Monday, October 27, 2008


Banjir: OIC gesa negara anggota bantu Yemen

beberapa buah kenderaan terkandas apabila sebuah jambatan di Lembah Sayoun, tenggara Yemen runtuh dilanda banjir, kelmarin.
- Reuters


DUBAI 26 Okt. - Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Profesor Ekmeleddin Ihsanoglu menggesa negara anggota, penderma, pertubuhan kemanusiaan dan institusi kewangan dari seluruh dunia Islam supaya tampil menyalurkan bantuan kepada Yemen yang kini dilanda banjir besar.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan OIC supaya menggerakkan kempen kemanusiaan bagi membantu penduduk negara itu.

"Setiausaha Agung menyuarakan rasa simpati kepada kerajaan dan penduduk Yemen berikutan banjir besar yang berlaku sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan khususnya di Hadramaut dan Mahra," kata Ekmeleddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan banjir di Yemen sebagai bencana negara berikutan jumlah kematian dan kemusnahan besar yang dialami oleh penduduk negara itu.

Banjir itu turut menjejaskan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan tenaga dan pengagihan bekalan air bersih.

Justeru, beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa tampil menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Yemen yang terjejas dalam bencana tersebut.

Sementara itu, jumlah korban dalam banjir di Yemen kini mencapai 61 orang dengan lebih 1,700 rumah turut musnah kebanyakannya di wilayah Mouhara dan Hadramut.

Menurut Ketua Polis wilayah Hadramut, Hamid el-Kharashi, angka korban dan kemusnahan dijangka terus meningkat kerana masih ramai penduduk dilaporkan hilang.

"Selain itu, beratus-ratus lagi penduduk dilaporkan masih terperangkap dalam banjir besar dan sukar untuk dihubungi," katanya.

Beliau berkata, banyak rumah di Hadramut yang merupakan wilayah terbesar di Yemen, musnah teruk kerana kebanyakannya diperbuat daripada tanah liat.

Kerajaan Yemen dilaporkan sedang bertungkus-lumus untuk menghantar bantuan kepada mangsa yang terperangkap selepas banjir merosakkan banyak jalan raya dan menyulitkan pengagihan bantuan.

- Agensi

No comments: