalam ingatan beliau. Antara masalah-masalah yang beliau sering ulangkan:
1. Sunat membaca ta'awwuz dengan jahar sebelum membaca al-fatihah  di dalam sembahyang  yang dijaharkan bacaannya, sedangkan yang masyhur diketahui umum adalah tidak sunat pada sisi qaul muktamad ashoh. Tuan guru saya ini mengisyaratkan masalah ini sebagai satu masalah yang menarik yang patut diamalkan walaupun menurut qaul yang Muqobil. Masalah ini terdapat dalam kitab Mughni Muhtaj, beliau ingat ketika sedang menadah kitab tersebut.

2.Masalah yang kedua, perempuan haid yang sedang berihram diharuskan memakan ubat untuk menghentikan haidnya bagi melakukan tawaf rukun haji atau  umrah, masalah ini beliau masih ingat ketika menuntut kitab Nihayatul Muhtaj. 

3.Bidan yang menarik kepala bayi yang lambat keluar daripada perut ibunya lalu dicabut putus, maka menurut Qaul Shyubari di dalam Hasyiah Tuhfah, bidan tersebut dikenakan qisas.

4. Jika seseorang sakit , kemudian makan ubat lalu  hilang ingatannya, adakah terangkat taklif?. jawabnya terangkat. Masalah ini ada dalam Nihayah. 

5. Tuan Guru  juga telah menceritakan kepada saya satu kisah , dipondok Bunut Payong, satu peristiwa kematian seorang kanak-kanak 12 tahun , ditimpa buah kelapa diatas kepalanya. mayat kanak-kanak tersebut masih berdarah sehinggalah saat dimandikan. maka berlaku sedikit kicuh dikalangan pelajar dan guru-guru dipondok Bunut Payong, apa yang perlu dilakukan terhadap mayat itu. sebab berdarah kepala yang masih mengalir takdapat dibersihkan. maka mayat yang bernajis tidak sah disembahyangkan?. Maka ketika itu tidak seorang pun yang sanggup untuk datang untuk berjumpa Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir , hanya Pak Ya (Tuan Guru Haji Yahya) datang bertanyakan masalah tersebut kepada Sheikh Abdullah Tahir.

Jawapannya: Semasa sedang memandikan mayat itu, pemandi menjiruskan air terus menerus tanpa putus di tempat luka yang berdarah yang masih mengalir itu, dan ketika itu juga 3 atau  lebih  orang yang ditugaskan menyembahyangkan mayat itu. Setelah selesai sembahyang, baru diberhentikan menjirus air.     Kemudiannya diteruskanlah acara yang seterusnya. Munkin selepas itu akan disembahyangkan lagi dimasjid beramai-ramai.

Tuan Guru Sheikh Abdullah Tahir menjawab soalan itu sambil sedang duduk diatas katil.

Menurut Sheikh Abdullah Tahir, kaifiat ini akan dapat menghimpunkan semua pendapat-pendapat (qaul)  yang bercanggahan. 

6.. bersambung..